Pesan Syeikh Ibn Ato’illah di dalam kitabnya al-Hikam :
"Setengah dari tanda bahawa seseorang itu bersandar diri pada kekuatan amal usahanya, iaitu berkurangnya pengharapan terhadap rahmat kurnia Allah ketika terjadi padanya suatu kesalahan atau dosa."
Huraian :
Kalimat Laa Ilaaha Illallah (Tiada Tuhan kecuali Allah) bererti tiada tempat bersandar, berlindung dan berharap kecuali Allah. Tiada yang dapat menghidupkan dan mematikan sesuatu serta tiada yang dapat memberi dan menolak sesuatu melainkan Allah.
Pada zahirnya, syariat menyuruh kita berusaha dan beramal, sedangkan hakikatnya, kita dilarang menyandarkan diri kepada amal usaha itu, supaya tetap bersandar kepada kurnia dan rahmat Allah.
Kalimat La Haula Walaa Quwwata Illa Billah bermaksud tiada daya untuk mengelakkan diri dari bahaya kesalahan dan tiada kekuatan untuk berbuat amal kebaikan kecuali dengan bantuan pertolongan Allah dan kurnia dan rahmatNya semata-mata.
Firman Allah yang bermaksud : "Katakanlah (Ya Muhammad), hanya kerana merasakan kurnia dan rahmat Allah-lah, kamu boleh bergembira, dan itulah yang lebih baik bagi mereka daripada apa yang dapat mereka kumpulkan sendiri.
- (Ayat 58 : Surah Yunus)
Apabila kita bersandar pada amal usaha semata-mata, bererti kita lupa pada kurnia rahmat Allah yang memberi taufiq dan hidayat kepada kita dan akhirnya menyebabkan kita merasa ’ujub, sombong dan sempurna diri sebagaimana yang terjadi kepada Iblis (yang mengasaskan teori logik ; merasakan dirinya lebih baik dari Adam kerana dia dicipta dari api, sedangkan Nabi Adam a.s. dari tanah) ketika diperintah bersujud kepada Nabi Adam a.s.
Perkara ini juga berlaku kepada Qarun, apabila dengan sombong menempelak Nabi Musa a.s. yang menyerunya agar menyembah Allah dan jangan terpedaya dengan kemewahan yang dimilikinya – "Sesungguhnya aku mendapat kekayaan ini kerana ilmuku semata-mata."
- (Ayat 78 ; Surah Al-Qasas).
Justeru, apabila kita dilarang menyengutukan Allah dengan berhala, batu, kayu, pohon, binatang dan manusia, maka janganlah menyengutukan Allah dengan kekuatan diri sendiri, seolah-olah merasa sudah cukup kuat dan dapat berdiri sendiri tanpa pertolongan Allah, tanpa rahmat, taufiq dan hidayahNya.
Contohilah Nabi Sulaiman a.s. ketika ia menerima nikmat kurnia Allah ; iaitu ketika mendapat istana Puteri Balqis –
"Ini semata-mata dari kurnia Tuhanku, untuk menguji padaku, apakah aku bersyukur atau kufur. Maka barangsiapa yang bersyukur, maka syukur untuk dirinya. Dan siapa yang kufur, maka sesungguhnya Tuhanku Maha Kaya lagi Maha Pemurah (tidak berhajat sedikitpun dari makhluknya, bahkan makhluk yang berhajat kepadaNya)
- (Ayat 40 : Surah An-Naml)
Oleh itu, fikirkanlah - Adakah kita seumpama Iblis dan Qarun yang memiliki sifat yang keji, lalu meninggi diri kepada Ilahi? Ataupun kita memiliki dan meneladani sifat Nabi Allah Sulaiman yang tetap merendah diri, walaupun dikurniakan oleh Allah nikmat yang tidak terperi, lalu termaktub di dalam sejarah umat manusia.
Credit to : ISKANDAR ZULKARNAIN
Wednesday, March 3, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment