Thursday, December 31, 2009

Jadilah Penyebab Hidayah, Bukan Penyebar Dhalalah

"Sesiapa yang mengajak manusia ke jalan hidayah (kebenaran), dia akan memperolehi ganjarannya seperti ganjaran orang-orang yang mengikutinya. Tidak dikurangkan sedikit pun daripada ganjaran pahala mereka. Dan sesiapa yang mengajak manusia ke jalan kesesatan, maka dia akan memperolehi dosanya seperti dosa orang-orang yang mengikutinya dengan tidak dikurangkan sedikit pun daripada dosa mereka.
- (Hadith riwayat Muslim – no.6980)

Huraian:

1- Konsep ganjaran dosa dan pahala adalah merupakan antara perkara asas dalam ajaran Islam. Keimanan kita kepada ganjaran sebegini akan menjadi benteng kukuh untuk menghalang manusia daripada melakukan perkara-perkara yang dimurkai Allah SWT.

2- Konsep ganjaran pahala juga menjadi asas utama dalam membina jiwa muslim yang akan tetap terus mengamalkan perkara kebaikan walaupun tidak melihat ganjaran kebendaan di dunia ini. .

3- Kewajipan mengajak manusia kepada kebenaran adalah kewajipan seluruh umat dan sebaik-baik manusia yang menjalankan tanggungjawab ini adalah para Nabi dan Rasul a.s. Walaupun menerima tentangan dan cabaran, tugas itu tetap digalas seperti yang disebutkan di dalam Al-Quran yang bermaksud:

"Oleh itu, jika kamu berpaling membelakangkan peringatanku, maka tidaklah menjadi hal kepadaku, kerana aku tidak meminta sebarang balasan daripada kamu (mengenai ajaran ugama Allah yang aku sampaikan itu); balasanku hanyalah dari Allah semata-mata (sama ada kamu beriman ataupun kamu ingkar); dan aku pula diperintahkan supaya menjadi dari orang-orang Islam (yang berserah diri bulat-bulat kepada Allah)".
- Surah Yunus ayat 72

4- Telah menjadi lumrah alam yang diciptakan Allah SWT apabila adanya pendakwah atau orang yang menyeru kepada kebenaran, pasti akan ada segolongan pendakwah yang berlawanan iaitu orang yang menyeru kepada kesesatan dan mengajak manusia meninggalkan agama.

Firman Allah SWT di dalam Al-Quran yang bermaksud:
DIAlah yang mengaturkan kejadian kamu; maka ada sebahagian dari kamu yang kafir dan ada sebahagian dari kamu yang beriman; dan Allah Maha Melihat akan segala yang kamu kerjakan (serta membalas masing-masing).
- Surah al-Taghabun ayat 2

5- Rasulullah SAW menerangkan di dalam hadith yang ringkas ini bagaimana seseorang yang menjadi sebab kepada orang lain mendapat hidayah akan diberi ganjaran oleh Allah SWT. Ganjaran itu bukan sekadar ganjaran hasil dakwahnya, malah ganjaran itu ditambah pula dengan ganjaran hasil amalan orang yang menerima dakwahnya. Inilah rahmat Allah SWT terhadap seorang pendakwah yang menjadi penyebab kepada tersebarnya petunjuk dalam kalangan manusia. Namun, Allah SWT tidak akan mengurangkan ganjaran yang diperolehi oleh mereka yang beramal. Segalanya adalah adil dan saksama malah dilipat-gandakan lagi oleh Allah SWT.

6- Rasulullah SWT juga memberitahu bahawa Allah SWT menyediakan balasan dosa untuk orang yang mengajak orang lain melakukan perkara-perkara yang salah dan dilarang oleh Islam. Malah dosanya itu digandakan dengan dirinya juga menanggung dosa orang-orang yang disesatkannya. Inilah ganjaran setimpal kerana dirinya menjadi penyebab ramainya pelaku dosa. Namun begitu, dosa orang-orang itu tidak akan dikurangkan dan mereka semuanya akan menanggung dosa berdasarkan amalan masing-masing. Itulah keadilan Allah SWT.

7- Marilah kita berusaha untuk menjadi penyebab kepada hidayah dengan apa cara sekalipun dan bukan pula penyebar kesesatan dan dosa. Kalau di dunia ini kita mahu keuntungan berlipat-ganda dalam bentuk wang dan harta, maka sepatutnya kita juga mahukan keuntungan akhirat yang berlipat-ganda dalam bentuk ganjaran pahala dan keredhaan Allah SWT.

Al-ahkam.net

No comments:

Post a Comment