93. SURAH ADH-DHUHA (11 ayat) – ‘WAKTU MATAHARI SEPENGGALAHAN NAIK’
DITURUNKAN DI MEKAH
Surah Adh-Dhuha bererti waktu Dhuha. Ia diturunkan sesudah surah Al Fajr. Nama Adh Dhuhaa diambil dari kata yang terdapat pada ayat pertama, yang ertinya "waktu matahari sepenggalahan naik". Ia dinamakan Adh-Dhuha kerana di awal surah itu Allah SWT bersumpah dengan waktu tersebut dan juga dengan waktu malam, bahawa IA tidak meninggalkan atau membenci Nabi Muhammad SAW sebagaimana yang diperkatakan oleh kaum kafir musyrik.
Surat Adh Dhuhaa menerangkan tentang bimbingan pemeliharaan Allah SWT terhadap Nabi Muhammad SAW dengan cara yang tidak putus-putusnya dan mengandungi pula perintah kepada Nabi SAW supaya mensyukuri segala nikmat itu.
Pada surah Adh Dhuhaa diterangkan bahwa keberuntungan di akhirat lebih baik dari keberuntungan di dunia.
POKOK-POKOK ISINYA:
1. Allah SWT sekali-kali tidak akan meninggalkan Nabi Muhammad SAW.
2. Isyarat dari Allah SWT bahawa kehidupan Nabi Muhammad SAW dan dakwahnya akan bertambah baik dan berkembang.
3. Larangan menghina anak yatim dan mengherdik orang-orang yang minta-minta.
4. Perintah menyebut-nyebut nikmat yang diberikan Allah SWT sebagai tanda bersyukur.
Terjemahannya:
1.Demi waktu dhuha,
2.Dan malam apabila ia sunyi-sepi
3.(Bahawa) Tuhanmu (wahai Muhammad) tidak meninggalkanmu, dan DIA tidak benci (kepadamu, sebagaimana yang dituduh oleh kaum musyrik).
4.Dan sesungguhnya kesudahan keaadaanmu adalah lebih baik bagimu daripada permulaannya.
5.Dan sesungguhnya Tuhanmu akan memberikanmu (kejayaan dan kebahagiaan di dunia dan di akhirat) sehingga engkau reda - berpuas hati.
6.Bukankah DIA mendapati engkau yatim piatu, lalu DIA memberikan perlindungan?
7.Dan didapatiNYA engkau mencari-cari (jalan yang benar), lalu DIA memberikan hidayah petunjuk (dengan wahyu - Al-Quran)?
8.Dan didapatiNYA engkau miskin, lalu DIA memberikan kekayaan?
9.Oleh itu, adapun anak yatim maka janganlah engkau berlaku kasar terhadapnya,
10.Adapun orang yang meminta (bantuan pimpinan) maka janganlah engkau tengking herdik;
11.Adapun nikmat Tuhanmu, maka hendaklah engkau sebut-sebutkan (dan zahirkan) sebagai bersyukur kepadaNYA.
FADILATNYA:-
1. Sekiranya terjadi kehilangan atau kecurian, maka kerjakanlah solat sunat Dhuha 3x (dua rakaat sekali) pada setiap pagi Jumaat sehinggalah yang hilang itu di dapati kembali. Selepas memberi salam, berdoalah memohon kepada Allah SWT.
2. Amalkan membacanya sebagai wirid 7 kali setiap pagi ketika matahari terbit dan 7 kali setiap matahari terbenam, insyaAllah akan terselamat barang-barang dalam isi rumah dari kehilangan atau kecurian. Dan tidak pula dalam rumah itu timbul kerosakan, terserang wabak penyakit, gangguan yang membahayakan. Apabila ditinggalkan pada waktu malam, akan terpagar besi sehingga orang tidak dapat jalan untuk memasukinya.
3. Barangsiapa yang kehilangan, atau barangnya tercicir, atau seorang yang melarikan diri, buat solat Dhuha 8 rakaat pada hari Jumaat. Setelah selesai, bacalah surah Adh Dhuha 7 kali, lalu membaca doa yang diniatkan, insyaAllah barang itu akan dapat kembali dan orang yang lari akan pulang kembali.
Contoh doa:-
“Ya Allah, Tuhan yang menghimpun hal-hal yang ajaib; Ya Allah, Tuhan yang mengembalikan seluruh benda yang hilang. Ya Allah, Tuhan yang menghimpun benda-benda yang terserak-serak. Ya Allah, Tuhan yang kunci seluruh urusan berada pada kekuasaanNYA, berkenanlah kiranya Engkau menghimpun kembali kepada saya barang saya yang hilang (berkenanlah kiranya Engkau menghimpun barang ..bin…kepadanya. Jika barang tersebut kepunyaan orang lain, sebutkan namanya dan nama ayahnya). Tiada seorang jua pun yang dapat menghimpunkannya kembali, melainkan Engkau.
4. Sesiapa yang mengamalkan membaca Surah Adh-Dhuha 40 kali setiap hari, selama 40 hari dan berdoa memohon kepada Allah SWT, insyaAllah hidupnya terjauh dari keadaan fakir.
5. Agar barang yang hilang ditemui semula, baca surah ini 7 kali. InsyaAllah benda yang hilang itu akan ditemui. ATAU Baca surah ini satu kali, tetapi apabila sampai pada ayat 6, hendaklah diulangi 3x.
Wednesday, January 28, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment