Pada musim haji, sebahagian umat Islam dari seluruh pelusuk dunia berangkat ke Tanah Suci. Sudah pasti keberangkatan mereka ke sana diiringi pelbagai persiapan dan kelengkapan untuk mengerjakan rukun Islam kelima ini.
Antara yang menjadi bekalan sebahagian jemaah haji ialah buku-buku panduan doa dan zikir sepanjang berada di Tanah Suci. Maka tidak hairan buku-buku seperti ini amat laris pada musim haji. Ia pula dicetak dalam pelbagai saiz dan bentuk. Terdapat doa-doa dan zikir-zikir dirakam dan dimasukkan ke dalam album cakera padat (CD) bagi memudahkan jemaah mengikutinya dengan bacaan betul. Selain itu, doa-doa juga dicetak pada kad-kad yang menarik dan boleh digantung di leher jemaah haji supaya mudah dibawa sepanjang perjalanan haji.
Musim haji adalah musim doa. Sepanjang ibadah haji, terdapat beberapa tempat dan waktu yang amat digalakkan berdoa. Tempat dan masa berdoa yang paling utama dan diharap mustajab ialah ketika wuquf di Arafah, sebagaimana disabdakan Rasulullah s.a.w.
Tetapi agak mendukacitakan apabila sebahagian jemaah haji tidak memahami konsep berdoa yang sebenar. Ada yang menyangka bahawa tidak sah berdoa jika tidak dalam Bahasa Arab. Maka terpaksalah bergantung sepenuhnya kepada buku-buku panduan doa yang dibeli, walaupun doa-doa yang dilafazkan tidak difahami oleh diri sendiri. Alangkah pelik, sang hamba meminta dengan Tuhannya suatu yang dia sendiri tidak faham.
Lebih mendukacitakan, ada jemaah yang menganggap tidak sah berdoa di tempat-tempat tertentu kecuali dengan doa-doa tertentu yang terdapat dalam buku panduan yang dibelinya. Maka berdoa di Multazam mestilah dengan doa khas. Berdoa di Raudhah mestilah dengan doa khas. Berdoa ketika tawaf juga mestilah dengan doa khas. Malahan setiap pusingan tawaf mestilah dibacakan doa tertentu sebagaimana tercatat dalam buku panduan doa.
Doa adalah satu ibadah yang mudah, tetapi ia digambarkan sebagai sukar. Syarak tidak mewajibkan membaca doa-doa tertentu contohnya ketika berada di Raudhah, tetapi sesetengah jemaah memahami bahawa mesti membaca doa khas ketika berada di sana. Begitu juga dengan tempat-tempat lain sepanjang musim haji.
Maka amat perlu di dalam kursus-kursus haji dan umrah, ditekankan konsep berdoa yang betul dan bertepatan syariat. Buku-buku panduan doa juga tidak sepatutnya tertumpu kepada menyebut doa-doa sahaja. Mesti diterangkan juga konsep doa yang sebenar.
Dengan kefahaman yang betul tentang doa, barulah ibadah haji dapat dikerjakan dengan diiringi doa-doa yang dipanjatkan ikhlas kepada Allah SWT. Bukan sekadar upacara mengangkat tangan sambil melafazkan ucapan-ucapan dalam Bahasa Arab yang entah difahami atau tidak.
oleh: Abu Umair
Saturday, December 5, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment