Wednesday, August 19, 2009

Apa Itu KIBIR?

KIBIR telah diketengahkan dalam tazkirah oleh Tuan Hj. Md. Sanusi Ismail serta diulas melalui:-
Apa itu makna Kibir,
Tanda-tanda sifat Kibir,
Sebab-sebab Kibir,
Kesan Sifat Kibir,
Cara-cara Mengatasi Kibir.

MAKNA KIBIR:-

KIBIR mengikut istilah bahasa melayu, ertinya sombong atau angkuh. Bahasa moden pula ialah ego. Mengikut syariat islam – Kibir ialah membesarkan diri kerana merasakan diri mempunyai kelebihan diri dan keistimewaan sehingga lupa kepada Allah SWT dan menderhakaiNya. Sifat kibir atau sombong atau ego bermakna membesarkan diri kerana hati merasa diri mempunyai kelebihan, keistimewaan dan kehebatan. Ia merupakan sifat batin yang paling keji. Dosa dan kesalahan pertama yang di lakukan makhluk Allah terhadap Allah ialah sifat sombong. Iblis enggan sujud kepada Nabi Adam a.s. kerana sifat sombongnya. Dia merasakan dirinya lebih mulia daripada Nabi Adam a.s. kerana kejadiannya daripada api sedangkan Nabi Adam a.s. dari tanah.

Peristiwa kesombongan iblis ini Allah ceritakan dalam Al-Quran, firmannya yang membawa maksud:
“Dan (ingatlah) ketika kami memerintah kepada malaikat : Sujudlah kepada Adam, dia (iblis) enggan dan membesarkan diri. Maka sesungguhnya dia dari golongan musyrik.” ( Al Baqarah : 34 )

Disini Allah menceritakan bagaimana keengganan iblis untuk tunduk dan taat arahan Allah. Allah mengutuknya dan mengeluarkannya daripada syurga. Dengan menukar rupanya menjadi buruk. Di sinilah bermulanya dendam kepada Nabi Adam a.s. dan anak cucu cicit Nabi Adam a.s. yang tidak pernah padam.

Diantara ayat Al Quran yang sangat melarang kita bersifat kibir ialah :

1. Surah Al Mukmin , ayat 60 bermaksud : “Sesungguhnya orang–orang yang menyombong diri daripada menyembahKu akan masuk ke neraka jahanam dalam keadaan hina dina.”

2. Surah Al Israk , ayat 37 bermaksud : “Janganlah kamu berjalan dengan menyombong diri kerana sesungguhnya kamu sekali–kali tidak dapat menembusi bumi dan ketinggian kamu tidak akan melepasi gunung .”

3. Surah An Nahl, ayat 23 : “Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang sombong”.

TANDA-TANDA SIFAT SOMBONG dapat di kesan melalui pergaulan sesama manusia iaitu samada sombong keterlaluan, sederhana atau ringan.

Terdapat 26 tanda–tanda sifat sombong iaitu :

1. Payah menerima pandangan orang lain sekalipun hatinya merasakan pandangan orang lain itu lebih baik daripadanya.

2. Mudah marah – Bila berlaku perbincangan dua hala, cepat naik darah kalau ada tersilap.

3. Memilih kawan – Suka berkawan dengan sama taraf sahaja.

4. Bahkan dengan orang sama taraf dengannya masih di pilih-pilih lagi, yakni ia suka orang yang mahu dengar katanya.

5. Memandang hina kepada golongan bawahan.

6. Dalam perbincangan, dia suka meninggikan suara atau menguatkan suara lebih daripada yang diperlukan.

7. Dalam pergaulan, ia suka kata-katanya didengari, diambil perhatian dan diikuti. Sebaliknya dia sendiri susah hendak dengar cakap orang lain.

8. Dalam pergaulan dia sahaja yang bercakap. Kalau ada orang lain bercakap, dia suka memotong percakapan orang lain.

9. Kalau dia jadi pemimpin, dia memimpin dengan kasar dan keras terhadap pengikutnya dan orang bawahannya.

10. Susah memberikan kemaafan kepada orang lain yang tersilap dengannya.

11. Kalau dia yang bersalah, susah hendak minta maaf.

12. Dia suka dihormati.

13. Suka menzalimi orang samada secara halus atau kasar.

14. Kurang bermesra dengan orang kecuali terpaksa kerana perlukan orang itu.

15. Suka memperkatakan keburukan orang seperti mengumpat, memfitnah, serta membenci orang.

16. Kurang menghormati pemberian orang.

17. Suka mencerita kelebihan diri.

18. Suka menghina dan menjatuhkan air muka orang di hadapan orang lain.

19. Kurang menikmati nikmat Allah s.w.t. Kalau ada, dibazirkan.

20. Kalau berdiri lebih suka bercekak pinggang. Kalau bercakap menepuk-nepuk meja.

21. Kurang memberi simpati kepada orang lain kecuali dengan tujuan sebaliknya.

22. Kurang minat menerima tetamu atau tidak suka menjadi tetamu orang.

23. Tidak suka menyebut kelebihan orang lain kerana takut mencabar dirinya.

24. Kesalahan-kesalahan orang lain dibesar-besarkan sedangkan kesalahan diri sendiri didiamkan.

25. Sangat tidak senang dengan kejayaan orang lain.

26. Dia sangat tersinggung kalau orang sebut kelebihan orang lain didepannya. Tetapi kalau dia dipuji , dia berasa bangga dan senang hati.

SEBAB – SEBAB SOMBONG itu dimiliki seseorang apabila:

1. Memiliki kuasa sama ada kuasa besar ataupun kecil.

2. Mempunyai pengetahuan sama ada dunia atau akhirat.

3. Mempunyai harta kekayaan

4. Mempunyai kegagahan iaitu kekuatan fizikal atau kepandaian dalam ilmu.

5. Keturunan. Sombong kerana keturunan bangsawan , keturunan ulama dll.

6. Berwajah tampan, cantik, disayangi oleh bos, dll.

7. Bukan dari mana-mana sebab yang disebut diatas, tapi mungkin dia seorang miskin, jahil, cacat, lemah sedangkan dia tetap sombong.

KESAN SIFAT SOMBONG ke atas seseorang itu:


1. Orang benci kepadanya. Fitrah semulajadi manusia tidak suka kepada orang yang bersifat sombong.

2. Mudah marah di mana kebiasaannya kemarahan akan berakhir dengan perbalahan.

3. Bila wujud sifat sombong akan lahir pula penyakit mudah berdendam, hasad dengki dan mudah bertindak balas di atas kesilapan orang lain.

Kesombongan sangat membahayakan masyarakat manusia dan dunia seluruhnya. Lantaran itu Allah SWT sangat murka dan tempatkan mereka ini di neraka bersama Firaun, Namrud, Hamman dan lain-lain yang angkuh dan zalim.

CARA–CARA ATASI KESOMBONGAN:

Memandangkan betapa bahayanya penyakit hati ini, maka usaha–usaha mesti di buat untuk membendungnya. Beberapa panduan dan kaedah bagi mengikis buang dan mengubatinya :-

1. Ada ilmu tentang sifat-sifat mazmumah – Perlunya ilmu kerana ia merupakan sifat batiniah payah dikesan tetapi mudah di kesan orang lain.

2. Bawa berfikir tentang kejadian manusia – Sedarkan bahawa kejadian manusia adalah sama. Yakni daripada tanah dan mati kembali ke tanah semula. Walaubagaimana hebat sekalipun orang itu, kejadian sama dengan orang lain.

3. Fikirkan dan sedarkan hati kita bahawa kejadian manusia yang kedua adalah daripada air mani – Ertinya kejadian manusia itu tiada bezanya antara satu dengan yang lain samada kaya, berilmu, pembesar dll.

4. Melihat respon orang lain terhadap kita – Dalam pergaulan hidup dapat kesan respon orang lain kepada kita.

5. Ambil iktibar daripada pengalaman hidup – Apabila ada kelebihan, keistimewaan dan kehebatan bolehkah kita bersikap sombong? Apakah kita berkuasa mengelakkan diri daripada sakit? Apakah kita mampu melawan kuasa tentera Allah? Apakah kita mampu melawan kematian? Jawabnya tentu tidak. Kalau begitu, kenapa kita merasakan diri kita lebih dari lain.

6. Ingat azab Allah untuk sombong – Ingat dihati bahawa sifat sombong sangat dimurkai Allah. Akibatnya kita dicampakkan ke neraka yang panas apinya 70 kali ganda api dunia dan dalamnya 70 ribu tahun perjalanannya baru sampai ke dasarnya.

7. Ingatlah neraka yang keseluruhannya api- diatasnya, dibawahnya, dikanan kirinya adalah api yang memakan dan menghanguskan daging-daging dan tulang belulang manusia. Kemudian di ganti dengan tubuh yang baru dan diseksa lagi. Begitulah berulang-ulang sepanjang masa.

8. Walhal di waktu kita dibelenggu kaki dan tangan serta dicemeti berterusan oleh malaikat Zabaniah, bau neraka yang busuk tidak dapat digambarkan. Kalau ditakdirkan bau itu dicium penduduk dunia akan matilah semua lantaran busuknya.

Perkara di atas perlu difikirkan, direnungkan dan diingatkan selalu dalam hati agar tidak lupa. Kesannya diharap akan menakutkan untuk kita bersikap sombong atau ego. Harapan kita moga-moga Allah SWT sentiasa memimpin kita agar menjadi hamba yang merendah diri.

Author : Md. Sanusi Ismail

No comments:

Post a Comment