Monday, August 3, 2009

Mengupah Qari Untuk Membaca Al Quran

Mengupah seorang qari’ untuk membaca Al-Qur’an bagi orang yang telah meninggal termasuk bid’ah dan makan harta manusia dengan tidak benar. Apabila seorang qari’ membacakan Al-Qur’an dengan tujuan untuk mendapatkan upah atas bacaannya, maka perbuatannya termasuk kebatilan, ini kerana dia menginginkan harta dan kehidupan dunia dari perbuatannya tersebut. Allah Subhanahu wa Ta’ala telah berfirman:-

“Ertinya : Barangsiapa menghendaki kehidupan dunia dan perhiasannya, nescaya kami berikan kepada mereka balasan pekerjaan mereka di dunia dengan sempurna dan mereka di dunia itu tidak akan dirugikan. Itulah orang-orang yang tidak memperoleh di akhirat, kecuali Neraka dan lenyaplah di akhirat itu apa yang telah mereka usahakan di dunia dan sia-sialah apa yang telah mereka kerjakan” (Huud : 15-16).

Perkara ibadah -termasuk membaca Al-Qur’an- tidak boleh dilakukan dengan tujuan duniawi dan mencari harta, akan tetapi harus dilakukan dengan tujuan untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Seorang qari’ yang membaca Al-Qur’an dengan diupah, maka tiada pahala baginya, dan bacaannya tidak akan sampai kepada orang yang telah meninggal. Harta yang dikeluarkan merupakan harta yang sia-sia, tidak bermanfaat. Kalaulah harta itu digunakan untuk suatu sedekah atas nama orang yang meninggal, sebagai ganti daripada mengupah seorang qari’, maka inilah perbuatan yang disyariatkan dan boleh mendatangkan suatu manfaat bagi orang yang telah meninggal.

Maka menjadi kewajipan bagi para qari untuk mengembalikan harta yang telah mereka perolehi daripada manusia sebagai upah atas bacaan yang mereka lakukan atas orang yang telah meninggal. Ini kerana menggunakan harta tersebut tergolong makan harta manusia dengan cara tidak benar. Dan hendaklah mereka takut kepada Allah SWT dan memohon kepadanya untuk memberikan rezeki kepada mereka dengan cara selain cara yang haram tersebut.

Bagi setiap muslim hendaknya tidak makan harta manusia dengan cara yang tidak disyariatkan sedemikian ini. Benar bahawa membaca Al-Qur’an termasuk salah satu ibadah yang utama, barangsiapa membaca satu huruf daripada Al-Qur’an maka akan mendapatkan suatu kebaikan, dan suatu kebaikan mendapatkan balasan sepuluh kali ganda. Tapi itu bagi orang yang niatnya benar dan hanya menginginkan keredhaan Allah semata serta tidak menginginkan suatu tujuan duniawi.

Mengupah seorang qari untuk membacakan Al-Qur’an bagi orang yang telah meninggal :

Pertama : Termasuk perbuatan bid’ah, kerana tidak ada daripada para salaf shalih yang melakukannya.

Kedua : Bahawa perbuatannya termasuk memakan harta manusia dengan cara tidak benar, kerana suatu ibadah dan ketaatan tidak boleh mengambil upah kerananya.

(Nur ‘Alad Darbi, Juz III, I’dad Fayis Musa Abu Syaikhah)
(Disalin dari kitab 70 Fatwa Fii Ihtiraamil Qur’an edisi Indonesia 70 Fatwa Tentang Al-Qur’an, Penulis Abu Anas Ali bin Husain Abu Luz, Penerjemah Ahmad Amin Sjihab, Penerbit Darul Haq)

Oleh
Syaikh Shalih bin Fauzan Al-Fauzan

No comments:

Post a Comment