Thursday, July 30, 2009

Hendaklah Kita Menjadi Seorang Yang Pemaaf

Seringkali kita menghadapi kesukaran untuk memaafkan orang yang pernah melakukan kesilapan terhadap kita. Adakalanya kita masih terbawa-bawa dengan kesilapan yang telah dilakukan terhadap kita bertahun-tahun yang lampau dan ianya masih lagi menjejaskan hubungan kita dengan pihak tersebut. Ini secara tidak langsung menyalahi perintah Allah Subhanahu wa Ta'ala untuk mencintai sesama muslim. Sabda Nabi s.a.w.:-

"Tidak sempurna keimanan seseorang daripada kalian, sebelum dia mencintai saudaranya (sesama Muslim) sebagaimana dia mencintai dirinya sendiri.-(Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Shahih al-Bukhari, hadis no: 13)

Oleh itu ada baiknya bagi kita untuk meneliti tuntutan syarak berkaitan dengan sikap saling maaf-memaafkan dan apakah sikap-sikap yang perlu kita praktikkan untuk menjadi seorang yang pemaaf.

APAKAH MAKNA MEMBERI KEMAAFAN

Memberi kemaafan bermaksud walaupun seseorang itu mampu untuk membalas kejahatan yang dilakukan terhadapnya atau menuntut sesuatu dari mereka yang melakukan kesalahan tersebut, namun dia tidak melakukannya. Malah dia memaafkannya secara ikhlas demi mengharapkan keredhaan Allah SWT. Telah diriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:

"Orang yang paling gagah perkasa di antara kalian semua adalah mereka yang dapat mengawal nafsunya di waktu marah dan orang yang tersabar di antara kamu semua itu
adalah orang yang suka memaafkan kesalahan orang lain padahal dia mampu untuk membalasnya.-(Hadis riwayat Imam Ibnu Abu Dunya dan al-Baihaqi dengan sanad yang
dha’if)"

Sesungguhnya di dalam al-Qur’an terdapat sebuah kisah yang akan lebih memperjelaskan makna memberi kemaafan.

Nabi Yusuf a.s. merupakan anak kesayangan bagi Nabi Ya’kub a.s. sehinggakan Nabi Yusuf dicemburui oleh saudara-saudaranya yang lain. Lalu mereka mengkhianati Nabi Yusuf dan mencampakkan baginda ke dalam sebuah perigi. Namun baginda telah diselamatkan oleh sekumpulan musafir dari negara Mesir lalu dia bawa kembali ke sana. Untuk dipendekkan cerita, akhirnya Nabi Yusuf telah dilantik oleh pemerintah Mesir untuk menjadi pembesar negara yang bertanggungjawab menjaga perbendaharaan. Baginda kemudiannya ditakdirkan untuk bertemu semula saudara-saudaranya yang telah mengkhianati baginda sebelum ini. Dengan kekuasaan yang ada pada tangan baginda tentu sekali dengan mudah baginda mampu untuk membalas perbuatan khianat saudara-saudara kandungnya itu. Namun sikap pemaaf baginda telah menghindarinya dari bersikap sedemikian rupa dan kisah ini telah dirakamkan di dalam al-Qur’an melalui ayat-ayat di bawah:

"Mereka bertanya (dengan hairan): "Engkau ini Yusufkah?" Ia menjawab: "Akulah Yusuf dan ini adikku(Bunyamin). Sesungguhnya Allah telah mengurniakan nikmat-Nya kepada kami. Sebenarnya sesiapa yang bertaqwa dan bersabar, maka sesungguhnya Allah tidak
menghilangkan pahala orang-orang yang berbuat kebaikan.

Mereka berkata: "Demi Allah! Sesungguhnya Allah telah melebihkan dan memuliakan engkau daripada kami(disebabkan taqwa dan kesabaranmu) ; dan sesungguhnya kami adalah orang-orang yang bersalah".

Yusuf berkata: "Kamu pada hari ini tidak akan ditempelak atau disalahkan (tentang perbuatan kamu yang telah terlanjur itu), semoga Allah mengampunkan dosa kamu, dan Dia lah jua Yang Maha Mengasihani daripada segala yang lain yang mengasihani". (Yusuf (12) : 90-92)

KEUTAMAAN MEMBERI KEMAAFAN

1) Sikap pemaaf merupakan ciri-ciri orang yang bertaqwa

Orang yang bertaqwa adalah mereka yang mengerjakan segala perintah Allah SWT dan
meninggalkan segala larangan-Nya. Allah SWT telah mengkategorikan mereka yang pemaaf termasuk dalam golongan muttaqin (orang yang bertaqwa). Firman-Nya:

"Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan(mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit
dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa; Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik." -Aali Imraan (3) : 133-134)

2) Allah Subhanahu wa Ta'ala mengampunkan mereka yang pemaaf serta menempatkan mereka di syurga.

Dari ayat di atas ini juga dapat kita membuat kesimpulan bahawa mereka yang pemaaf mudah mendapat keampunan Allah SWT dan akan ditempatkan di syurga. Di ayat yang lain Allah SWT berfirman:

"… dan (sebaliknya) hendaklah mereka memaafkan serta melupakan kesalahan orang-orang itu; tidakkah kamu suka supaya Allah mengampunkan dosa kamu? Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani. -(al-Nuur (24) : 22)

3) Sikap pemaaf merupakan akhlak yang mulia yang dituntut oleh syarak

Sikap mudah memaafkan orang lain merupakan suatu akhlak yang mulia lagi terpuji dan ianya tergolong dalam amalan yang amat digalakkan perlaksanaannya oleh Allah SWT. Firman-Nya:

"Dalam pada itu (ingatlah), orang yang bersabar dan memaafkan (kesalahan orang terhadapnya), sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang
dikehendaki diambil berat(melakukannya). -(Al-Syuura (42) : 43)

4) Allah SWT mengasihi mereka yang pemaaf

Allah SWT mengasihi mereka yang mudah memaafkan kesalahan orang lain. Firman-Nya:

"… dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik.-(Aali Imraan (3) : 134)

Tentu sekali bagi mereka yang dikasihi oleh Allah SWT akan mudah mendapat rahmat serta keampunan-Nya.

Demikianlah beberapa keutamaan yang sempat penulis ketengahkan untuk menunjukkan betapa agungnya sikap mudah memaafkan serta melupakan kesalahan orang lain terhadap kita.

NABI S.A.W. MERUPAKAN SEORANG YANG PEMAAF

Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. merupakan sebaik-baik contoh ikutan bagi seluruh umat
manusia. Firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:

"Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta dia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang).-(Al-Ahzaab (33) :21)

Di antara contoh keperibadian yang tinggi yang wujud dalam diri Rasulullah s.a.w. adalah sikap pemaaf baginda. Hal ini dapat kita perhatikan di dalam banyak peristiwa yang terjadi pada diri baginda melalui banyak riwayat-riwayat yang sabit. Namun
begitu memadai bagi penulis untuk menurunkan beberapa sahaja hadis-hadis yang berkaitan. Aishah r.a. berkata:

"Tidak pernah Rasulullah s.a.w. mempergunakan tangannya untuk memukul isteri atau
pelayan, kecuali ketika dalam perang fisabilillah dan belum pernah Rasulullah diganggu lalu membalas kecuali jika terlanggar suatu hukum Allah, maka dia membalas
kerana Allah 'Azza wa Jalla. -(Hadis riwayat Imam Muslim di dalam Shahih Muslim, hadis no: 2328)

Hadis di atas ini menjadi dalil bahawa sifat suka memberi kemaafan ini harus sesuai dengan keadaan. Sekiranya hukum Allah SWT ditolak malah dihina, maruah umat Islam dicalar, maksiat berleluasa dan lain-lain perbuatan berat yang menyalahi syarak, maka sewajarnya untuk kita memberi balasan ataupun tindakan yang sewajarnya. Sebagai
contohnya sekiranya ahli keluarga kita melakukan maksiat, maka tidaklah semestinya untuk kita secara semberono memaafkannya tanpa memberi hukuman yang setimpal. Sekiranya setelah ditegur ataupun diberi hukuman setimpal dan dia menyedari akan kesilapannya serta bertaubat untuk menjauhi perbuatan maksiat tersebut maka hendaklah kita memaafkannya serta menyokong usahanya untuk berubah ke arah kebaikan.

Anas r.a. berkata:
"Ketika saya berjalan bersama Nabi s.a.w. sedang Nabi memakai selendang Najran yang
tebal, tiba-tiba bertemu seorang Badwi lalu menarik selendang itu dengan keras sehingga meninggalkan bekas pada leher Nabi s.a.w. sambil berkata: “Hai Muhammad! Berikan kepadaku dari harta Allah yang ada padamu.” Maka Rasulullah menoleh kepada orang Badwi tersebut sambil tersenyum, kemudian Nabi menyuruh pesuruhnya untuk memberikan pada Badwi itu permintaanya. -Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam
Shahih al-Bukhari, hadis no: 3149)

Ibnu Mas’ud r.a. berkata:
Seolah-olah saya masih melihat pada Rasulullah s.a.w. ketika kejadian seorang Nabi
yang dianiayai kaumnya hingga berlumuran darah, sambil mengusap darah dari mukanya lalu bersabda: “Ya Allah, ampunkanlah kaumku kerana mereka tidak mengetahui.” -(Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Shahih al-Bukhari, hadis no: 3477)

Semoga riwayat-riwayat di atas akan dijadikan pedoman bagi kita untuk mudah memaafkan kesalahan orang lain terhadap diri kita.

CIRI-CIRI YANG PERLU ADA UNTUK MENJADI SEORANG YANG PEMAAF

Sesungguhnya terdapat beberapa kualiti diri yang perlu ada di dalam diri masing-masing sebelum dapat menjadi seorang yang pemaaf. Tanpa ciri-ciri tersebut tentu sekali amat sukar bagi sesiapa jua untuk memaafkan mahupun melupakan kesalahan orang terhadap dirinya.

Ciri-ciri tersebut adalah:

1) Bersabar

Boleh dikatakan sikap sabar ini adalah pokok bagi bercambahnya segala akhlak-akhlak yang mulia. Sikap pemaaf tidak akan terlaksana tanpat sifat sabar. Sekiranya seseorang membuat kesalahan terhadap kita lantas kita hilang sabar, maka ianya akan menimbulkan perasaan marah. Dan sekiranya perasaan marah ini pula tidak dibendung, ianya akan menimbulkan pula perasaan dendam terhadap pelaku kesalahan tersebut. Sebaliknya sekiranya kita mampu untuk bersabar terhadap kesalahan orang lain terhadap kita, maka kita akan lebih mudah untuk memaafkannya serta melupakan segala kesalahan yang telah dilakukannya. Oleh itu, tidaklah menjadi satu hal yang aneh sekiranya Allah SWT memberi ganjaran yang amat besar bagi mereka yang penyabar.

Firman-Nya:
"Katakanlah (wahai Muhammad, akan firmanKu ini, kepada orang-orang yang berakal sempurna itu): "Wahai hamba-hambaKu yang beriman! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu.(Ingatlah) orang-orang yang berbuat baik di dunia ini akan beroleh kebaikan (yang sebenar di akhirat). Dan (ingatlah) bumi Allah ini luas (untuk berhijrah sekiranya kamu ditindas). Sesungguhnya orang-orang yang bersabarlah sahaja yang akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira". -(al-Zumar (39) : 10)

Antara sikap yang perlu diambil sekiranya seseorang sedang berkata buruk terhadap kita, adalah dengan mengucapkan: “Sekiranya apa yang dikatakan itu benar semoga Allah mengampuni diriku, dan sekiranya ucapannya berisi kedustaan maka semoga Allah mengampuni dirinya.”

Marilah kita cuba untuk mempraktikkannya kerana ternyata sikap ini dapat mengelakkan terjadi perbalahan yang berpanjangan malah orang yang mempunyai niat buruk terhadap kita juga berkemungkinan tinggi akan insaf terhadap kesilapan dalam dirinya kerana melihat sikap sabar yang ada dalam diri kita.

2) Mengawal perasaan Marah

Perasaan marah merupakan satu senjata tipu daya syaitan untuk memporak-perandakan hidup manusia. Oleh itu Rasulullah s.a.w. menyarankan bagi mereka yang sedang marah untuk membaca ta’awudz sebagamana yang diriwayatkan oleh Sulaiman bin Shurad r.a.:

"Ketika saya duduk bersama Nabi s.a.w., mendadak ada dua orang yang saling memaki,
sedang salah satu daripadanya telah merah wajahnya serta tegang pula urat lehernya. Maka Nabi s.a.w. bersabda: “Saya mengetahui suatu kalimat yang kalau dibaca pasti hilang apa yang dirasakannya iaitu "Aku memohon perlindungan daripada Allah dari (hasutan) syaitan.” Maka para sahabat memberitahukan pada orang yang sedang marah itu: “Nabi s.a.w. menyuruh engkau membaca "Aku memohon perlindungan daripada Allah dari (hasutan) syaitan.” -(Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Shahih al-Bukhari, hadis no: 3282)

Syaitan sememangnya sentiasa ingin melihat kehidupan manusia porak-peranda dan berduka-cita. Lalu dibisikkan ditelinga-telinga manusia, api kemarahan dan menghindari sikap saling bermaafan untuk mengeruhkan lagi suasana. Ini sememangnya tugas syaitan, musuh yang nyata bagi golongan yang beriman. Firman Allah SWT:

"Sesungguhnya perbuatan berbisik (dengan kejahatan) itu adalah dari (hasutan) syaitan untuk menjadikan orang-orang yang beriman berdukacita; sedang bisikan itu tidak akan dapat membahayakan mereka sedikitpun melainkan dengan izin Allah; dan kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman berserah diri. -(al-Mujadalah (58) : 10)

Maka itu, penting bagi kita untuk mengawal perasaan marah supaya terbuka pintu kemaafan di hati kita terhadap kesalahan yang dilakukan oleh pihak lain. Sikap mengawal marah ini ternyata amat dititik-beratkan oleh Rasulullah s.a.w. kerana apabila seorang sahabat meminta sebuah nasihat daripada baginda s.a.w., ternyata baginda bersada:

"Jangan Marah."

Kemudian orang tersebut mengulangi permintaanya untuk mendapatkan nasihat. Sekali lagi baginda menjawab:

"Jangan Marah." (Sila rujuk peristiwa ini di dalam Shahih al-Bukhari, hadis no: 6116)

Ternyata mengawal perasaan marah itu adalah penting disisi Nabi s.a.w. sehingga
berulang-ulang kali baginda mengingatkannya kepada sahabat tersebut. Baginda juga beranggapan bahawa bagi seseorang yang mampu mengawal perasaan marah, maka dia
merupakan seorang yang gagah perkasa. Sabdanya:

"Bukan ukuran kekuatan seseorang itu dengan bergulat (bergusti), tetapi orang yang kuat itu adalah orang yang mampu mengawal hawa nafsu ketika marah. -(Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Shahih al-Bukhari, hadis no: 6114)

Allah SWT juga akan memberi ganjaran yang besar bagi mereka yang mampu mengawal perasaan marah. Rasulullah s.a.w. bersabda:

"Siapa yang menahan perasaan marah sedangkan dia mampu untuk melaksanakannya (melepaskan kemarahannya) , maka kelak pada hari kiamat, Allah akan memanggilnya di
hadapan sekalian makhluk, kemudian disuruhnya memilih bidadari sekehendaknya. -(Hadis riwayat Imam al-Tirmidzi di dalam Sunan al-Tirmidzi, hadis no: 2417)

Sebaiknya untuk kita meredakan perasaan marah kita terhadap seseorang, hendaklah kita fokuskan jiwa kita untuk melihat sudut positif yang terdapat di dalam orang yang sedang kita marahi tersebut. Mungkin terdapat banyak perkara-perkara baik yang pernah dia lakukan terhadap kita yang sekiranya kita renungkan secara mendalam akan memadamkan api kemarahan yang wujud di dalam jiwa kita. Sebagai contohnya apabila
kita marah melihat kesalahan yang dilakukan oleh isteri kita maka hendaklah kita fokuskan perbuatan-perbuatan yang baik yang pernah dilakukannya sepanjang perkahwinan kita. Rasulullah s.a.w. bersabda:

"Janganlah seorang mukmin membenci seorang mukminah. Apabila dia membenci sebahagian akhlaknya, maka mungkin dia boleh meredhai akhlaknya yang lain". -(Hadis riwayat Imam Muslim dalam Shahih Muslim, hadis no: 1469)

3) Menghilangkan perasaan dendam kesumat

Perasaan marah yang tidak dapat dilenyapkan dengan segera akan menyebabkan ia masuk ke dalam batin dan bergelora di dalam hati. Akhirnya ianya akan mewujudkan perasaan dendam di dalam jiwa. Maka hati akan merasa berat untuk memaafkan seseorang dan terbitlah perasaan benci serta perasaan ingin menjauhkan diri daripada orang tersebut. Perasaan dendam juga akan menyebabkan kita ingin menghukum pihak yang telah melakukan kesalahan terhadap kita. Saidina Abu Bakar al-Shiddiq r.a. pernah
menghadapi masalah perhubungan dengan salah seorang ahli keluarga beliau yang bernama Misthah, lalu beliau mengambil keputusan untuk tidak memberi nafkah
kepadanya. Kemudian turunlah firman Allah Ta’ala:

"Dan janganlah orang-orang yang berharta serta lapang hidupnya dari kalangan kamu, bersumpah tidak mahu lagi memberi bantuan kepada kaum kerabat dan orang-orang miskin serta orang-orang yang berhijrah pada jalan Allah; dan (sebaliknya) hendaklah mereka memaafkan serta melupakan kesalahan orang-orang itu; tidakkah kamu suka supaya Allah mengampunkan dosa kamu? Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani." -(al-Nuur (24) : 22)

Hendaklah kita sedaya-upaya menghindari untuk membalas kejahatan yang dilakukan oleh orang lain dengan kejahatan yang lain. Jangan kita membalas celaan dengan celaan, umpatan dengan umpatan, caci-maki dengan caci-maki kerana ianya hanya akan mengeruhkan lagi suasana. Sabda Rasulullah s.a.w.:

"Jika ada seseorang mencelamu dengan sesuatu noda yang ada di dalam dirimu, maka janganlah mencelanya dengan menunjukkan suatu noda yang ada di dalam diri orang
tersebut." -(Hadis riwayat Imam Ahmad daripada Jabir bin Muslim r.a.)

4) Lemah lembut

Di antara batu penghalang utama untuk kita menerapkan sikap saling bermaaf-maafan adalah sikap yang kasar, keras kepala dan berhati batu. Oleh itu sikap lemah-lembut dalam pergaulan seharian terutamanya dengan sesama muslim merupakan satu akhlak yang terpuji dan mencerminkan budi pekerti yang luhur dan kewarasan jiwa. Nabi s.a.w. pernah bersabda:

"Wahai ‘Aisyah! Sesungguhnya Allah itu Maha Lembut dan mencintai kelembutan dan Dia memberikan atas (sebab) kelemah-lembutan apa yang tidak Dia berikan atas (sebab) kekerasan dan yang tidak Dia berikan atas (sebab) selainnya." -(Hadis riwayat Imam Muslim di dalam Shahih Muslm, hadis no: 2593)

Dan Allah SWT juga telah menganugerahkan kepada Nabi-Nya sikap lemah lembut terhadap umat manusia yang lain dan sikap ini merupakan daya tarikan terhadap manusia disekelilingya terhadap dakwahnya. Melalui sikap lemah-lembut ini jugalah membuahkan munculnya sifat suka memaafkan kesalahan pihak lain. Firman Allah SWT:

"Maka dengan sebab rahmat(yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan
pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu), dan pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu. Kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakallah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadaNya. -(Aali Imraan (3) : 159)

KESIMPULAN

Maka dengan ini hendaklah kita menjadi seorang yang gemar memaafkan kesalahan orang lain kerana sifat ini merupakan cerminan bagi akhlak yang mulia serta ianya dituntut oleh syarak. Sikap saling memaafkan ini merupakan salah satu dari ciri-ciri yang perlu wujud di dalam masyarakat Islam demi untuk mengukuhkan perpaduan serta persaudaraan yang kian terhakis. Perpecahan yang melanda umat Islam telah melemahkan kita sehinggakan kita berantakan sesama sendiri sedangkan pihak musuh Islam sentiasa menantikan ruang-ruang kelemahan yang ada demi untuk meruntuhkan apa sahaja kekuatan yang masih wujud pada umat Islam. Ingatlah bahawa semua umat Islam itu bersaudara dan hindarkanlah dari berpecah-belah. Firman Allah SWT:

"Dan berpegang-teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu(sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayahNya. -(Aali Imraan (3) : 103)

Oleh Mohd Yaakub bin Mohd Yunus

No comments:

Post a Comment