DAN hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua, dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapa, dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim dan orang miskin, dan jiran tetangga yang dekat dan jiran tetangga yang jauh, dan rakan sejawat, dan orang musafir yang terlantar, dan juga hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang sombong takbur dan membangga-banggakan diri.
- (an-Nisaa’: 36)
Huraian:
Dalam ayat ini termaktub perintah untuk beribadat kepada Allah dan melarang beribadat selain daripada Allah sama ada benda, manusia, haiwan, malaikat atau pun syaitan.
Kemudian suruhan agar berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapa secara khusus dan juga agar berbuat baik kepada kaum keluarga secara umum.
Galakan berbuat baik kepada ibu bapa kerana fitrah manusia mudah lupa kepada orang yang banyak berjasa, memelihara dan mendidiknya sedari kecil. Apabila mereka telah uzur, mereka sangat memerlukan pembelaan dan jagaan anak-anak mereka.
Sesungguhnya perintah Allah agar berbuat baik kepada kerabat yang memerlukan pertolongan seperti jiran tetangga, anak-anak yatim dan orang miskin, semua ini adalah sesuai dengan fitrah semula jadi manusia yang memerlukan kasih sayang, suasana mesra dan saling bertimbang rasa supaya manusia dapat menjalani kehidupan dalam keadaan yang baik.
Seterusnya suruhan berbuat baik dengan cara meninggalkan sifat-sifat buruk seperti sifat sombong, riak, kedekut dan seumpamanya. Menjauhi sifat-sifat mazmumah sebegini mampu memantapkan kejernihan jiwa dan menepis sikap membangga-banggakan diri dalam kehidupan.
Kesimpulan:
Al-Quran mengungkapkan bahawa Allah SWT mengasihi orang yang bersih dari melakukan syirik kepada-Nya, berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapa, orang miskin, anak-anak yatim serta menjauhi sifat sombong, riak dan kedekut.
Apabila semua perintah ini ditaati, nescaya akan lahirlah masyarakat yang baik dan harmoni.
* Disediakan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim)
Wednesday, December 30, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment