Tuesday, February 23, 2010

Keutamaan Solat Sunat Rawatib

Dari Ummu Habibah r.a., isteri Rasulullah s.a.w., berkata: Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: “Seorang hamba yang muslim melakukan solat sunat yang bukan wajib, kerana Allah, (sebanyak) dua belas rakaat dalam setiap hari, Allah akan membangunkan baginya sebuah rumah (istana) di syurga.” (Kemudian) Ummu Habibah r.a. berkata: “Setelah aku mendengar hadis ini aku tidak pernah meninggalkan solat-solat tersebut.” [1]

Hadis yang agung ini menunjukkan keutamaan solat sunat rawatib, sehingga Imam an-Nawawi mencantumkan hadis ini sebagai hadis yang pertama dalam bab: Keutamaan solat sunat rawatib (yang dikerjakan) bersama solat wajib (yang lima waktu), dalam kitab beliau Riyadhus Shaalihiin. [2]

Mutiara hikmah yang dapat kita petik dari hadis ini:

1.Solat sunat rawatib adalah solat sunat yang dikerjakan sebelum dan sesudah solat wajib lima waktu. [3]

2.Dalam riwayat lain hadis ini dari ‘Aisyah r.a., Rasulullah s.a.w. menjelaskan dan memerinci sendiri makna “dua belas rakaat” yang disebutkan dalam hadis di atas[4], iaitu: Empat rakaat sebelum solat Zuhur[5] dan dua rakaat sesudahnya, dua rakaat sesudah Maghrib, dua rakaat sesudah Isya’ dan dua rakaat sebelum Subuh[6]. Adapun riwayat yang menyebutkan: “…Dua rakaat sebelum solat Asar”, maka ini adalah riwayat yang lemah[7] kerana menyelisihi riwayat yang lebih kuat yang di sebutkan sebelumnya. [8]

3. Keutamaan yang disebutkan dalam hadis di atas adalah bagi orang yang menjaga solat-solat sunat rawatib dengan melaksanakannya secara berterusan, sebagaimana yang difahami dan dikerjakan oleh Ummu Habibah r.a. perawi hadis di atas dan demikian yang diterangkan oleh para ulama[9].

4. Jika seseorang tidak boleh melakukan solat sunat rawatib pada waktunya kerana ada uzur (sempitnya waktu, sakit, lupa dan lain-lain), maka dia boleh mengqadha (menggantinya) di waktu lain[10]. Ini ditunjukkan dalam banyak hadis sahih. [11]

5. Dalam hadis ini terdapat peringatan untuk selalu mengikhlaskan amal ibadah kepada Alah SWT semata-mata.

6. Hadis ini juga menunjukkan keutamaan amal ibadah yang dikerjakan secara berterusan. Rasulullah s.a.w. bersabda: “Amal (ibadah) yang paling dicintai Allah Ta’ala adalah amal yang paling berterusan dikerjakan meskipun sedikit.” [12]

7. Semangat dan kesungguhan para sahabat dalam memahami dan mengamalkan petunjuk dan sunnah Rasulullah s.a.w., inilah yang menjadikan mereka lebih utama dalam agama dibandingkan generasi yang datang setelah mereka.

Footnote:
[1] HSR Muslim (no. 728).
[2] Riyadhus Shalihin (bab no. 195, hal. 1409).
[3] Lihat keterangan Imam an-Nawawi dalam Shahih Muslim (1/502).
[4] Lihat keterangan syaikh al-’Utsaimin dalam Syarh Riyadhish Shaalihiin (3/282).
[5] Dikerjakan dua raka’at – salam dan dua raka’at – salam (ed)
[6] HR an-Nasa-i (3/261), at-Tirmidzi (2/273) dan Ibnu Majah (1/361), dishahihkan oleh syaikh al-Albani dalam Shahih sunan Ibnu Majah (no. 935).
[7] Dinyatakan lemah oleh syaikh al-Albani dalam Dha’iful Jaami’ish Shagiir (no. 5672).
[8] Lihat kitab Bughyatul Mutathawwi’ (hal. 22).
[9] Lihat misalnya kitab Faidhul Qadiir (6/166).
[10] Demikian keterangan yang kami dengar langsung dari guru kami yang mulia, syaikh Abdul Muhsin al-’Abbaad, semoga Allah menjaga beliau.
[11] Lihat kitab Bughyatul Mutathawwi’ (hal. 29, 33-34).
[12] HSR al-Bukhari (no. 6099) dan Muslim (no. 783).
***


Penulis: Ustadz Abdullah Taslim, M.A.
Artikel www.muslim.or.id

No comments:

Post a Comment