Sakit ialah perkara biasa yang berlaku kepada manusia dan binatang. Sakit ada yang sembuh dan ada yang tidak. Sakit juga ada yang membawa kepada kematian dan ada yang tidak. Ada ketikanya sakit menyebabkan kita seronok dan ada sakit yang kita tidak suka. Tetapi sakit yang akan saya perkatakan ini ialah sakit yang biasanya dikaitkan dengan kematian.
Selain rawatan dan berubat, apakah perkara yang patut kita lakukan bila kita sakit? Saya mengambil intipati penting dari tulisan Sheikh Muhammad Nasiruddin Al-Albani dalam bukunya Ahkam Al-Jana’iz wa bida’uha.
1. Hendaklah orang yang sakit itu redha dengan qadha’ Allah, sabar dengan qadar-Nya, berbaik sangka kepada Allah. Sebagaimana Nabi SAW menunjukkan ketakjuban terhadap sikap sebenar orang beriman, yang mana, apabila mereka diberikan kebaikan, mereka bersyukur, manakala apabila mereka diberikan kemudaratan, mereka bersabar.
Juga, Nabi SAW bersabda dengan maksudnya: “Janganlah seseorang kamu mati, melainkan dia berbaik sangka dengan Allah Ta’ala”
- (Riwayat Muslim, Baihaqi dan Ahmad)
2. Hendaklah orang yang sakit itu, mempunyai perasaan takut dan berharap. Takut kepada hukuman Allah di atas dosa-dosa yang telah dilakukannya dan pada masa yang sama berharap kepada rahmat daripada Allah SWT.
Pada suatu ketika Nabi SAW menziarahi seorang anak muda yang hampir kepada kematian. Baginda bertanya: “Bagaimana keadaan kamu?” Anak muda itu menjawab, “Demi Allah, Wahai Rasulullah! Sesungguhnya aku berharap kepada Allah, dan sesungguhnya aku takut kepada dosa-dosaku”. Maka jawab Nabi SAW, “Tidak berhimpun dalam hati seseorang hamba Allah seperti ini, melainkan Allah memberinya apa yang dia harapkan dan memberi keamanan kepadanya daripada apa yang dia takuti”.
- (Dikeluarkan oleh Al-Termizi dengan sanad hasan, Ibnu Majah, Abdullah Bin Ahmad dalam Zawa’id Al-Zuhd dan Ibnu Abi Al-Dunya dalam Al-Targhib)
3. Ketika sakit yang bersangatan, tidak dibenarkan kepada si pesakit untuk meminta mati. Ini berdasarkan hadith Ummu Al-Fadhl, apabila Abbas (bapa saudara Nabi) yang ketika itu sakit, merungut-rungut dan berharap supaya cepat mati.
Maka Nabi SAW bersabda kepada bapa saudaranya yang bermaksud, “Wahai pakcik, Janganlah kamu bercita-cita (minta) untuk (disegerakan) mati. Maka sesungguhnya, jika engkau seorang yang baik, maka mati yang lambat itu akan (memberi peluang untuk kamu) menambahkan kebaikan kamu. Maka itu baik untuk kamu. Manakala jika kamu banyak kejahatan, maka mati yang lambat itu akan melambatkan cercaan (hukuman) di atas kesalahan kamu, dan itu baik untuk kamu (kerana sempat untuk bertaubat). Oleh itu janganlah kamu meminta (dipercepatkan) kematian”.
- (Hadith dikeluarkan oleh Ahmad 6/339, Abu Ya’la 7076, Al-Hakim 1/339, dan Al-Hakim berkata hadith tersebut sahih mengikut syarat Bukhari & Muslim dan ini dipersetujui oleh Al-Zahabi tetapi ianya sahih hanya berdasarkan syarat Bukhari sahaja).
Namun begitu, boleh meminta mati dengan meletakkan syarat bahawa jika mati itu mendatangkan kebaikan kepada kita sebagaimana hadith marfu’ yang diriwayatkan oleh Anas r.a.: “Ya Allah, hidupkan aku jika kehidupan ini baik untukku, dan matikanlah aku jika kematian baik untukku”.
- (Hadith ini dikeluarkan oleh Bukhari, Muslim, Al-Baihaqi 3/377, Al-Irwa’ 683)
4. Jika terdapat hak-hak orang lain ke atas si pesakit (contohnya hutang, pinjaman dsb) maka hendaklah ditunaikan atau diselesaikan hak-hak tersebut.
Nabi SAW memperingatkan kita sebagaimana berikut: “Sesiapa yang mati sedangkan terdapat hutang ke atasnya (yang belum selesai), maka tiada lagi di sana (alam akhirat) dinar dan dirham tetapi (yang ada) ialah kebaikan dan keburukan”.
- (Hadith ditakhrijkan oleh Al-Hakim 2/27, ianya sahih di sisi Al-Hakim dan dipersetujui oleh Al-Zahabi, manakala Ibnu Majah dan Ahmad meriwayatkan dengan dua jalan daripada Ibnu Umar dan Al-Munziri mengatakan ianya hasan).
Imam Al-Tabrani pula meriwayatkan dalam Al-Kabir hadith berikut: “Hutang ada dua jenis. Sesiapa yang mati, dan dia berniat untuk membayar hutang tersebut, maka aku menjadi walinya. Dan sesiapa yang mati, sedangkan dia tidak berniat untuk membayar hutangnya itu, maka hutang itu akan dibayar dengan mengambil pahala kebaikannya. Pada masa itu (akhirat), tiada lagi (pembayaran hutang dengan menggunakan) dinar dan dirham.”
5. Hendaklah pesakit berwasiat kepada kaum kerabatnya yang tidak mewarisi harta pusakanya (kerana bukan waris) sebagaimana Surah Al-Baqarah ayat 180.
6. Apabila berwasiat tentang hartanya, maka hendaklah dia membuat wasiat tidak lebih 1/3 daripada hartanya. Adalah lebih baik (afdhal) jika dia berwasiat kurang daripada 1/3 hartanya. Ini berdalilkan kepada hadith Sa’ad Bin Abi Waqas.
Dalam dalil yang lain juga Nabi SAW menunjukkan bahawa membuat wasiat pada kadar 1/3 harta masih dianggap sebagai banyak. Sebab itu lebih baik jika wasiat dibuat pada kadar yang kurang daripada 1/3 harta yang ada.
7. Wasiat tersebut hendaklah disaksikan dengan dua orang saksi lelaki yang adil dan beragama Islam. Jika tiada yang beragama Islam, dibolehkan menggunakan saksi bukan Islam.
8. Tidak dibenarkan mewasiatkan harta kepada ibubapa dan kaum kerabat yang merupakan waris kepada pesakit. Ini berdasarkan khutbah baginda ketika haji perpisahan yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah telah memberikan kepada setiap yang berhak akan haknya, maka tidak boleh berwasiat kepada waris”.
9. Dilarang memberikan wasiat yang memudaratkan, seperti menghalang hak-hak waris atau memberikan kelebihan kepada seorang waris mengatasi waris lain.
10. Wasiat yang mempunyai elemen kejahatan dan batil adalah tertolak.
11. Kebanyakan manusia pada hari ini, biasanya melakukan perkara bid’ah dalam agama mereka termasuk dalam urusan jenazah. Maka wajib ke atas orang Islam untuk memberikan nasihat dan wasiat supaya urusan penyelenggaraan jenazah sehingga kepada pengkebumian dan lain-lain yang bersangkutan dibuat mengikut sunnah Nabi SAW.
Banyak athar sahabat Nabi yang menunjukkan para sahabat berwasiat dengan wasiat sedemikian. Contohnya, wasiat supaya menyegerakan pengkebumian, tidak membina sebarang binaan atas kubur, jangan ada sesuatu yang memisahkan antara mayat dengan tanah, dan perkara-perkara lain yang telah diajar oleh Nabi SAW.
Imam Nawawi dalam Al-Azkar juga menyebut bahawa mustahab yang sangat dituntut, agar diberikan wasiat kepada mereka (yang hadir di sisi pesakit) supaya mereka menjauhkan diri dari perkara bid’ah yang telah menjadi adat dalam masyarakat tentang jenazah.
Sekian.
Oleh : Ustaz Ahmad Jailani Abdul Ghani
Saturday, October 24, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment