Monday, January 26, 2009

SURAH AZ-ZUHRUF

43. SURAH AZ-ZUHRUF (89 ayat) – ‘PERHIASAN KEEMASAN’

DITURUNKAN DI MEKAH

Az-Zuhruf bererti “perhiasan” menjadi nama surah ini kerana perhiasan seperti emas atau perak dan kekayaan bukanlah menjadi ukuran tinggi rendahnya darjat seseorang. Surah ini merupakan surah yang ke 43 dalam Al-Quran dalam juzuk yang ke 25 ,mengandungi 89 ayat.

Pada ayat 35 dan ayat-ayat yang terdahulu daripadanya diterangkan perihal kaum kafir musyrik yang menentang Nabi Muhammad (s.a.w.). Mereka mengatakan: sepatutnya jawatan Nabi itu diberikan kepada seorang besar yang kaya raya dan berpengaruh. Bagi menolak hujjah mereka, Allah Taala menerangkan bahawa kekayaan dan kemiskinan tidak boleh dijadikan ukuran bagi darjat seseorang, kerana segala kekayaan dan perhiasan dari emas dan lain-lainnya itu hanyalah merupakan kesenangan hidup di dunia sebaliknya kesenangan hari akhirat di sisi hukum Allah adalah tertentu bagi orang-orang yang bertaqwa.

Surah ini juga adalah satu daripada tujuh surah sebaris dalam Al Quran yang bermula dengan "HAA MIIM". Orang yang mengamalkan surah ini akan mendapat pahala yang besar dan mendapat pembelaan di akhirat kelak.

POKOK-POKOK ISINYA:

Membentangkan sebahagian dari pertentangan keras yang dihadapi oleh "Dakwah Islamiyah" dalam zaman Nabi (s.a.w.) dan menerangkan bagaimana pertentangan itu diberi penjelasan-penjelasan yang disertakan dengan dalil-dalilnya di dalam Al-Quran nul Karim. Kemudian Allah Taala (Allah yang Esa) menegaskan bahawa sesiapa yang tidak mengindahkan pengajaran Al-Quran, maka Allah SWT akan mengadakan baginya Syaitan yang menghasut dan menyesatkan-nya lalu menjadilah ia temannya yang tidak renggang daripadanya.

Ditegaskan juga bahawa Al-Quran itu menjadi kemuliaan besar dan peringatan bagi Nabi Muhammad (s.a.w.) dan kaumnya serta umat Islam seluruhnya kerana mengandungi pelajaran dan undang-undang yang sesuai bagi segala tempat dan segala zaman.

Setelah menceritakan perihal Nabi-nabi yang telah lalu, maka Allah Taala menerangkan, bahawa Nabi Isa (a.s.) menjadi tanda tentang kedatangan hari kiamat. Yakni salah satu di antara tanda-tanda yang menunjukkan hampirnya hari kiamat ialah turunnya Nabi 'Isa (a.s.) pada akhir zaman. (Hal ini dijelaskan lebih lanjut di dalam hadis-hadis Nabi, s.a.w. yang sahih Bukhari, Sahih Muslim dan lain-lainnya).


FADILATNYA:

1. Amalkan membaca Ayat 13 – 14 setiap kali menaiki kenderaan, insyaAllah akan terhindar dari sebarang kemalangan atau mala petaka. Ia adalah doa menaiki kenderaan. Ia bukan sahaja membawa manfaat kepada pemandu tetapi turut melibatkan penumpang.


"Maha Suci Tuhan yang telah memudahkan kenderaan ini untuk kami, sedang kami sebelum itu tidak terdaya menguasainya. Dan sesungguhnya kepada Tuhan kamilah, kami akan kembali!"

No comments:

Post a Comment