Thursday, October 8, 2009

Putus Asa Dengan Hidup

Soalan:-

Saya berkenalan dengan seorang kawan melalui email. Saya tidak pasti apa masalah dia. Tetapi baru-baru ini dia ada mengatakan bahawa hidup ini tidak berguna dan kalau dia mati, sudah pasti dia tidak akan menempuhi sebarang masalah lagi di dunia ini. Sebagai kawan, saya ingin membantunya agar lebih bersabar. Apakah cara terbaik untuk memujuknya agar tidak mensia-siakan hidup ini?

Jawapan:-

Nasihatilah dia dengan mengatakan bahawa bagi orang mukmin, panjang umur dengan memperbanyakkan amal soleh lebih baik daripada kematian.

Sabda Rasulullah s.a.w: "Sebaik-baik manusia ialah yang panjang umur dan baik amalannya."
– Riwayat al-Tirmizi, no. 110. Disahihkan oleh al-Albani dalam sahih al-Tirmizi.

Ramai di kalangan para ulama terdahulu menangis ketika saat ajal mereka menjelang kerana kesal akan terputus amal soleh. Rasulullah s.a.w melarang kita mengharapkan kematian kerana ia akan menyekat orang mukmin melakukan kebajikan, kenikmatan ibadah dan terputusnya masa untuk bertaubat.

Sabda Rasulullah s.a.w: "Janganlah salah seorang antara kamu mengharapkan kematian dan janganlah memintanya sebelum ia datang kepada seseorang. Sesungguhnya apabila mati salah seorang kamu, terputuslah amalannya. Tidak bertambah umur seseorang mukmin itu melainkan padanya ada kebaikan."
– Riwayat Muslim.

Sabda Rasulullah s.a.w: "Jangan salah seorang antara kamu mengharapkan kematian. Jika dia telah melakukan kebaikan, maka dia masih ada masa menambah amalannya. Jika dia telah melakukan kejahatan, maka dia masih ada masa untuk bertaubat kepada ALLAH dan menghentikan amalan itu."
– Riwayat al-Bukhari.

Anas bin Malik r.a berkata bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: "Janganlah salah seorang kamu mengharapkan kematian disebabkan kesempitan hidup yang menimpa. Jika dia rasa perlu juga mengharapkannya, maka ucapkanlah: Ya ALLAH, hidupkanlah aku selagi mana ia baik untukku dan matikanlah aku jika ia baik bagiku."
– Muttafaqun 'alaih.

Mungkin rakan itu fikir, setelah mati dia akan berehat selama-lamanya. Dia lupa bahawa sebenarnya mati itu adalah permulaan kepada segala keperitan seksaan atas segala dosa yang pernah dilakukan di dunia ini.

Aisyah menceritakan bahawa ada orang berkata kepada Rasulullah: "Wahai Rasulullah, seorang wanita telah meninggal dan dia dalam keadaan berehat. Maka Rasulullah s.a.w marah dan berkata: Hanya orang yang diampuni sahaja yang berehat".
- (Riwayat Ahmad, no. 24192. Disahihkan oleh al-Albani dalam al-Silsilah al-Sahihah).

Tetapi, dibolehkan mengharapkan kematian dalam dua perkara berikut:

1. Takut agamanya diuji sehingga menyebabkan dia kufur, sesat atau sebagainya. Dengan ini, kematian akan menghindarkan seseorang daripada ujian itu.
- (Riwayat Ahmad dan disahihkan oleh al-Albani).

2. Jika mati yang diharapkan itu ialah mati syahid.

Sabda Rasulullah s.a.w: "Sesiapa yang meminta kepada ALLAH mati syahid dengan bersungguh-sungguh, ALLAH akan menyampaikannya ke darjat syuhada walaupun dia mati di atas tilam."
– Riwayat Muslim.

Kesimpulannya, seorang yang beriman pada ALLAH dan Rasul-NYA tidak patut mengharap atau meminta agar dia dimatikan. Walau seberat mana pun musibah yang menimpanya. Mintalah kepada ALLAH agar DIA memberikan kekuatan dan kesabaran dalam menghadapi apa sahaja ujian hidup.

(Rujuk: www.islam-qa.com).

Ustazah Sakinah

No comments:

Post a Comment