Saturday, September 12, 2009

10 Adab Puasa Dan Solat Tarawih

Setiap orang yang mengerjakan puasa perlu mematuhi beberapa peraturan dan adab yang akan menyempurnakan ibadah tersebut, di antara yang terpenting :

1. Menjaga lidahnya daripada berdusta, mengumpat dan mencampuri urusan orang lain yang tiada kena mengena dengannya.

2. Memelihara mata dan telinga daripada melihat dan mendengar perkara yang dilarang oleh Syarak dan perkara yang sia-sia.

3. Mengawal perutnya daripada merasai makanan dan minuman yang haram atau mengandungi unsur syubhat, terutama ketika berbuka dan berusaha sedaya upaya mungkin untuk menghasilkan pemakanan yang halal lagi bersih.

Ulama silam pernah berpesan: `Apabila kamu berpuasa, maka perhatikanlah apa yang akan dijadikan makanan berbukamu dan di manakah kamu akan berbuka?' Ia adalah panduan yang terbaik bagi mengawasi diri daripada terjebak dengan unsur-unsur makanan yang tidak halal.

4. Berusaha menjaga kesemua pancaindera dan anggota tubuh badan daripada mendekati atau melakukan maksiat dan perkara sia-sia. Dengan demikian ibadah puasanya akan suci dan sempurna.

Terdapat ramai yang memenatkan diri dengan berlapar dan berdahaga, membiarkan diri terdorong kepada perlakuan dosa dan noda, kerana itu puasanya rosak dan binasa dan keletihannya tidaklah berbaloi sebagaimana maksud sabda Junjungan s.a.w.: "Ramai yang berpuasa tidak mendapat ganjaran daripada puasanya melainkan lapar dan dahaga!"
-(An-Nasai)

Meninggalkan maksiat menjadi kewajipan kepada seluruh orang Islam samada mereka sedang puasa atau tidak, apatah lagi bagi yang berpuasa, ia lebih dituntut dan diwajibkan.

Sabda Rasulullah s.a.w. : "Puasa itu adalah `perisai', sekiranya seseorang dari kalangan kamu sedang berpuasa, janganlah dia bercakap kotor, melakukan keburukan dan berbuat bodoh. Jika ada orang lain yang mengejinya atau cuba memeranginya, maka hendaklah dia katakan kepada orang itu : Saya sedang berpuasa."
- (Riwayat Bukhari dan Muslim)

5. Janganlah membanyakkan tidur pada siang harinya dan makan pada malamnya, bahkan bersederhanalah pada kedua-duanya bagi menyelami keperitan lapar dan dahaga. Dengan demikian sanubarinya akan terkawal, keinginan nafsunya akan berkurangan, hatinya ceria. Itulah rahsia dan intipati puasa yang perlu dicapai.

6. Jauhkan diri daripada mengikut dorongan nafsu ketika berbuka dengan beraneka jenis makanan yang lazat-lazat. Sebaik-baiknya adat makannya sama sahaja pada bulan puasa dan bulan-bulan yang lain.

Penggembelingan diri di dalam mengurangkan tuntutan jasmani dan keinginan perasaan, memberikan kesan positif terhadap kecerahan hati nurani yang amat dituntut, terutama pada bulan Ramadan.

Mereka yang menjadikan keinginan nafsu perut sebagai tunggangan akal mereka ketika berbuka yang menyalahi kebiasaan pada bulan-bulan lain, sebenarnya terpedaya dengan pujukan iblis dan rayuannya yang bertujuan menghilangkan barakah (berkat) ibadah puasa mereka, nikmat limpahan ketenangan daripada Allah s.w.t., kekhusyukan diri ketika munajat dan berzikir kepada-Nya.

Sepatutnya orang yang berpuasa mengurangkan kadar pemakanannya sehingga terserlah kesan puasa itu pada dirinya. Kekenyangan adalah punca kelalaian, kealpaan, keras hati dan malas melakukan ketaatan kepada Allah s.w.t.

Sabdanya Rasulullah s.a.w. : "Takungan jelik yang dipenuhkan oleh manusia adalah perutnya, memadailah baginya beberapa suapan yang dapat meneguhkan tulang belakangnya. Jika dia enggan, maka berikanlah sepertiga (bahagian perutnya) untuk makanan, sepertiga kedua untuk minuman dan sepertiga terakhir bagi pernafasannya."
-(Riwayat Ahmad dan Tirmizi).

Terdapat ulama yang mengungkapkan kata-kata berikut: "Sekiranya perutmu kenyang, anggota-anggota lain akan lapar (akan menurut turutan nafsu), tetapi sekiranya perutmu lapar kesemua anggotamu akan kenyang."

As-Salaf As-Soleh (mereka yang terdahulu) mengurangkan perkara kebiasaan dan dorongan diri serta memperbanyakkan amal ibadat pada bulan Ramadan secara khusus, bahkan itulah adat mereka sepanjang masa.

7. Tidak menyibukkan diri dengan urusan duniawi pada bulan Ramadan ini, bahkan mengambil kesempatan yang ada untuk beribadat kepada Allah dan mengingati-Nya sebaik mungkin. Justeru itu dia tidak melakukan perkara duniawi melainkan sekadar keperluan hariannya atau kepada mereka yang berada di bawah tanggungannya.

Demikian yang selayaknya dilakukan pada bulan Ramadan yang mulia ini, sama seperti pada hari Jumaat yang sepatutnya dikhususkan bagi amalan akhiratnya.

8. Mempraktikkan amalan sunnah seperti segera berbuka apabila masuk waktunya, berbuka dengan buah tamar (kurma) dan jika ia tiada memadailah dengan segelas air serta melambatkan makan sahur.

Nabi s.a.w. berbuka dahulu sebelum Baginda mengerjakan solat Maghrib. Sabdanya: Umatku sentiasa berada di dalam keadaan baik (berkat) selama mana mereka mempercepatkan berbuka (apabila masuk waktunya) dan melambatkan makan sahur.
- (Riwayat Ahmad, Bukhari dan Muslim).

9. Menyediakan makanan berbuka kepada orang yang berpuasa sekalipun dengan beberapa biji tamar atau segelas air. Sabda Baginda s.a.w. : "Sesiapa yang menyediakan makanan berbuka bagi orang yang berpuasa, baginya ganjaran seumpama pahala bagi orang yang berpuasa, tanpa mengurangi sedikitpun pahalanya (orang yang berpuasa)."
- (Riwayat Baihaqi dan ibnu Khuzaimah).

10. Memenuhi malamnya dengan amalan sunat seperti solat tarawih, witir dan sebagainya. Adalah dinasihatkan kepada para imam supaya tidak mempercepatkan solat tarawihnya seperti mana amalan kebiasaan sebahagian besar mereka di masjid dan surau.
Perbuatan tersebut menjejaskan mutu ibadah solat tarawih mereka kerana meninggalkan `wajib' solat tersebut seperti, meninggalkan tumakninah semasa rukuk dan sujud, mencacatkan bacaan al-Fatihah sebagaimana sepatutnya lantaran ingin cepat dalam mengejar waktu sehingga meninggalkan makmum di belakang tertinggal rukun-rukun penting dalam solatnya.

Amalan tarawih seperti itu menjadi tidak sempurna dan berkurangan pahalanya. Kerana itu, berwaspadalah terhadap cara demikian dengan kembali mengamalkan ibadah solat seperti pada waktu-waktu lain, menyempurnakan qiyam, bacaan Al-Fatihah, rukuk, sujud, khusyuk, hadir hati dan semua peradaban solat dan rukunnya.

Bagi makmum pula disyorkan supaya sentiasa bersama imamnya dalam mengerjakan solat tarawih itu sehinggalah selesai samada sebanyak 20 rakaat atau pun 8 rakaat.
Sabda nabi s.a.w. : "Apabila seseorang menunaikan solat bersama imamnya sehinggalah imam itu (selesai dan) beredar, dikirakan untuknya (makmum) pahala qiyam semalaman." - (An-Nasai).

- Petikan Nasihat Agama dan Wasiat Iman tulisan al-Habib Abdullah bin Alwi al-Haddad

No comments:

Post a Comment