Wednesday, July 29, 2009

Wasiat Dalam Masyarakat Islam

Rata-rata rakyat Malaysia terutamanya yang beragama Islam hari ini kurang pengetahuan tentang wasiat. Wasiat sering disalah-ertikan di mana ramai yang beranggapan wasiat adalah kata-kata atau pesanan seseorang mengenai hartanya sebelum meninggal dunia.

Sebenarnya, wasiat adalah dokumen bertulis yang mengandungi ikrar ataupun hajat seseorang yang dibuat ketika hayatnya ke atas harta atau manfaatnya untuk dilaksanakan selepas kematiannya.

Masyarakat Islam harus sedar bahawa penulisan wasiat bukanlah bermatlamat untuk menidakkan hukum faraid. Penulisan wasiat bertujuan memudahkan proses pentadbiran dan pengagihan harta pusaka dan sekaligus nasib waris-waris dapat dipelihara.

Berikut adalah antara masalah-masalah yang kerap timbul akibat ketiadaan wasiat:

a)Proses pengagihan harta pusaka berlarutan sehingga bertahun-tahun

b)Nasib waris-waris tidak terbela khususnya anak-anak yang berumur 18 tahun ke bawah

c)Suami / isteri tidak mendapat bahagian harta sepencarian

d)Hutang tertunggak

e)Proses perundangan yang menyulitkan waris-waris

f)Hubungan kekeluargaan di kalangan waris-waris terjejas

g)Manipulasi terhadap harta pusaka

h)Perniagaan tidak dapat diteruskan


Manakala berikut adalah senarai individu-individu yang perlu membuat wasiat:

a)Anak
b)Suami/Isteri
c)Individu yang tiada anak
d)Individu yang mempunyai anak di bawah 18 tahun
e)Individu yang mempunyai anak tiri/angkat
f)Individu yang hanya mempunyai anak perempuan
g)Ibu/Bapa tunggal
h)Pemilik saham syarikat

Ramai yang masih berandaian bahawa harta-harta seseorang akan secara automatik diagihkan kepada waris-waris setelah berlaku kematian. Tetapi malangnya, pelbagai proses yang kompleks perlu dilalui oleh waris-waris sebelum harta peninggalan dapat diagihkan.

Mengikut perangkaan Amanah Raya Berhad (ARB), harta pusaka kira-kira bernilai RM15 bilion ketika ini tidak dapat diagihkan dan terbeku disebabkan masalah perwarisan. Harta-harta tersebut sebenarnya boleh dimanfaatkan oleh waris-waris yang sah dan layak sekiranya wujud wasiat.

Individu-individu yang perlu membuat wasiat tidak semestinya yang kaya-raya. Dengan hanya berhartakan contohnya RM5000.00, seseorang itu perlu juga membuat wasiat sama ada harta itu berupa harta alih seperti akaun simpanan atau harta tidak alih seperti tanah. Tiada sesiapa yang mahu waris-warisnya bersusah-payah turun naik mahkamah dan sebagainya semata-mata untuk mendapatkan harta peninggalan mahupun dalam usaha melunaskan hutang-hutang si mati.

Nafsu dan perasaan manusia terlalu rumit untuk diramalkan. Keadaan keluarga yang harmoni pada hayat kita, boleh bertukar menjadi haru-biru dan berpecah-belah disebabkan kelemahan pentadbiran ataupun perebutan harta peninggalan kita. Justeru itu, ingin ditekankan di sini bahawa, melalui penulisan wasiat, pelbagai komplikasi jangka panjang mahupun jangka pendek boleh dielakkan selain menjamin kesejahteraan institusi kekeluargaan.

Sabda Nabi S.A.W:
"Harta dunia adalah milik Allah S.W.T, kita hanyalah sebagai pemegang amanah yang dipertanggungjawabkan untuk menguruskan dan mentadbirnya sebaik mungkin mengikut syariat Islam".

Kini, dokumen wasiat anda boleh dibuat pada bila-bila masa tanpa perlu melantik peguam. Anda juga tidak perlu risau kerana wasiat anda akan disimpan oleh ARB dan boleh diubahsuai mengikut kesesuaian status semasa anda. Dan yang paling penting kos untuk menyediakan dokumen wasiat anda adalah sangat rendah. Individu-individu juga boleh membuat pembayaran secara ansuran semaksimum 10 bulan.

Terdapat beberapa pakej menarik yang boleh dipilih oleh individu-individu dalam penulisan wasiat. Secara umum, berikut adalah kandungan-kandungan yang terdapat dalam dokumen wasiat mengikut kehendak seseorang individu:

a)Informasi Mengenai Pewasiat seperti nama & alamat

b)Pengisytiharan sihat akal fikiran dan tubuh badan serta faham tentang kesan wasiat

c)Pelantikan wasi dan wasi pengganti

d)Tanggungjawab wasi dan pemegang amanah di dalam pelunasan hutang dan mengutip aset si pewasiat

e)Siapa tahu tentang kedudukan aset dan liabiliti

f)Pengisytiharan harta sepencarian

g)Pengekalan harta pusaka

h)Cara pembahagian harta pusaka

i)Kebolehasingan (severability)

j)Pelantikan penjaga sah anak-anak

k)Yuran pelajaran anak-anak di IPTS atau IPTA

l)Perwarisan perniagaan

m)Penjelasan belanja pengebumian

n)Penjelasan belanja pentadbiran pusaka

o)Peranan wasi untuk waris tanpa hadir

p)Peranan wasi di dalam pelupusan aset jika wujud pertelingkahan

q)Persepakatan waris-waris

r)Peringatan untuk semua

s)Waris bertakwa kepada Allah S.W.T

t)Permohonan ampun dan maaf dari ahli keluarga dan waris

Tahukah bahawa setelah kematian anda, harta-harta seperti akaun semasa, akaun simpanan di Tabung Haji, ASB, KWSP dan sebagainya akan terbeku dan kebiasaannya waris-waris terpaksa menunggu sehingga beberapa tahun sebelum harta-harta itu dapat diagihkan? Janganlah berlengah lagi dalam melindungi harta anda dan orang-orang yang anda sayangi walaupun anda masih muda. Jangan tinggalkan mereka dengan masalah kewangan ditambah pula dengan prospek sistem perundangan yang menyulitkan.

No comments:

Post a Comment