Oleh Nor Afzan Mohamad Yusof
Mendidik anak perlu bersandarkan pengetahuan, kerana meniru didikan dari keluarga yang kita anggap cemerlang semata-mata tanpa menyesuaikan dengan keluarga sendiri serta kemampuan diri, anda hanya dianggap sebagai ibubapa yang tidak berpendirian.
Didikan awal kanak-kanak amatlah penting kerana ia membawa kepada corak peribadinya pada masa depan. Mustahaknya aspek itu menyebabkan Islam amat menitikberatkan didikan anak-anak dan menggalakkan ibubapa melalui kehidupan yang sempurna.
Malah Imam Al-Ghazali pernah menyatakan: "Hendaknya anak kecil diberi kesempatan bermain. Melarangnya bermain dan menyibukkannya dengan belajar terus akan mematikan hatinya, mengurangi kecerdasannya dan membuatnya jemu terhadap hidup, sehingga dia akan sering mencari alasan untuk membebaskan diri daripada keadaan sesak itu."
Dalam hal ini, biarlah anak kecil bebas melakukan apa yang mereka suka, asalkan berfaedah untuknya serta tidak memudaratkan diri dan orang lain, namun kegiatan itu perlu dipastikan agar tidak melanggar syariat Islam.
Malangnya, segelintir ibubapa hari ini masih kurang memahami aspek didikan menjadikan anak keliru mengenai kewujudan dirinya dalam keluarga.
Pakar Psikiatrik Kanak-kanak dan Remaja, Hospital Selayang, Dr Fauzi Ismail berkata, beberapa ciri keibubapaan yang dikenal pasti diamalkan hari ini ialah mengarah, menyekat, membenarkan dan mendidik.
Jelasnya, ibubapa yang mengarah selalunya berpunca dari ibubapa yang tidak bersedia menimbang anak menyebabkan kehadiran mereka dianggap tidak penting, sementara ibubapa yang gemar menyekat cenderung mengongkong apa yang dilakukan anak hingga menyebabkan segala tindakan dilakukan anak-anak, semuanya tidak betul malah mudah menghukum.
Keibubapaan yang 'membenarkan' pula turut menimbulkan kemudaratan apabila membenarkan segala tindakan anak tanpa berfikir panjang samada sesuatu tindakan yang dilakukan itu baik atau sebaliknya. Keibubapaan yang terbaik ialah membimbing dan memberikan tunjuk ajar, menghukum apabila silap tetapi memberikan kebebasan apabila perlu.
"Didikan dianggap aspek paling penting kerana ia adalah corak awal membentuk keperibadian mereka yang dibawa sehingga ke dewasa. Selalu orang berkata, 'alah... budak-budak, biasalah kena marah kalau tidak mereka tidak belajar.' Sebenarnya, kanak-kanak boleh dimarah tetapi marah pun perlu diiringi kemahiran kerana jangan sampai anak menyangka ibubapa marah kerana membencinya, bukan marah kerana ingin memperbetulkan kesilapannya.
"Walaupun segelintir anak, secara luarannya nampak selamba dan tidak kisah bila dimarah tetapi jangan terkejut kerana ada segelintir yang menyimpan dendam, menyimpan pemikiran bahawa ibubapa membencinya hingga menyebabkan apabila dewasa, mereka enggan berjumpa ibubapanya sendiri," katanya ketika membentangkan kertas kerja bertajuk 'Menjadi Ibu Bapa Yang Baik' pada 'Seminar Ke Arah Menjadi Ibu Bapa dan Guru Mithali' baru-baru ini.
Seminar sehari itu anjuran bersama Persatuan IbuBapa dan Guru Sekolah Kebangsaan (1) Sultan Alam Shah, Petaling Jaya dan program Positive Parenting, Persatuan Pediatrik Malaysia.
Beliau berkata, didikan yang kurang sempurna boleh memberi kesan kepada anak membabitkan keyakinan diri yang rendah menyebabkan selalu ketinggalan di dalam kelas dan mempunyai masalah disiplin.
Sebaliknya didikan sempurna mampu merapatkan hubungan kekeluargaan serta melahirkan anak yang ceria dan cemerlang, serta yakin terhadap kemampuan diri kerana sering di berikan sokongan moral.
"Ibubapa selalu tersalah anggap menyatakan anak tidak memahami apa yang mereka lalui hingga menyebabkan mereka cenderung menipu. Sebagai contoh, andai seorang ibu menitiskan airmata kerana dikasari suami, anda boleh katakan "Mak menangis sebab dimarahi ayah". Kenyataan itu sudah cukup walaupun tidak menerangkan sebab dimarah, tetapi yang paling penting, jangan menipu. Jangan menitipkan elemen menipu dalam keluarga kerana kesannya buruk sekali," katanya.
Selain aspek didikan, apa yang dipertontonkan kepada anak turut mempengaruhi mereka seperti televisyen dan komputer. Kotak hiburan itu sebenarnya mampu dikawal ibubapa asalkan mereka mengambil berat apa yang dipertontonkan oleh anak membabitkan bahan yang ditonton serta jumlah masa yang diberikan.
"Program bercorak hiburan dan keseronokan semata-mata tanpa menyisipkan elemen ilmu hanya membuang masa. Program seperti realti TV yang semakin digilai kini juga harus dperhalusi kerana bukan semua yang dilihat mendatangkan manfaat. Namun dalam mendidik anak-anak ibubapa seharusnya juga mencermin diri sendiri. Andai anak dilarang menonton terlalu lama, ibubapa juga seharusnya menghadkan masa menonton. Jangan menjadi mangsa TV!
"Ibubapa perlu sedar andai mereka ingin membentuk anak menjadi sempurna, ia perlu dimulakan dari dalam diri sendiri. Berkasih-sayanglah sesama sendiri kerana kasih sayang itu mampu diluahkan dan diterapkan dalam diri anak-anak," katanya.
Fakta Mendidik Anak
Kurangkan hukuman fizikal kerana ia hanya menyakitkan, tetapi kurang berkesan mendidik. Andai anak melakukan kesilapan yang perlu diberikan denda, jelaskan erti kesilapan mereka dan kenapa denda itu perlu dilakukan, seperti "Kita mempunyai undang-undang dalam keluarga yang tidak membenarkan pulang lewat dari jam tujuh malam, dan ia perlu dipatuhi..." dan anak-anak akan menerima kesilapan itu kerana ia sudah tahu melanggar peraturan dengan pulang pada jam 10 malam.
Hukuman boleh dikenakan kepada anak-anak sebagai pengajaran tetapi beberapa perkara perlu diambil kira iaitu jangan marah ketika kita berada dalam keadaan marah; mengherdik mereka di hadapan orang ramai atau kawan-kawannya; jangan marahkan mereka kerana diri mereka sebaliknya marah atas kesalahan yang mereka dilakukan.
Ibubapa jangan terlalu berharap mendapat anak yang sempurna dari segala segi kerana adalah menjadi sesuatu yang biasa andaikata mereka melakukan kesilapan apatah lagi memang manusia tidak sempurna. Ia amat bergantung kepada sejauh mana kemampuan ibubapa itu sendiri.
Matlamat disiplin ialah untuk mengawal dan membentuk peribadi anak dengan sempurna. Ada ibubapa yang gembira andai mampu menjadikan anak bagai 'alat kawalan jauh' tetapi pernahkah kita terfikir adakah itu yang kita mahukan sedangkan anak mengikut kerana takut, bukan hormat?
Berita Harian
Saturday, October 31, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment