Orang Islam bukan saja dilarang, malah haram memakai topi Santa Claus sempena Hari Natal atau Krismas berikutan ia sebahagian pakaian menggambarkan sambutan terhadap perayaan agama lain.
Menurut Mufti Pahang, Datuk Abdul Rahman Osman, topi itu melambangkan agama Kristian dan pemakaiannya dengan sengaja boleh merosakkan akidah umat Islam kerana berniat mengagungkan agama itu.
"Kita bukan dilarang memakai pakaian atau cara sesuatu kaum bukan Islam, tetapi perlu dijaga supaya pakaian itu tidak menyerupai agama lain. Perlu ada beza antara budaya dan agama berikutan masyarakat negara ini yang mengamalkan hidup majmuk. Namun, tiada tolak ansur jika ia membabitkan soal agama Islam," katanya.
Beliau berkata, orang ramai perlu prihatin dengan pemakaian topi Santa Claus kerana mungkin ada yang tidak tahu mengenai hukum pemakaiannya.
"Ramai pekerja beragama Islam di pasar raya dan restoran diperintah oleh majikan mereka memakai topi Santa Claus disebabkan cetek ilmu agama. Justeru, perlu ada cadangan peraturan yang khusus dalam hal ini kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bagi melarang majikan memaksa pekerja Islam memakai topi itu," katanya.
Abdul Rahman berkata, muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan (MFK) juga menyentuh bab ini yang hanya membenarkan umat Islam meraikan perayaan kaum lain kerana menghormati sahabat, namun menolak memakai pakaian yang melambangkan agama selain Islam.
"Orang Islam perlu banyak membaca buku agama berkaitan ajaran Islam sebenarnya supaya generasi akan datang tidak cetek dengan ilmu pengetahuan agam. Mereka juga sewajarnya tahu membezakan yang mana berdosa atau tidak, justeru mereka perlu mendapatkan pandangan alim ulama sebelum mencuba sesuatu perkara baru yang diragui hukumannya dalam Islam," katanya.
Author : Keratan dalam akhbar Harian Metro 23 Disember 2009
Thursday, December 31, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment