Salah satu di antara sifat manusia ialah bersifat gopoh. Ini jelas telah dinyatakan di dalam Al Quran yang bermaksud: Ertinya : "Dijadikan manusia itu sangat gopoh."
Ini juga diantara ujian kepada manusia. Apakah boleh berjaya atau tidak, manusia itu mendidik dan mendispinkan diri agar menjadi manusia yang tenang. Biasanya manusia gopoh kerana jiwanya tidak tenang, sentiasa gelisah dan resah, lebih-lebih lagi jika ditimpa ujian.
Manusia itu jika tidak berusaha mendidik dan bermujahadah dengan nafsu yang gopoh-gapah dan benih gelojoh, maka benih gopoh yang semulajadi yang Allah cipta dalam diri manusia ibarat benih pokok. Ia akan bertunas, berdaun dan berbatang akhirnya membesar subur dan berbuah di waktu itu. Sifat gopohnya benar-benar berakar umbi dan mendarah mendaging di dalam diri manusia hingga menjadi tabiat, sikap dan seterusnya menjadi budaya hidupnya.
Apabila sifat gopoh telah mendarah mendaging, maka diwaktu itu amat sulit sekali untuk membuangnya kecuali berusaha dan bersungguh-sungguh berjuang memeranginya.
Memanglah setiap yang negatif itu mudah dikawal sewaktu benihnya lagi. Apabila menjulur sahaja, pangkas, potong, akhirnya dia akan bantut tapi kalau dia dibiarkan menjadi sebatang pokok yang besar maka diwaktu itu sudah amat sulit sekali untuk memusnahkannya.
MERBAHAYANYA SIFAT GOPOH
Sifat gopoh, jika telah dibiarkan tidak dididik dan tidak diasuh daripada seorang yang kecil hingga dewasa bahkan sampai tua, sangat merosakkan pada diri yang mempunyainya dan juga orang lain.
DI ANTARA KEJAHATAN DAN KEBURUKKANNYA YANG TIMBUL DARI SIFAT GOPOH:
1. Mudah mengeluarkan kata-kata atau percakapan tanpa berfikir dahulu baik buruknya. Akhirnya banyak tersalah. Rasulullah SAW bersabda: "Barangsiapa yang percaya dengan Allah dan hari kemudian, maka hendaklah ia berlaku baik dan diam."
Dalam pergaulan dan perbincangan, orang yang mempunyai sifat gopoh mudah sahaja memotong percakapan orang.
2. Gopoh dalam membuat sesuatu keputusan tanpa memikirkan lebih dahulu atau tanpa berunding dengan orang-orang yang boleh dipercayai, akhirnya keputusan itu tersalah atau tidak jitu. Akibatnya penyesalan yang tidak berkesudahan.
3. Mudah tuduh-menuduh atau menghukum. Banyak orang yang terfitnah dan teraniaya dengan sebab kegopohan. Sedangkan fitnah itu lebih dahsyat daripada pembunuhan.
4. Daripada sifat gopoh itu mudah memukul, menyerang dan membunuh orang. Timbullah kerosakan dari kejahatan dalam masyarakat. Selapas itu akan berlaku dendam-mendendam.
5. Daripada sifat gopoh, kita selalu sahaja mendapat malu padahal malu itu menghilangkan maruah kita. Hilang wibawa kita. Hilang keyakinan orang.
6. Sifat gopoh mudah membawa orang cepat merajuk, mudah putus asa iaitu sifat yang sangat dilarang oleh Allah SWT. Firmannya: "JANGAN KAMU BERPUTUS ASA DARIAPADA RAHMAT ALLAH"; "TIADA YANG BERPUTUS ASA ITU MELAINKAN KAUM YANG KAFIR"
7. Orang yang gopoh selalu sahaja tersalah, tersilap, terlajak dan tersasul yang akan merugi dan menyusahkan diri. Dengan sifat gopoh itu bukan sahaja mendorong membuat sesuatu kerja tanpa mengkaji lebih dahulu, bahkan mudah sahaja meninggalkan sesuatu kerja terbengkalai bila terasa kerja itu susah dan berat.
8. Dengan sifat gopoh, seseorang itu ada kalanya mudah marah mendadak tanpa munasabah sekalipun pada kawan, isteri, anak-anaknya; lebih-lebih lagi kalau bukan kawannya.
9. Sifat gopoh boleh membuat seseorang itu melulu bertindak. Mudah menjadikan musuh sebagai kawan dan juga menjadikan kawan itu musuh. Segala tindakan dan usaha-usahanya sembrono, tidak berdisplin, tersusun dan teratur.
10. Sifat gopoh menjadikan seseorang mudah bertukar fikiran. Mudah mengubah sikap. Mudah bertukar prinsip. Mudah dihasut hingga susah kita hendak berpegang dengan pendiriannya. Kalau dalam satu perjuangan mudah menyebelahi musuh atau memukul kawan seperjuangan.
11. Gopoh termasuk akhlak yang buruk, perangai yang hodoh, budi pekerti yang pelik, dibenci oleh Allah, Rasul dan seluruh makhluk.
12. Sifat gopoh pada seseorang membuatkannya mudah atau cepat menolak kebenaran yang dibawa oleh orang lain tanpa fikir panjang, tanpa kaji dan selidik. Sifat gopoh yang tidak dapat dikekang dan dikawal, menjadikan seseorang itu hilang sabar atau menjadi orang yang tidak sabar, terutama bila diuji dengan nikmat mahupun kesusahan.
PUNCA-PUNCA ATAU SUMBER SIFAT GOPOH
Punca atau sumber sifat gopoh itu benihnya adalah ciptaan Tuhan. Semulajadi ia lahir bersama-sama dengan tubuh manusia. Kemudian dibiarkan dia tanpa dididik hingga menjadi subur.
Didorong lagi dengan sifat ego atau sombong samada disedari atau tidak. Kerana sifat ego juga telah Allah ciptakan sejak lahir lagi. Apatah lagi didorong oleh faktor-faktor seperti ada pangkat yang tinggi, kaya, ada kuasa dan lain-lain
Mungkin kekurangan ilmu pengetahuan tentang ilmu-ilmu hati atau jiwa. Samada Mahmudahnya mahupun Mazmummahnya. Ertinya hati atau jiwanya terbiar tanpa dapat pimpinan dan didikan yang sempurna secara Islam maka terdorong dari dalaman.
Boleh jadi juga faham tentang ilmu hati atau jiwa tapi lemah bermujahadah atau tidak sungguh-sungguh bermujahadah kerana lemahnya iman atau lemahnya aqidah dan tidak tahan godaan diluar diri yang sentiasa mencabar.
Mungkin juga didorong oleh sifat tamak dan rakus. Atau didorong oleh jiwa yang lemah kerana lemahnya aqidah dan sekalipun disertakan ilmunya tapi tidak dihayati.
Sifat gopoh boleh menjadikan manusia tidak berdisplin hidupnya terutama bila berhadapan dengan dua keadaan ini:-
APABILA WAKTU SENANG DAN MEWAH
Diwaktu mereka ada duit, hilang pertimbangan. Waktu berbelanja terlalu gopoh berbelanja, membeli apa saja, bermacam-macam. Berfaedah atau tidak, perlu atau tidak; macam orang kemaruk. Hilang rasionalnya hingga timbullah pembaziran. Maka kesenangan tidak dapat dikongsi oleh orang lain.
APABILA MENDAPAT KESUSAHAN
Apabila mendapat kesusahan seperti kemiskinan, sakit, bencana alam, kemalangan, di waktu itu mereka yang gopoh itu nampak sangat melulunya dalam hendak menyelesaikan masaalah, keluh kesahnya begitu ketara, mukanya tidak ceria, maka mengadulah ia ke sana, ke mari. Dia tidak fikir orang suka atau tidak. Sesuaikah orangnya untuk mengadu atau tidak. Orang itu simpati atau benci. Dia akan ceritakan masalah, walaupun sebelum ini entah berapa kali sudah diceritakan masalahnya.
Untuk mengatasi kemiskinan, membuat yang tidak patut hingga menimbulkan masalah lebih kusut lagi seperti berhutang di sana di sini hingga hutang keliling pinggang. Begitu juga kalau sakit, apabila bertemu sahaja ubat di mana-mana dia mesti beli, sekali dua sahaja digunakan atau dimakan, kemudian beli ubat yang lain pula. Begitu sekali gopohnya membeli ubat. Sesetengahnya jumpa bomoh sami, berubat menyalahi syariat. Bersandar dengan Tuhan langsung tidak ada dalam jiwanya kerana merasakan semua masalah boleh diselesaikan dengan usahanya. Terlalu bersandar dengan usaha, hilang displin diri. Bila hilang displin diri nampaklah melulunya, tindak tanduknya hingga hilang pertimbangan akal fikirannya.
BAGAIMANA MENGHILANGKAN SIFAT GOPOH
Untuk menghilangkan gopoh kenalah tenangkan jiwa dan hati. Di dalam ajaran Islam, semua masalah ada jalan penyelesaiannya kerana Islam itu agama keselamatan dunia akhirat, penyelesai semua masalah. Al Quran ada menyatakan:
FIRMAN ALLAH:
"Dan kami menurunkan daripada Al Quran itu barang yang menjadi ubat dan rahmat kepada orang mukmin dan tidak menambah akan orang yang zalim itu melainkan rugi".
Allah SWT mengatakan Al Quran atau Islam itu adalah ubat untuk penyakit lahir dan batin, fizikal dan rohani, dunia dan akhirat dan juga menjadi rahmat kepada seluruh dunia dan akhirat. Juga menjadi rahmat kepada seluruh dunia dan akhirat bagi orang mukmin. Allah SWT menyebut orang mukmin kerana orang mukmin sahaja yang mahu tunduk dan patuh kepada Al Quran atau ajaran Islam.
FIRMAN ALLAH:
"Tidak ada ucapan orang mukmin itu apabila di ajak kepada Allah dan Rasulnya agar menghukum dikalangan mereka itu melainkan mereka berkata-kata kami dengar dan kami patuh."
Justeru itu bagi orang mukmin untuk menenangkan jiwanya, Allah SWT memberitahu di dalam satu ayat berbunyi:
"Ketahuilah bahawa dengan mengingati Allah itu, hati akan menjadi tenang."
Di sini tahulah kita bahawa ubat untuk hati yang tidak tenang ialah banyak mengingati Allah SWT. Al-Quran ada menyebut dalam sepotong ayat berbunyi;
"Barangsiapa yang berpaling daripada mengingati Aku, maka sesungguhnya baginya kehidupan yang sempit."
Credit to: Fauzynm
Saturday, September 26, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment