Sunday, August 30, 2009

Bilakah Wajib Tunai Nazar?

Bilakah wajib ditunaikan nazar bergantung kepada kandungan nazar itu sendiri. Jika nazar dikaitkan dengan hari atau tarikh tertentu, maka wajiblah ditunaikan pada hari dan tarikh tersebut. Jika bernazar secara umum tanpa mengaitkannya dengan hari atau tarikh tertentu, maka masa untuk tunaikan nazar itu ialah seumur hidup (yakni hendaklah ditunaikannya sebelum kematian). Namun demikian, menyegerakannya adalah disunatkan sebagaimana disunatkan menyegerakan ibadah sebaik sahaja masuk waktunya.

Oleh itu, nazar hendaklah ditunaikan mengikut sebagaimana yang dinazarkan selagi ia tidak bercanggah dengan Syarak. Jika tidak dapat ditunaikan, barulah berpindah kepada yang lain yang setara atau yang lebih baik dari yang dinazarkan.

Amru bin Syu’aib meriwayatkan dari bapanya yang meriwayatkan dari datuknya menceritakan; seorang wanita berkata kepada Nabi s.a.w.; “Ya Rasulullah, aku bernazar untuk menyembelih binatang di tempat sekian sekian di mana tempat itu dahulunya orang jahiliyah menyembelih di situ”. Rasulullah bertanya; “Adakah menyembelih untuk berhala?”. Ia menjawab; “Tidak”. Kata Nabi; “Jika begitu, tunaikanlah nazar kamu (di situ)”. - (Hadis riwayat Imam Abu Daud).

Dalam menunaikan kewajipan, ketepikan kepentingan atau perasaan peribadi, sebaliknya fokuskan kepada melaksanakan kewajipan itu.

Rujukan;

1. al-Wajiz Fi al-Fiqh al-Islami, Dr. Wahbah az-Zuhaili, 1/512.
2. at-Tahzib, Imam al-Baghawi, 8/152.
3. al-Fiqh al-Wadhih, Dr. Muhammad Bakr Ismail, 2/374.

Posted by USTAZ AHMAD ADNAN FADZIL

No comments:

Post a Comment