Monday, March 22, 2010

Utamakan Keluarga

"Satu dinar yang engkau belanjakan pada jalan Allah, satu dinar yang engkau belanjakan untuk membebaskan hamba, satu dinar yang engkau gunakan untuk bersedekah kepada orang miskin dan satu dinar yang engkau belanjakan untuk keluargamu - yang paling besar ganjarannya ialah dinar yang engkau belanjakan untuk keluargamu."

- (Hadith riwayat Muslim – no.2358)

Huraian:

Begitulah kita dapat melihat bagaimana Rasulullah SAW begitu mementingkan soal kebajikan keluarga yang diletakkan tanggungjawabnya ke atas ketua keluarga – Ayah atau Suami.

Sememangnya diketahui bahawa Baginda ialah seorang suami dan ayah yang amat bertanggungjawab terhadap para isterinya serta anak-anak. Kehidupan Baginda yang menjadi tontonan para sahabat jelas memperlihatkan bagaimana Baginda berjaya membahagikan masa dan kasih sayang antara isteri, keluarga dan umatnya. Baginda adalah insan yang menunjukkan contoh bagaimana mengimbangi antara kehidupan dunia dan akhirat.

Hadith ini memperincikan bagaimana seorang ketua keluarga perlu memberikan perhatian yang utama terhadap keluarganya sebelum orang lain, biar pun orang lain juga memerlukan perhatiannya sama ada dari sudut moral atau material. Jangan sesekali ada ketua keluarga yang terlalu mengambil berat tentang orang lain tetapi mengabaikan pula keluarga sendiri.

Hari ini terdapat sebahagian suami yang begitu pemurah terhadap orang lain (dan ini adalah salah satu sikap yang patut dipuji) tetapi sebaliknya begitu bakhil dan kikir terhadap keluarga sendiri. Ini ditambah dengan sikap mesra dan berlembut dengan orang lain tetapi bengis dan garang terhadap isteri dan anak-anak. Adakah ini yang diajar oleh Rasulullah SAW?! Sudah pasti tidak.

Islam mendidik kita agar kita mendahulukan keluarga agar mereka terbela dan terjaga dari sudut dalaman dan luaran. Setelah perkara ini dipenuhi, maka adalah tidak menjadi kesalahan kepada seorang suami atau ayah untuk menolong dan membela orang lain kerana dirinya telah pun melengkapkan kewajipan pertama terhadap keluarga.

Di dalam hadith ini juga kita diajar bahawa amalan seseorang bukanlah semata-mata diukur dengan mata kasar tetapi diukur juga dengan kesan tersirat dan makna mendalam yang hadir bersama amalan tersebut. Kalau dilihat dengan mata kasar, sudah pasti sama sahaja bersedekah kepada sesiapa sahaja. Di sini perlu kita amati setiap amalan agar kita melakukan yang terbaik pada waktu yang terbaik. Orang yang bijak ialah orang yang memilih untuk melakukan amalan yang tepat pada masa dan keadaannya.

Wallahu a’lam

Posted by : alitantawi

No comments:

Post a Comment