Dari Abu Hurairah r.a katanya, Fatimah meminta kepada Nabi s.a.w seorang khadam (pembantu) dan mengadukan bahawa beliau terlalu penat bekerja. Jawab Nabi s.a.w : "Engkau tidak akan mendapatkannya daripada kami. Mahukah engkau ku tunjukkan sesuatu yang lebih baik daripada seorang khadam? Iaitu, tasbih 33 kali, tahmid 33 kali dan takbir 34 kali ketika engkau hendak tidur.”
- (Muslim)
Huraian:-
Menurut ajaran Islam, seorang wanita tidak bertanggungjawab untuk mencari nafkah keluarga. Tujuannya supaya isteri itu dapat sepenuhnya mencurahkan perhatian kepada urusan rumahtangga, mendidik anak-anak dan membesarkan mereka. Ini bersesuaian dengan sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Ibn Umar katanya: “Rasulullah bersabda, "Isteri bertanggungjawab dalam urusan rumahtangga suaminya.”
- (Bukhari & Muslim)
Namun begitu, dewasa ini, tuntutan semasa memerlukan golongan isteri juga keluar rumah berganding bahu mencari nafkah untuk membantu suami menyara keluarga. Oleh yang demikian komitmen selaku seorang isteri, ibu dan juga seorang pekerja kepada majikan tidak dinafikan mengundang rasa penat yang tidak tertanggung secara sendirian.
Oleh itu ramai antara para isteri yang bekerja menginginkan adanya seorang pembantu rumah untuk menolong mereka menguruskan rumahtangga. Namun begitu masalah ini sebenarnya tidak hanya boleh diselesaikan dengan adanya pembantu rumah semata-mata.
Seorang suami yang memahami keadaan isterinya sudah tentu tidak akan berat tulang memberikan kerjasama, menolong serta bertolak-ansur dalam meringankan tugas isteri di rumah. Ini bukan sahaja dapat menyelesaikan masalah rumahtangga daripada berlaku pergaduhan dan sebagainya, malah dapat menumbuhkan rasa kasih dan sayang antara suami isteri kerana masing-masing dapat menerima dan mengorbankan kepentingan diri.
Di samping itu si isteri juga dianjurkan mengamalkan petua yang diajarkan oleh Rasulullah s.a.w seperti dalam hadith di atas kerana dengan menyebut nama Allah dengan berzikir kepadanya jiwa akan terasa tenang, hilang keserabutan dan keletihan .
Wednesday, October 14, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment