Wednesday, January 28, 2009

SURAH AT-TIN

95. SURAH AT-TIN (8 ayat) – ‘BUAH TIN’

DITURUNKAN DI MEKAH

Surah At Tiin adalah surah ke-95 dalam Al-Quran. Surah ini terdiri dari 8 ayat, diturunkan sesudah surah Al Buruuj. Nama At Tiin diambil dari kata At Tiin yang terdapat pada ayat pertama surah ini yang ertinya buah Tin. Di dalam surah ini Allah SWT telah bersumpah dengan buah Tin, Zaitun, Bukit Thursina dan Mekah yang aman.

Setelah Allah SWT bersumpah dengan empat perkara itu, lalu IA menegaskan tentang penciptaan insan yang kejadiannya begitu sempurna sekali berbanding dengan makhluk lain. Tetapi tiba-tiba insan menjadi hina dina setelah ia mula bergaya dan menduduki taraf yang jauh lebih mulia dari haiwan. Kadang-kadang ada kalanya haiwan itu lebih baik dari insan yang sempurna kejadiannya, kerana haiwan tahu bertasbih kepada Allah SWT, sedangkan insan yang buruk akhlaknya terhadap Tuhan, tidak tahu bertasbih dan memujiNYA. Maka patutlah Allah SWT hina dina-kan dia.

Siapakah yang dapat menjaga martabatnya sebagai insan? Tidak lain kecuali "Orang yang beriman dan beramal soleh" (mengikut yang Allah SWT mahu, bukan mengikut apa yang manusia mahu tetapi berlawanan dengan Allah SWT).

Di hujung surah, Allah SWT bertanya "Bukankah Allah itu adalah seadil-adil Hakim?" Allah SWT telah mencipta kita dengan sempurna dan Allah SWT sediakan jalan untuk kita hidup dan ciptakan peraturan menjadi panduan perjalanan kita. Apabila kita tidak bersedia menerima peraturan itu, maka jika Allah SWT bertindak, itulah dia yang dikatakan Allah Maha Adil.

Dalam surah At Tiin, diterangkan bahwa manusia itu adalah makhluk Allah SWT yang mempunyai kesanggupan baik lahir maupun batin. Kesanggupannya itu menjadi kenyataan bilamana mereka mengikuti jejak Nabi Muhammad SAW.

POKOK-POKOK ISINYA:

1. Manusia makhluk yang terbaik rohaniah dan jasmaniah, tetapi mereka akan dijadikan orang yang amat rendah jika tidak beriman dan beramal saleh; Allah adalah Hakim Yang Maha Adil.

RAHSIA BUAH TIN:

1. Riwayat dari Abi Zar r.a.:

Bahawa Nabi SAW dihadiahkan satu bekas (uncang) buah tin. Lalu Nabi SAW mengajak sahabat-sahabatnya makan. Nabi pun turut makan sama. Kemudian baginda SAW bersabda:
"Kalau aku perkatakan tentang buah yang diturunkan dari syurga, nescaya aku katakan inilah dia. Kerana buah-buahan syurga tiada berbiji (butir) Oleh itu makanlah buah ini. Sesungguhnya dia menghentikan (menyembuhkan) penyakit buasir, serta bermanfaat untuk sakit-sakit badan (sengal-sengal badan)."

2. Setengah-setengah ahli tafsir menerangkan bahawa Allah SWT bersumpah dengan buah tin kerana daun pokok inilah yang menjadi penutup aurat kepada Nabi Adam dan Siti Hawa di dalam syurga sewaktu Allah SWT singkapkan auratnya sebaik-baik sahaja kedua-duanya memakan buah larangan dalam syurga.

KHASIAT BUAH TIN:

Antara khasiat buah tin yang dinyatakan oleh Nabi SAW sendiri dan orang-orang yang ahli di bidang kajian tentang ubat-ubatan bahawa buah ini dapat menyembuhkan beberapa jenis penyakit. Antaranya:

1. Penyakit buasir
2. Sakit-sakit dan bengkak-bengkak badan
3. Batuk yang berpanjangan
4. Melawaskan kencing

RAHSIA BUAH ZAITON:

Riwayat daripada Muaz r.a. bahawa dia bersugi (menggosok gigi) dengan ranting pokok zaiton. Katanya: Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda: "Sebaik-baik kayu sugi ialah zaiton. Ia daripada pokok kayu yang berkat. Ia membersihkan mulut dan menghilangkan kuning-kuningan pada gigi. Ia adalah kayu sugiku dan kayu sugi para Nabi sebelumku."

Zaiton adalah pokok berkat. Hal ini jelas sebagaimana yang diterangkan oleh Allah SWT di dalam surah An-Nur, Ayat 35: "Allah yang menerangi langit dan bumi. bandingan nur hidayah petunjuk Allah (kitab suci Al-Quran) adalah sebagai sebuah "misykaat" yang berisi sebuah lampu; lampu itu dalam geluk kaca (qandil), geluk kaca itu pula (jernih terang) laksana bintang yang bersinar cemerlang; lampu itu dinyalakan dengan minyak dari pokok yang banyak manfaatnya, (Iaitu) pokok zaitun yang bukan sahaja disinari matahari semasa naiknya dan bukan sahaja semasa turunnya (tetapi ia sentiasa terdedah kepada matahari); hampir-hampir minyaknya itu - dengan sendirinya - memancarkan cahaya bersinar (kerana jernihnya) walaupun ia tidak disentuh api; (sinaran nur hidayah yang demikian bandingannya adalah sinaran yang berganda-ganda): cahaya berlapis cahaya. Allah memimpin sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang dan peraturanNya) kepada nur hidayahNya itu; dan Allah mengemukakan berbagai-bagai misal perbandingan untuk umat manusia; dan Allah Maha mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.

Sabda Rasulullah SAW: "Gunakanlah minyak zaiton (untuk masak makanan), berminyaklah dengannya untuk rambut, badan dan seumpamanya, kerana sesungguhnya ia adalah daripada pokok yang berkat."

KHASIAT BUAH ZAITON;

1. Membaik pulihkan perut
2. Mengeluarkan cacing
3. Menjadi penawar racun
4. Minyaknya menghaluskan kulit
5. Minyaknya melambatkan tumbuh uban
6. Minyaknya apabila dicampur dengan garam boleh menghilangkan melecur kena api


Fadilatnya:

1.  Ayat 4 boleh dibacakan untuk mengubati penyakit nyanyuk.

Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya).


3 comments:

  1. apakah doa selepas membaca ayat terakhir yang perlu di baca

    ReplyDelete
    Replies
    1. بلى وانا على ذلك من الشاهدين

      Delete
  2. Salam AnaQarbana,

    Doa-doa yang ada dalam buku semuanya adalah bagus untuk dibaca. Namun saya percaya adalah bagus juga jika anda membaca doa anda sendiri, iaitu apa yang anda inginkan dalam ayat anda sendiri. Apabila anda guna ayat sendiri, anda lebih faham apa yang anda minta, anda rasa lebih selesa dan lebih jelas tentang apa yang anda mahu.

    wsalam..

    ReplyDelete