Berikut adalah sebahagian petikan dari ceramah Dato' Ismail Kamus:
1. Selalunya ketika kita sedang berpuasa sunat, apabila ada orang ajak makan kenduri, kita akan menolak, dengan alasan kita sedang berpuasa. Sayang sangat nak buka puasa, kononnya nak dapat pahala puasa penuh. Sebenarnya, kalau dalam keadaan macam ni, adalah lebih baik utamakan untuk kita buka puasa dan pergi kenduri tersebut kerana memperkenankan jemputan itu lebih utama daripada kita meneruskan puasa sunat.
2. Ramai yang menganggap Islam ini hanya pada ibadat sahaja. Hukum solat, puasa, haji, dijaga sepenuhnya tetapi hukum-hukum yang lain langsung tidak mahu ikut cara Islam. Contohnya bab riba, rasuah, dan sebagainya. Islam itu syumul (menyeluruh).
3. Sesetengah masjid suka bertarhim (baca ayat al-Quran sebelum azan Subuh) dan dilaungkan kuat-kuat speaker tu sampai satu kampung dengar. Kadang-kadang tu satu jam atau setengah jam sebelum azan, dah bunyi dah. HARAM hukumnya, kerana mengganggu orang tidur. Kena ambil kira orang di sekeliling tu mungkin ada orang tua, kanak-kanak baru lahir, orang sakit, orang yang tidur semula selepas bangun tahajjud, dsb... buat apa nak kacau mereka tidur?
Yang disyariatkan dalam agama adalah azan Subuh sahaja. Kalau nak baca al-Quran pun, baca sorang-sorang sudah cukup, tak payah bagi sekampung dengar. Rasa-rasa macam dapat pahala, rupa-rupanya dapat bala.
Sebenarnya kalau kita sedang baca al-Quran sorang-sorang, tiba-tiba kawan sebelah kita tertidur, kita kena berhenti membaca al-Quran sebab menghormati orang yang sedang tidur itu. Inikan pulak sekampung??
Kalau nak bertarhim kuat-kuat pun, agak-agak dalam 10 minit atau 5 minit sebelum azan tu, cukuplah. Tak payah lama-lama. Sempat la orang nak bangun bersiap-siap untuk ke masjid. Kalau ada AJK masjid yang baca ni, please advise..
4. Apabila kita hendak sembahyang, tiba-tiba hidangan makanan dah disediakan, makanlah dulu. Ini kerana bimbang kita tidak khusyuk dalam sembahyang nanti. Begitu juga jika kita terlalu mengantuk, tidurlah dulu baru sembahyang tapi dengan syarat masih di awal waktu lah..
5. Sesetengah orang menghadapi masalah ketika hendak bertakbiratul ihram. Kadang-kadang angkat takbir berulang-ulang kali tapi masih tak masuk niat juga. Itu cuma gangguan syaitan sahaja. Memang ada syaitan yang tugasnya khas hanya untuk mengacau orang yang sedang bertakbiratul ihram sahaja. Pedulikan bisikan syaitan itu, yakin dengan diri sendiri.
Berkenaan dengan niat pula; niat itu bukannya dibaca dalam hati, tapi hanya lintasan dalam hati sahaja. Jika dibaca, itu yang menyebabkan susah nak masuk sebab panjang sangat nak dibaca.
Apa yang dikhuatiri adalah berikut: Jika anda sudah bertakbiratul ihram kali pertama dan andainya ia sudah sah disisi Allah, tapi kemudian anda ragu-ragu, lantas anda turun semula dan takbir untuk kali kedua, takbir yang kali kedua itu akan menyebabkan solat anda menerusi takbir pertama tadi terbatal. Dan jika anda meneruskan solat dengan takbir kedua itu, bermakna anda meneruskan solat dalam keadaan solat yang terbatal. Melainkan anda melakukan takbir kali ketiga. Jadi kesimpulannya, make yourself firm & confident ketika takbir seelok-eloknya dapat pada takbir pertama dan jangan peduli dengan bisikan syaitan..
6. Terdapat segelintir imam yang berdoa selepas solat akan memulakan doa dengan "Hamdan hamidin", "Hamdan zakirin", atau "Hamdan syakirin". Bunyinya memang sedap, tapi dari segi nahu bahasa arabnya salah. Ini kerana terdapatnya huruf Alif Lam pada perkataan kedua di setiap bacaan tersebut. Jadi yang sebetulnya harus disebut begini: "Hamdal-hamidin" , "Hamdaz-zakirin" dan " Hamdasy-syakirin" . (p/s: huruf z adalah huruf zal).
7. Menurut mazhab Shafie, mesti terdapat 7 anggota yang menyentuh tanah ketika kita sedang sujud iaitu dahi (hidung sunat sahaja), kedua-dua tapak tangan, kedua-dua lutut dan kedua-dua PERUT IBU JARI KAKI. Yang nak ditekankan di sini adalah berkenaan perut ibu jari kaki, bermakna ibu jari kaki mestilah dilentikkan ketika sujud, barulah perutnya boleh mencecah tanah.
Terdapat ramai orang yang kakinya menegak sahaja tanpa dilentikkan. Ketika sujud, tidak sah solat kalau macam tu. Lagi satu yang selalu mesti diperhatikan ialah ketika sujud sebelum tahiyat akhir, ada yang dah standby siap-siap dah kakinya disilangkan seperti tak sabar-sabar hendak duduk tahiyat akhir. Itu pun tak sah juga solatnya. Berjaga- jaga!! Jangan disebabkan hal yang kita anggap remeh macam ni, menyebabkan solat kita tidak diterima oleh Allah.
8. Di bulan puasa, orang kita rajin menghantar kuih-kuih atau juadah-juadah ke rumah jiran. Memang bagus sekali. Tapi silapnya di mana? Orang kita selalu mengharapkan dibalas juadah tadi. Itulah silapnya! Niat dah lari. Kalau menghantar kuih-muih ke rumah sebelah, niatlah kerana Allah. Jangan mengharapkan dibalas. Kalau dibalas, itu rezeki lah..
9. Apabila kita bersolat di tempat yang mempunyai ruang terhad dan orangnya ramai, contohnya di surau R&R, dalam kapalterbang, dan sebagainya, sesudah kita solat, teruslah bangun untuk bagi ruang kepada orang lain pula untuk solat. Tak payah nak berwirid / berdoa panjang-panjang, sembahyang sunat ba'diah sebab lebih utama untuk kita beri orang lain peluang untuk solat, menunaikan perkara wajib berbanding kita nak buat perkara-perkara sunat, lebih-lebih lagi kalau waktu maghrib, sebab waktunya pendek. Saya perhatikan dekat R&R, ramai orang macam ni..
10. Menunaikan haji sememangnya adalah rukun bagi kita tetapi kita kena pandai menyusun keutamaan. Contohnya, jika kita sudah cukup duit hendak pergi haji tahun ni, tiba-tiba ada saudara kita yang jatuh sakit memerlukan kos perubatan yang tinggi, kita kena tangguhkan dulu pergi haji tu. Guna duit tu untuk membantu saudara kita. Itu yang dituntut dalam Islam.
11. Jika kita hendak sembahyang sunat, tiba-tiba ada tetamu datang rumah, kita kena tangguhkan sembahyang itu dan pergi layan tetamu dulu. Itu yang lebih utama. Contohnya apabila selesai solat zohor, kita hendak solat ba'diah, tiba-tiba ada tetamu datang, tangguhkan solat ba'diah tu dan pergi layan tetamu dulu. Selepas dah selesai tetamu pulang, baru buat solat ba'diah. Dan jika dah tak sempat, solat ba'diah zohor boleh diqada selepas solat asar, walaupun selepas asar dah tak boleh solat sunat lagi. Tetapi jika untuk qada solat ba'diah zohor, boleh, kerana ini pernah dibuat sendiri oleh nabi s.a.w. tapi itu pun jika ada hal yang tidak dapat dielakkan. Kalau saja-saja hendak qada, tidak boleh.
Sebagai kesimpulan kepada point-point di atas, kita hendaklah pandai menyusun keutamaan dalam beribadat. Utamakan yang lebih utama. Jika kita gagal mengutamakan yang lebih utama, boleh menyebabkan ibadat kita sia-sia sahaja, malah sesetengahnya boleh mengakibatkan dosa pula..
Manusia selalu heboh mencari sesuatu yang bakal ditinggalkan, tak dihebohkan untuk menyiapkan sesuatu yang bakal dibawa... .. Renung-renungkanlah ...
Posted By : danial7
Sunday, October 18, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment