Wednesday, October 28, 2009

Jarak Untuk Harus Solat Qasar Dan Jamak

Soalan:

Setiap bulan saya terpaksa ke Bandar M, bandar berhampiran yang jaraknya kira-kira 60 - 70 km sehala untuk membuat pembayaran bil, bank dan sebagainya. Dan perjalanan pergi dan balik berjarak lebih kurang 120 km ke atas. Soalannya, bolehkah saya melakukan solat jamak dan qasar?


Jawapan:

Masalah jarak perjalanan yang mengharuskan jamak dan qasar (begitu juga berbuka puasa), para ulamak berbeza pandangan:-

a) Jumhur ulamak – termasuk Imam-Imam mazhab empat - telah menetapkan jarak tertentu bagi perjalanan (musafir) yang membolehkan seseorang menghimpun dan memendekkan solat.

Menurut mazhab Malik, Syafi’ie dan Ahmad: Jaraknya hendaklah tidak kurang dari dua marhalah, iaitu kira-kira 85-90KM mengikut ukuran hari ini. Jarak yang dimaksudkan ialah sehala, bukan dua hala.

Menurut Imam Abu Hanifah pula: Perjalanan yang mengharuskan solat jamak dan qasar ialah jarak yang ditempoh selama tiga hari tiga malam (mengikut perjalanan orang Arab zaman dahulu), iaitu tiga marhalah atau lebih kurang 86 KM mengikut ukuran hari ini.

Jadi berdasarkan pandangan jumhur ini, tidak harus saudara/saudari melakukan solat jamak dan qasar kerana jarak perjalanan saudara/saudari –secara sehala- tidak mencapai jarak yang ditetapkan (iaitu dua atau tiga marhalah). Jarak dua marhalah itu di hitung secara sehala iaitu jarak perjalanan pergi dari rumah/kediaman ke tempat musafir, bukan berdasarkan jarak pergi dan balik (yakni dua hala).

b) Segolongan ulamak tidak menetapkan jarak tertentu bagi musafir yang mengharuskan solat jamak dan qasar. Asalkan seseorang itu menempuh satu jarak yang dapat dinamakan musafir (perjalanan) pada bahasa manusia di mana ia keluar dari daerah atau negerinya menuju ke suatu tempat dengan menempuh satu perjalanan, maka haruslah ia mengqasar dan menjamakkan solatnya.

Di antara ulamak yang memberi pandangan sebegini ialah Imam Ibnu Hazm, Ibnu Taimiyyah, Ibnul-Qayyim dan asy-Syaukani. Berkata Imam as-Syaukani: “Sesiapa keluar dari negeri/daerahnya menuju ke satu tempat di mana ia dianggap dalam perjalanannya ke tempat tersebut sebagai musafir (yakni orang yang menempuh satu perjalanan), maka harus baginya menqasarkan solat sekalipun jaraknya kurang satu Barid”[1]
- (ad-Darari al-Madhiyyah, hlm. 167).

Berdasarkan pandangan ini, haruslah bagi saudara/saudari melakukan solat jamak dan qasar dengan jarak perjalanan yang saudara/saudari sebutkan itu.

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. al-Wajiz Fi al-Fiqh al-Islami, Dr. Wahbah az-Zuhaili, 1/265.
2. As-Solah ‘Ala Al-Mazahib al-Arba’ah, Abdul-Qadier ar-Rahbawi, hlm. 228.
3. al-Wajiz Fi Fiqh as-Sunnah Wa al-Quran al-Aziz, Dr. Abdul Adziem Badawi, hlm. 144.
4. Ad-Darari al-Madhiyyah, Imam as-Syaukani, hlm. 167.
5. Fiqh as-Shiyam, Dr. Yusuf al-Qaradhawi, hlm. 46.

Nota kaki;

[1] Iaitu lebih kurang 22 KM (Lihat; Mu’jam Lughatil-Fiqh, Prof. Dr. Muhammad Rawwas Qal’ah Ji, hlm. 87).

Posted by USTAZ AHMAD ADNAN FADZIL

No comments:

Post a Comment