Saturday, June 13, 2009

Berkumur Semasa Mandi Janabah

Soalan:-

Adakah mulut dan di dalamnya (gigi/ lidah dsbnya) termasuk dalam anggota hadas yang mesti disampaikan air keseluruhannya?

Jawapan:

Masalah berkumur dan memasukkan air ke dalam hidung semasa mandi janabah, termasuk dalam masalah khilaf.

Punca khilaf, kerana hadis Ummu Salamah yang bertanya Nabi s.a.w. tentang cara mandi janabah, tidak menyebut tentang berkumur.

Iaitu Ummu Salamah berkata: “Wahai Rasulullah, aku wanita yang mengikat jalinan sanggul kepalaku. Adakah aku patut meleraikannya untuk mandi janabah?”.

Baginda bersabda: “Tidak. Cukup hanya dengan kamu mencurahkan air atas kepalamu sebanyak tiga ceduk, kemudian kamu menuangkan air ke atas kamu, maka kamu sudah menjadi suci”. Direkod oleh Muslim (no: 330).

Sementara hadis Maimunah r.a. yang menceritakan sifat mandi janabah baginda, menyebut baginda berkumur dan memasukkan air ke dalam hidung.

Kata Maimunah: “Aku meletakkan air kepada Nabi s.a.w. untuk mandi. Lalu baginda membasuh tangannya dua atau tiga kali. Kemudian menuangkan atas tangan kirinya lalu membasuh bahagian sulit. Kemudian, baginda mengesat tangannya pada tanah. Kemudian, baginda berkumur dan istinsyaq, membasuh muka dan dua tangannya, kemudian mencurahkan ke atas badannya. Kemudian, baginda beralih tempat lalu membasuh dua kakinya”. Direkod oleh Bukhari (no: 254).

Ada ulama yang mengatakan hadis Maimunah r.a. adalah perincian dan tafsiran kepada hadis-hadis yang umum yang tidak menyebut berkumur. Natijahnya, hukum berkumur adalah wajib.
Dan ada ulama yang mengatakan hadis Maimunah yang menyebut berkumur hendaklah difahami bahawa ia sunat, bukannya wajib. (Bidayah al-Mujtahid 1/40)

Oleh kerana khilaf antara sunat dan wajib, lebih aula ia dilakukan untuk keluar daripada khilaf ulama, lebih terjamin dari sudut menunaikan tanggungjawab syarak, dan bertepatan dengan sunnah baginda.

Wallahu A’lam.

No comments:

Post a Comment