Monday, December 28, 2009

Apa Ada Di Dalam Kaabah?

Apakah Rahsia Ka'abah?

Pada keseluruhannya, Kaabah adalah suatu binaan mulia yang penuh dengan keberkatan. Al Tabrani meriwayatkan di dalam al-Mu`jam al-Kabir daripada Ibn Abbas bahawa Rasulullah SAW menyatakan: "Sesungguhnya Allah menurunkan 120 rahmat ke atas Kaabah, setiap hari 60 untuk orang yang melakukan tawaf, 40 untuk orang yang solat dan 20 untuk orang yang memandangnya."

Seni bina

Kaabah ialah sejenis binaan yang berbentuk kiub. Tingginya kira-kira 13.10 m (42.98 ka), dengan sisi selebar 11.03 m (36.19 ka) kali 12.86 m (42.19 ka). Bangunan berbentuk kubus berukuran 12 x 10 x 15 meter disebut juga dengan nama Baitullah dan Baitul Ateeq iaitu bermakna paling awal dan lama. Ia juga bermakna bebas dan merdeka.

Sejarah

Binaan Kaabah, kiblat bagi orang Islam, terletak di Masjidil Haram di Mekah. Menurut tradisi Islam, Kaabah dibina semula 12 kali. Para akademik dan sejarahwan berkata Kaabah dibina semula antara 5 hingga 12 kali.

Allah SWT menyatakan dalam al-Quran, Kaabah adalah rumah pertama dibina oleh Nabi Adam a.s. dengan bantuan para malaikat untuk manusia menyembah Allah SWT. Kaabah sudah beberapa kali rosak ditimpa bencana dan pelbagai punca lain. Nabi Ibrahim a.s. dengan bantuan anaknya, Nabi Ismail a.s. telah memperbaiki Kaabah, setelah diperintah oleh Allah S.W.T. untuk memperbaiki Kaabah dan membina masjid di sekitar Kaabah.

Lebar ukuran Kaabah diasaskan oleh Ibrahim adalah seperti berikut: " Dinding Timur adalah 48 kaki dan 6 inci " Dinding Hatim adalah 33 kaki " Dinding antara Hajar Aswad dan sudut Yamani adalah 30 kaki " Dinding Barat adalah 46.5 kaki. Selepas ini berlaku beberapa pembinaan semula sebelum masa Rasulullah (SAW).

Imam Abul Hassan Mawardi meriwayatkan bahawa di zaman Rasulullah s.a.w. sehinggalah ketika Saidina Abu Bakar r.a. diangkat menjadi Khalifah, Masjidil-Haram ini tidak mempunyai dinding. Perluasan Masjidil-Haram bermula pada tahun 638 Masihi oleh Saidina Umar ibn Khattab. Beliau telah membeli rumah-rumah di sekeliling Ka'abah dan diruntuhkan kesemuanya bagi tujuan perluasan. Perluasan Masjid diteruskan lagi oleh Saidina Usman ibn Affan pada kira-kira tahun 647 Masihi.

Pembinaan semula Kaabah oleh kaum Quraish

Rasulullah s.a.w. mengambil bahagian dalam salah satu daripada pembinaan semula ini sebelum baginda menjadi Rasul. Selepas satu banjir kilat, Kaabah mengalami kerosakan dan dindingnya retak. Ia perlu dibina semula. Tugas ini dibahagikan antara empat puak Quraish.

Hajar Aswad

Hajarul Aswad merupakan salah satu batu yang terdapat di penjuru Kaabah. Menurut sejarahnya, Hajarul Aswad diturunkan oleh Allah SWT dari syurga ke atas Jabal Qubais. Ia merupakan sebiji permata putih, lebih putih dari salji, tetapi lama-kelamaan menjadi hitam. Mencium Hajarul Aswad merupakan sunnah Nabi S.A.W. semata-mata, dan ini ditegaskan oleh Khalifah Umar Al-Khattab apabila sebelum beliau mencium batu itu (Hajar Aswad), beliau berkata-kata: “Aku tahu, sesungguhnya engkau hanyalah batu biasa. Andaikan aku tidak melihat Rasulullah SAW menciummu, sudah tentu aku tidak akan melakukan (mencium Hajar Aswad).”

Setelah dinding-dinding Kaabah dibina semula, tiba masanya batu Hajar Aswad diletak semula di tempatnya di dinding Timur Kaabah. Pertelingkahan berlaku apabila tiba masa untuk menentukan siapa mendapat penghormatan meletakkan batu Hajar Aswad itu. Apabila pertelingkahan hampir bertukar menjadi pergaduhan, Abu Umayyah, penduduk tertua Makkah, mencadangkan agar lelaki pertama yang memasuki pagar masjid pagi keesokkannya akan menentukan perkara berkenaan.

Lelaki itu ialah Rasulullah s.a.w. Penduduk Makkah bergembira. "Ia adalah al-Amin. Ia adalah Muhammad," jerit mereka. Baginda menghampiri mereka lalu mereka memintanya supaya memutuskan perkara itu. Baginda bersetuju.

Rasulullah s.a.w. mencadangkan agar batu hitam itu diletak di atas sehelai kain, setiap bucu kain dipegang oleh seorang pemimpin puak. Kain itu diangkat ke tempat batu itu hendak diletak. Rasulullah s.a.w. kemudian mengambil batu itu dan meletakkannya di tempatnya di dinding Kaabah.

Pada zaman Nabi Muhammad s.a.w., di dalam Kaabah ada terdapat enam tiang yang dibina oleh kaum Quraisy. Tiang itu diguna untuk menyokong bumbungnya. Dua tiang sebelah kiri, satu tiang di sebelah kanan dan tiga tiang di sebelah belakang. Tiang-tiang itu adalah tiang kayu.

Selepas pembinaan yang dilakukan Sultan Murad, cuma terdapat tiga batang tiang kayu. Tiang-tiang itu terletak di bahagian tengah Kaabah, setiap satu batang bergaris pusat lebih kurang 1.5 meter. Berwarna merah kekuningan. Satu daripada tiang itu berbentuk bulat dan dua lagi berbentuk empat persegi.

Sekitar tahun 1304 Hijrah (tahun 1884) tiang-tiang dalam Kaabah itu menjadi reput, dalam tahun 1314 Hijrah (tahun 1894) ia telah diperkuatkan dengan dibuat lengkungan kayu seperti bola di bahagian bawah setiap tiang itu yang terletak lebih kurang 1.5 meter dari lantai Kaabah. Antara tiga tiang dalam Kaabah itu jarak di antara satu sama lain ialah 2.35 meter.



Terdapat sebuah tangga kayu yang dibina di dalam Kaabah untuk menuju ke bumbung Kaabah. Di tangga itu telah dipasang dengan tirai kain sutera hitam yang dihiasi emas dan perak. Lantai dalam Kaabah dipasang marmah putih dan marmar merah. Dinding Kaabah juga dipasang marmar berwarna dan dihiasi dengan tulisan khat.



Dalam Kaabah juga terdapat tirai sutera merah putih yang tertulis kalimah syahadah. Terdapat banyak lagi perkataan yang ditulis, tirai itu digunakan untuk menutup bahagian dalam bumbung Kaabah dan empat penjuru bahagian dalam dinding Kaabah.

Oleh kerana tirai itu dibuat semasa pemerintahan Sultan Abdul Aziz Khan iaitu dalam tahun 1209 H (tahun 1789), maka dalam usia yang terlalu lama itu, warnanya menjadi seperti hijau dan kelabu.

Di dalam Kaabah itu masih ada pelbagai jenis lampu berwarna-warni yang diletakkan di antara tiga tiang Kaabah yang digunakan pada zaman Nabi dahulu. Zaman Kerajaan Umaiyyah ditukar lampu lain, seterusnya zaman Kerajaan Abasiyah juga tukar lampu. Apabila lampu di tukar, lampu yang lama di simpan di dalam Kaabah. Berpuluh-puluh atau mungkin beratus-ratus lampu lama ada disimpan di dalam itu. Lampu-lampu itu adalah hadiah-hadiah yang diberikan orang untuk Kaabah semenjak berkurun-kurun lagi. Terdapat sepasang kayu papan yang diletakkan pada dinding Kaabah, kayu itu berasal dari bahtera Nabi Noh. Terdapat sekeping marmar merah empat segi di sebelah sudut utara dalam Kaabah.



Antara barangan lain yang terdapat dalam Kaabah ialah barang tinggalan sejarah yang diletakkan di penjuru Iraqi. Antara barangan itu termasuklah sepasang subang dipercayai kepunyaan Siti Maryam dan satu tanduk kibas.

Menurut kata Dr Muzammil Siddiqi [1] yang berpeluang masuk ke dalam Kaabah pada tahun 1998, di dalam Kaabah ada: 3 tiang, antara tiga tiang dalam Kaabah itu jarak di antara satu sama lain ialah 2.35 meter. Terdapat sebuah meja di tepi untuk letak benda seperti minyak wangi; ada 2 lampu seperti pelita tergantung dari siling; ruangnya boleh memuatkan lebih kurang 50 orang, tiada lampu elektrik iaitu tidak ada system pencahayaan elektrik. Dinding dan lantainya daripada marmar kecuali ada sebuah bahagian yang dinamai “Rukhamat Humra”. Tiada tingkap, satu pintu, dinding sebelah atas diliputi kain yang ada kalimah di atasnya. Bahagian atas dinding ditutup dengan kain warna hijau dihiasi dengan tulisan ayat al-Quran dengan tinta emas.

Sejarah Pintu Kaabah

Binaan Kaabah oleh Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail pada mulanya mempunyai 2 pintu (Babul Kaabah) iaitu Pintu Timur dan Pintu Barat. Kedua-dua pintu itu dibina rapat hingga ke tanah. Namun begitu, mengikut catatan sejarah, kedua-dua pintu itu berubah-ubah kedudukannya serta bilangan pintunya jua.

Kini, hanya terdapat satu buah pintu sahaja di Kaabah, iaitu yang terletak di sebelah timur laut. Ketinggiannya dari aras lantai ialah 2 meter dan pintu itu diperbuat dari emas tulen seberat 280 kg yang telah menelan belanja melebihi 13 juta Riyal Arab Saudi. Pintu ini boleh dicapai dengan tangga kayu beroda yang disimpan di dalam Masjidil Haram.

Pembuka dan pemegang kunci pintu Kaabah ialah dari keturunan Bani Syaibah, orang lain tidak boleh membukanya. Mengikut sejarah, bila Nabi s.a.w. meninggalkan Mekah kerana berhijrah ke Madinah, Mekah di kuasai oleh Bani Syaibah. Bani Syaibah ini adalah keturunan yang di amanahkan untuk memegang kunci Kaabah sejak turun temurun.

Bila Nabi s.a.w. balik semula ke Mekah dalam tahun 7 hijiriah, berlaku peperangan pembukaan Mekah. Nabi s.a.w. menang, dan orang Islam berkuasa ke atas Mekah. Nabi s.a.w. menghantar Saidina Ali untuk mengambil kunci pintu Kaabah daripada Bani Syaibah. Bani Syaibah serahkan kunci kepada Sayidina Ali tetapi bila pintu Kaabah hendak di buka, tak boleh. Datang Jibrail kepada Nabi s.a.w. membawa wahyu dari Allah.

Allah berfirman: Mahfumnya “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanat kepada yang berhak menerimanya.....”
- (An-Nisaa’:58)

Nabi pulangkan balik kunci itu kepada Bani Syaibah, walaupun ketika itu Bani Syaibah belum Islam lagi. Rupa-rupanya bila kunci ini dipulangkan balik, ketua Bani Syaibah terbuka hatinya memeluk Islam dan kesemua pengikutnya memeluk Islam sehingga hari ini. Memegang kunci ini adalah satu penghormatan turun temurun.

Hijir Ismail

Hijir Ismail berpagar batu berlingkar 1.5 meter terletaknya berdampingan dengan Kaabah. Ia dibangunkan oleh Nabi Ibrahim sewaktu beliau membangunkan Kaabah. Hijir Ismail pada mulanya merupakan pagar batu sederhana sahaja. Kemudian Khalifah, Sultan dan Raja berkuasa memecahkan dan membangunkan semula pagar batu itu dengan batu mamar.

Berdasarkan kepada sabda Rasulullah s.a.w., sebahagian dari Hijir Ismail itu adalah termasuk dalam Kaabah. Ini diriwayatkan oleh Abu Daud dari 'Aisyah r.a. yang bermaksud, 'Dari 'Aisyah r.a. katanya; "Aku sangat ingin memasuki Kaabah untuk melakukan sembahyang di dalamnya. Rasulullah s.a.w. memegang tanganku dan memasukkan aku ke dalam Hijir Ismail sambil berkata "Sembahyanglah kamu di Hijir jika kamu hendak masuk ke dalam Kaabah kerana kaum engkau (orang Quraisy) telah meninggalkan bahagian ini di luar semasa mereka membina semula Kaabah".

Mizab

Mizab adalah pancuran emas yang diletakkan bagi menjadi laluan air dari bumbung Kaabah masuk ke dalam Hijr Ismail. Menurut sebahagian pendapat di bawahnya adalah di antara tempat paling mustajab berdoa.





Perigi Harta Dalam Kaabah

Mengikut kajian dari Muhammad al-Azraqi, ada terdapat sebuah perigi tersangat dalam di dalam Kaabah yang digali oleh Nabi Ibrahim a.s. dan Nabi Ismail a.s. Perigi itu terletak di sebelah kanan Kaabah. Di dalam perigi itu telah dimasukkan emas, perak dan permata yang dihadiahkan orang kepada Kaabah dalam jumlah yang agak banyak. Perigi tersebut kini berada di bawah lantai marmar bahagian dalam Kaabah.


Rujukan:
A. Dipetik dari buku Membongkar Rahsia Kaabah, karya Azizan Ahmad. Pernah bekerja sebagai “Book Adviser” di TIMES and LIFE, sebuah penerbitan antarabangsa Amerika yang terkemuka dan di Strait’s Times Press.
B. Pengalaman Ustaz Haron Din Masuk Dalam Kaabah
C. Halaqah.net (Credit to Ummi Munaliza)

[1] Beliau adalah bekas presiden Islamic Society of North America (ISNA) dan merupakan sahabat penulis buku ini. Sekarang menjadi ahli majlis shura ISNA dan majlis fiqh Amerika Utara.

No comments:

Post a Comment