Sunday, September 6, 2009

Persoalan Sunat Sebelum Qadha; Qadha campur Sunat

DIBAWAH INI ADALAH ARTIKEL YANG DITULIS OLEH AL-FADHIL DR.ABD.BASIT BIN HJ ABD RAHMAN - (PENASIHAT JABATAN FEQH AL-AHKAM.NET )

Ibadah puasa adalah suatu amalan mulia yang amat digalakkan oleh Islam. Selain puasa fardhu Ramadhan, umat Islam juga boleh melakukan ibadat puasa sunat di luar bulan Ramadhan. Ada puasa sunat yang bersifat mingguan (seperti berpuasa pada hari Isnin dan Khamis), puasa bulanan (tiga hari dalam sebulan) dan puasa tahunan (hari Arafah, ’Asyura’ dan enam hari dalam bulan Syawal).

Puasa adalah satu ibadah yang besar keutamaannya. Abu Hurairah r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah saw bersabda:- Allah SWT berfirman (dalam hadis Qudsi):
Maksudnya: “Setiap amal manusia adalah untuk dirinya kecuali puasa, ia adalah untuk-Ku dan Aku memberi ganjaran dengannya (amalan puasa itu).”

Rasulullah menjelaskan: “Demi Allah yang jiwa Muhammad berada di tangan-Nya, nafas orang yang berpuasa adalah lebih harum di sisi Allah berbanding wangian kasturi.”
- [Sahih Muslim no: 1151]

Selain hadis di atas, terdapat banyak hadis lain yang menerangkan keutamaan puasa sunat. Abu Said Al-Khudri ra berkata: Rasulullah saw bersabda:
Maksudnya: “Sesiapa yang berpuasa satu hari pada jalan Allah, nescaya Allah swt menjauhkan mukanya dari api neraka selama 70 tahun”.
- [Sahih Al-Bukhari no: 2840]

Di antara puasa sunat ialah puasa enam hari pada bulan Syawal.

Dalil Puasa Sunat Enam Syawal.

Abu Ayyub Al-Ansari ra berkata: Rasulullah saw bersabda:
Maksudnya: “Sesiapa yang berpuasa Ramadhan kemudian dia mengiringinya dengan enam hari dari bulan Syawal maka seperti ia berpuasa sepanjang tahun.”
- [Sahih Muslim hadis no: 1164].

Di dalam hadis ini Rasulullah saw menyatakan bahawa puasa enam hari selepas bulan Ramadhan akan diganjari pahala seolah-olah berpuasa selama setahun.

Para ulama’ menghuraikan rahsia di sebalik ganjaran tersebut dengan mendatangkan dalil bahawa setiap amalan kebaikan manusia akan diganjari sebanyak 10 kali ganda. Puasa 30 hari di bulan Ramadhan diganjari sebanyak 300 hari, manakala puasa 6 hari di bulan Syawal pula diganjari dengan 60 hari. Jika dikira jumlahnya ialah 360 hari, ia hampir menyamai jumlah hari di dalam setahun sebanyak 360 hari. Sesungguhnya Allah swt Maha Berkuasa untuk memberikan ganjaran sebanyak mana yang dikehendaki-Nya.

Hikmah Puasa Sunat Enam Syawal.

Sebenarnya puasa enam hari ini mempunyai beberapa hikmah yang tertentu dari sudut kesihatan manusia itu sendiri. Puasa selama sebulan penuh di bulan Ramadhan antaranya menyebabkan sistem percernaan di dalam badan berehat seketika di waktu siang selama sebulan. Kedatangan bulan Syawal pula menyebabkan seolah-olah ia mengalami kejutan dengan diberikan tugas mencerna pelbagai makanan pada hari raya dan hari-hari selepasnya. Oleh kerana itulah, puasa enam ini memberikan ruang kembali kepada sistem pencernaan badan untuk berehat dan bertugas secara beransur-ansur untuk kebaikan jasmani manusia itu sendiri.

Selain dari itu, sebagai manusia yang menjadi hamba kepada Allah SWT, alangkah baiknya seandainya amalan puasa yang diwajibkan ke atas kita di bulan Ramadhan ini kita teruskan juga di bulan Syawal walaupun sekadar enam hari. Ini seolah-olah menunjukkan bahawa kita tidak melakukan ibadat puasa semata-mata kerana ia menjadi satu kewajipan tetapi kerana rasa diri kita sebagai seorang hamba yang benar-benar bersunguh-sungguh untuk taqarrub kepada Tuhannya. Kerana itulah kata ulama’: “Betapa malangnya orang yang hanya mengenal Allah pada bulan Ramadhan, sedangkan pada bulan lain Allah SWT dilupai”.

Hukum Puasa Sunat Enam Syawal.

Hukumnya adalah sunat. Berkata Imam An-Nawawi rh: “Hadis ini jelas menjadi dalil bagi mazhab Imam al-Syafi’e, Imam Ahmad, Daud dan ulama’ yang sependapat dengan mereka bahawa disunatkan berpuasa enam hari (pada bulan Syawal).

Imam Malik dan Imam Abu Hanifah pula menganggap hukumnya makruh. Sebabnya kerana bimbang orang ramai akan menyangka ia adalah sebahagian dari puasa Ramadhan (yang wajib hukumnya) padahal ia bukanlah dari puasa Ramadhan.”
- [Syarah Sahih Muslim 8/56]

Bilakah Dimulakan Puasa Sunat Enam Syawal?

Puasa sunat enam Syawal paling awal dimulakan pada 2 Syawal. Ini kerana tarikh 1Syawal adalah HariRaya Aidil Fitri dan kita dilarang dari berpuasa pada hari tersebut. Abu Hurairah ra berkata:
Maksudnya: “Nabi saw melarang puasa pada hari (Eidil) Fitri dan (Eidil) Adha.”
- [Sahih Al-Bukhari no: 1991].

Bagaimana Melaksanakan Puasa Sunat Enam Syawal?

Syarat dan adab bagi puasa sunat enam Syawal adalah sama seperti puasa wajib pada bulan Ramadhan.

Persoalan yang menjadi perbincangan di kalangan para ulama’ ialah:

1- Adakah ia dilaksanakan secara berturut-turut selama enam hari atau secara terputus?

Pandangan yang lebih tepat adalah ia boleh dilakukan secara terputus (tidak berturut-turut) asalkan jumlah enam hari dicukupkan sebelum berakhirnya bulan Syawal. Ini kerana apabila Rasulullah saw menganjurkan puasa sunat enam hari ini, baginda menyebut bulan Syawal secara umum tanpa memberi ketentuan hari-harinya. Maka puasa enam tersebut boleh dilaksanakan pada mana-mana hari dalam bulan Syawal asalkan bukan pada 1 Syawal dan bukan sesudah berakhir bulan Syawal.

Yang mana satu nak buat; puasa sunat atau qadha' puasa?

Persoalan yang selalu diutarakan terutamanya kaum wanita adalah, yang mana satu hendak didahulukan? Puasa sunat atau qadho'? Ada juga yang cuba memberikan penyelesaian mudah, iaitu niat 2 in 1 (Puasa Qadha' dan sunat satu niat). Cuma apa yang sebenarnya disarankan oleh ulama' adalah seseorang itu hendaklah berniat Qadho' puasa, dan berharapan Allah memberinya juga ganjaran-ganjaran orang yang berpuasa didalam bulan Syawal. Pandangan terbaik adalah melakukan puasa Qadho' dan dikuti dengan puasa enam. Mereka berpegang kepada pendapat, tidak boleh melakukan amalan sunat jika yang wajib belum disempurnakan.

Dari sudut hukum, Syiekh Dr Yusuf al-Qardhawi mengatakan tidak salah melakukan puasa sunat Syawal dahulu dan di ikuti dengan qadho' puasa Ramadhan, dengan merujuk kepada hadith A'isyah ra. yang mengqadho' puasa apabila masuknya bulan Sya'baan yang akan datang
- (hadith Mutafaq a'alaih, al-Lu'lu' wal Marjan #703).

Syeikh Ibn Utsaimin rh (Mumthi', 6/448) juga berpendapat demikian kerana surah Al-Baqarah ayat 185 hanya menyatakan bagi mereka yang sakit, atau bermusafir dan sebagainya, hendaklah mengqadho' dihari-hari lain, dan tidak mengatakan 'perlu dibuat dengan serta merta'.

Syeikh al-Qardhawi menjelaskan bahawa beliau memilih pandangan yang mengatakan eloklah diqadho' puasa Ramadhan dahulu dengan alasan tidak ada orang yang hidup ini dijamin umurnya. Mereka boleh sakit dan mati bila-bila sahaja. Orang yang kuat tiba-tiba sahaja boleh menjadi lemah atau tidak berupaya!

Cuma, bagi wanita yang mempunyai masalah haid yang panjang, yang tidak mungkin dapat melakukan puasa sunat enam hari di bulan Syawal jika dia perlu mengqadho' dahulu, Syeikh Ibn Utsaimin rh (Majmu' Fataawa Ibn Utsaimin, 20/19) mengatakan dia dibenar mendahulukan puasa enam dan dikuti dengan qadho' puasa Ramadhan di hari-hari yang lain.

Yang paling penting, tidak ada orang yang melakukan hari raya puasa enam atau Eid al-Abrar, dimana amalan tersebut ditegah oleh beberapa ulama', termasuklah Jawatan kuasa tetap fatwa Arab Saudi dan juga Syiekh Dr Yusuf al-Qardhawi. Perbuatan ini dilarang kerana seolah-olah mewujudkan Hari Raya atau Eid yang baru bagi orang-orang Islam.

No comments:

Post a Comment