Soalan:
Saya adalah seorang surirumah. Hubungan saya dengan suami amat akrab. Kami tinggal berdua dirumah bersama seorang anak berumur dua bulan. Namun sejak beberapa bulan yang lalu, adik lelaki suami saya yang berusia lingkungan 20an datang tinggal bersama kami kerana bekerja. Suami saya bekerja jauh, keluar pada pukul 6.45 pagi dan tiba dirumah jam 9 malam. Jadi seringkali saya bersama dengan adik ipar di rumah tanpa suami bersama.
Persoalan saya, bolehkah dan apakah hukumnya seorang isteri tinggal berduaan dengan adik ipar lelaki? Apakah hukumnya seorang suami yang membiarkan adik lelakinya tinggal berduaan dengan isterinya? Saya dan suami telah berbincang mengenai masalah ini, namun untuk mengelakkan pergaduhan keluarga, kami menemui jalan buntu dan suami tidak sampai hati untuk menyuruh adiknya berpindah daripada sini.
Jawapan:
Tidak harus seorang lelaki membiarkan isterinya berduaan di dalam rumah dengan adik lelaki atau abang lelakinya tanpa kehadirannya atau mahram isterinya (seperti bapa, saudara lelaki dan sebagainya). Hubungan mereka berdua (yakni isteri dan adik/abang suami) sama seperti hubungan antara seorang wanita dengan lelaki ajnabi (yakni yang bukan mahramnya), iaitu wajib ia menutup aurat di hadapannya dan haram mereka duduk berduaan di tempat yang tertutup tanpa kehadiran suami atau mahram. Hukum ini tidak ada khilaf di kalangan ulamak.
Menjadi kewajipan suami menjaga isteri dan ahli keluarganya dari melakukan perkara-perkara yang dilarang agama. Perintah agama jika dipatuhi akan membawa keharmonian dan keberkatan hidup. Jika dilanggari pula akan membawa kecelakaan dan penyesalan di belakang hari. Lebih-lebih yang berkait dengan hubungan lelaki dan wanita, ia boleh membuka jalan kepada berlakunya penzinaan, yang amat besar dosanya dalam Islam, serta akibatnya amatlah buruk kepada keluarga dan nasab. Kerana itu jalan kepadanya perlu ditutup dari awal. Mengambil hati keluarga atau sesiapa saja tidak boleh dijadikan alasan untuk mengabaikan hukum Syarak.
Sabda Nabi s.a.w.; "Tidak ada ketaatan kepada makhluk dalam perkara maksiat kepada Khaliq (yakni Tuhan yang menjadikan makhluk iaitulah Allah)".
- (al-Hadis).
Oleh demikian, ketaatan kepada perintah Allah perlu diutamakan dari perasaan malu atau takut kepada sesama makhluk. Di situlah letaknya bukti ubudiyah kita kepada Allah.
Wallahu a'lam.
Posted by USTAZ AHMAD ADNAN FADZIL
Tuesday, December 8, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment