Wednesday, September 30, 2009

Tarbiyah Penting Bagi Mendidik Manusia

Tarbiyah merupakan satu pendekatan sepadu, bagi mendidik jiwa manusia ke arah cara hidup yang lebih praktis dengan pengamalan Islam, lebih-lebih lagi untuk menghubungkan manusia dengan Maha Pencipta. Ia juga bermatlamat untuk melahirkan manusia yang sanggup berkorban bagi memperkasa agama Allah agar ia dirasakan lebih agung dari pegangan dan ajaran ciptaan manusia.

Kaedah Tarbiyah Jiwa yang berkesan buat setiap Muslim :

1- Melakukan ibadat secara bersungguh-sungguh, menghubung diri kepada Allah serta menyerahkan diri kepada-Nya dengan rasa kerdil di hadapan-Nya, menerusi pelaksanaan amalan wajib dan meninggalkan segala larangan-Nya.

2- Memperbanyak dan membudayakan pembacaan al-Quran, merenung setiap susunan kata-katanya dan berfikir terhadap rahsia kejadian alam dan sebagainya.

3- Memperbanyak membaca dan mentelaah kitab-kitab agama berunsur nasihat, bimbingan, kaunseling, lebih-lebih lagi yang memperkatakan masalah hati, penyakit dan rawatannya.

4- Rajin untuk hadir majlis-majlis ilmu, ceramah dan forum agama yang boleh membangkitkan kesedaran diri untuk melakukan taubat kepada Allah.

5- Mampu untuk menjaga waktu dengan baik dengan perkara-perkara yang berfaedah tanpa mensia-siakannya.

6- Mesti yakin pada diri untuk berhubung dengan Allah.

7- Bergaul dengan golongan yang baik-baik, terutamanya para ulama yang boleh menunjukkan jalan kebenaran, kesabaran dan sentiasa menyeru kepada perkara yang makruf dan mencegah dari melakukan perkara yang mungkar.

8- Beramal serta menterjemahkan segala ilmu yang diperolehi secara praktikal.

9- Bermuhasabah diri terhadap perkara yang telah dilakukan, sama ada ia baik di sisi Allah atau sebaliknya.

10- Menghina diri di hadapan Allah akan segala kesalahan, keterlanjuran sama ada berupa dosa kecil apatah lagi dosa besar dan bersegera untuk memohon keampunan daripada-Nya.

11- Mengelakkan diri dari bergaul dengan manusia yang mengajak kepada perkara yang melalaikan, malah berusaha bersungguh-sungguh untuk meningkatkan kualiti amal ibadat kepada Allah SWT.

12- Bersabar terhadap karenah manusia tanpa jemu menyeru mereka untuk berpegang kepada Islam dalam apa jua keadaan, kerana ini adalah sebaik-baik tindakan yang perlu ada dalam setiap diri orang Islam.


‘Tarbiyah Ruhiyyah’

Dalam masa umat Islam sibuk dengan urusan dunia, yang sebahagiannya menyibukkan seseorang itu dari tunduk beribadat kepada Allah SWT, terdapat jenis manusia yang alpa dari berzikir kepada-Nya.

Zikir bukan mesti melalui cara yang formal dengan memegang biji tasbih, malah dalam keadaan berjalan, berdiri, duduk atau berbaring, ia boleh dilakukan dengan penuh rasa minat dan bertanggungjawab kepada-Nya. Dalam kesempatan yang terbatas ini, marilah kita perhatikan konsep ‘Tarbiyah Ruhiyyah’ atau pendidikan jiwa untuk mengisi kekosongan hati kita dengan mengingati Allah SWT.

1- Memelihara solat-solat fardhu secara berjemaah di masjid-masjid atau surau-surau dengan penuh kesungguhan, kerana solat adalah perkara pertama yang akan ditanya oleh Allah di akhirat.

2- Memelihara amalan-amalan sunat qabliyyah dan ba’diyyah.

3- Memelihara wirid dan zikir selepas solat serta zikir-zikir pagi dan petang seperti Ma’thurat.

4- Sentiasa mengucapkan lafaz istighfar iaitu “Astaghfirullah” sebanyak mungkin sebagai pengakuan melakukan kesalahan terhadap Allah.

5- Sentiasa membudayakan pembacaan al-Quran serta merenung dan bertadabbur (memerhati) isi-isi kandungannya.

6- Memelihara dan konsisten walau dua rakaat sunat solat qiyamullail.

7- Menghalakan pengharapan dan ketundukan sebenar hanya kepada Allah SWT.

8- Bersedekah secara sembunyi bagi mengelak diri daripada ditimpa bala Allah.

9- Memelihara kelas-kelas pengajian ilmu agama bagi menghidupkan minda dan roh yang sudah lama mati dan beku.

10- Berusaha untuk berkhidmat kepada orang Islam yang boleh merapat dan memperkasakan persaudaraan sesama muslim.

Amalkan cadangan agenda di atas, insya-Allah anda akan menemui sesuatu yang baru dalam hidup anda sebagai muslim yang benar-benar komited dengan Islam. Wallhu ‘Alam.


Author : Ustaz Zain Hashim

No comments:

Post a Comment