Thursday, October 1, 2009

Bayar Zakat Kepada Ibubapa

Memberi zakat kepada ibubapa sendiri, hukumnya Tidak Harus. Begitu juga tidak harus memberi zakat kepada anak atau cucu. Jika ibubapa dalam kesempitan, nafkah mereka dengan sendirinya wajib ditanggung oleh anak-anak walaupun tidak tinggal bersama. Oleh demikian, tidak timbul alasan untuk membayar zakat kepada ibubapa sekalipun miskin atau dalam kesempitan. Lagipun membayar zakat kepada orang-orang di bawah tanggungan akan menyebabkan zakat tidak ke mana melainkan kepada diri sendiri. Itu sekiranya faktor pemberian zakat adalah kerana kemiskinan atau kefakiran mereka.

Adapun jika pemberian zakat dibuat atas dasar yang lain dari itu iaitu atas dasar amilin (petugas pungutan zakat), gharimin (orang yang dibebani hutang), fi riqab (hamba yang ingin dibebaskan) dan fi sabilillah, maka Harus zakat diberikan atas sifat tersebut sekalipun kepada ibubapa, anak dan cucu.

Kesimpulannya:-

Hukum memberi zakat kepada ibubapa - jika atas alasan mereka miskin, tidaklah harus kita memberi zakat kepada mereka kerana nafkah hidup mereka tertanggung atas bahu kita sebagai anak.

Adapun jika atas alasan untuk melangsaikan bebanan hutang mereka atau sebagainya lagi (yang disebut tadi), haruslah kita memberi zakat untuk mereka. Ini kerana walaupun kita wajib menafkahi mereka, namun hutang mereka tidaklah wajib kita membayarnya. Kerana itu, kedudukan mereka dalam hal tersebut sama seperti orang lain.

Wallahu a'lam.

Posted by USTAZ AHMAD ADNAN FADZIL

No comments:

Post a Comment