Nama penuh beliau ialah Muhammad Ibn Ismail bin Ibrahim Ibn Al-Mughirah Al-Ju’fi, Al-Bukhari. Gelarannya ialah Abu Abdillah.
Dilahirkan dalam keadaan yatim di Bukhara (Uzbekistan) pada tahun 194 Hijrah. Bapanya merupakan salah seorang ahli hadith yang pernah berguru dengan Imam Malik (179H) dan juga Abdullah Ibn al-Mubarak (181H).
Mula merantau mencari ilmu pada 210 hijrah ke seluruh pusat-pusat ilmu pada waktu itu seperti Mekah, Khurasan, Iraq, Mesir dan Syria.
Beliau terkenal dengan hafazan yang begitu kuat dan mantap. Ketika ditanya tentang rahsia ingatan yang kuat, beliau menyebut bahawa rahsianya ialah keinginan yang kuat serta sentiasa mengulang-ulang maklumat yang dihafaz.
Beliau mempunyai ramai guru dan murid. Di antara gurunya yang terkenal ialah Ali Ibn al-Madini (234H), Ahmad Ibn Hanbal (241H), Yahya Ibn Ma’in (233H) dan Ishaq Ibn Rahuyah/Rahawaih (238H).
Di antara muridnya yang terkenal ialah Imam Muslim (256H) dan Imam AtTirmizi (279H.
Di antara buku beliau ialah Al-Jami’ Al-Musnad Al-Sahih atau lebih popular dengan nama Sahih Al-Bukhari, Al-Tarikh Al-Kabir (biodata periwayat hadith), Al-Adab Al-Mufrad (hadith-hadith tentang adab dan akhlak) serta lain-lain lagi.
Hampir kesemua ahli hadith pada zaman beliau telah menobatkan beliau sebagai seorang ahli hadith yang hebat dan dipercayai. Namanya terkenal di seluruh negara Islam.
Di antara kehebatannya ialah beliau mewarisi kehebatan guru-gurunya dalam kemampuannya untuk menilai dan menapis hadith bagi membezakan antara yang sahih dan yang tidak.
Salah seorang gurunya iaitu Muhammad Ibn Bassyar menganggap Al-Bukhari sebagai salah seorang daripada 4 pakar hadith terbaik pada waktu itu bersama-sama dengan Muslim, Abu Zur’ah dan juga al-Darimi.
Imam Muslim pernah berkata kepada Al-Bukhari: "Aku bersaksi bahawa tidak ada di dunia ini seseorang seperti kamu".
Beliau bukan sekadar hebat dalam bidang ilmu sahaja, namun beliau juga adalah seorang tentera yang mahir terutama dalam memanah. Bentuk tubuh badan beliau digambarkan sebagai seorang yang kuat dan sasa oleh sesiapa yang mengenalinya.
Oleh kerana kehebatannya didalam ilmu hadith, terdapat sebahagian daripada masyarakat pada zaman beliau yang merasa dengki lalu melakukan pelbagai tuduhan yang tidak benar terhadap peribadinya.
Akhirnya, beliau wafat di sebuah kampung di Samarqand pada 256 Hijrah.
Sumber rujukan:
1-S Syarh ’Ilal al-Tirmidzi – Ibn Rajab al-Hanbali.
2-Hayat al-Bukhari – Syeikh Jamaluddin al-Qasimi.
3-Manhaj al-Bukhari Fi Tashih al-Ahadith wa Ta’liliha – Dr. Abu Bakr Kafi.
4-Muqaddimah analisis buku al-Ilzamat wa al-Tatabbu’ – Syeikh Muqbil al-Wadi’e.
5-Manhaj al-Muhaddithin – Dr. Sa’d al-Humayyid.
6-Masodir al-Sunnah wa Manahijuha – Dr. Hatim al-Syarif.
7-Manhaj al-Naqd Fi Ulum al-Hadith – Dr. Nuruddin Itr.
Saturday, July 4, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment