Monday, October 12, 2009

Akhlak Nilai Kesempurnaan Peribadi

Bila menilai di antara dua insan berlainan imej, anda akan tertanya-tanya:-

Siapakah antara keduanya yang mewakili nilai Islam sebenar? Sungguh ramai keliru manakah yang Islamik dan tidak Islamik.

- Antara seorang yang rajin solat dhuha ketika dalam keadaan bertugas / bekerja, atau yang meninggalkannya kerana tidak mahu membuat pelanggan menunggu hingga menjejaskan kerja dan khidmatnya.

- Antara orang yang mengantuk ketika mesyuarat kerana semalaman bertahajud atau orang yang cergas lagi amanah tetapi tidak sembahyang.

- Antara orang yang kaki masjid tetapi pemalas dan tidak bertanggungjawab terhadap keluarga atau yang berjaya dalam perniagaan tetapi selamba sahaja lupakan Tuhan.

- Antara yang bertudung tapi kadang-kadang sama perangai dengan yang bertelanjang(bahkan lebih teruk lagi) atau yang tidak bertudung.

Ajaran Islam menjadi begitu kabur dan luntur dalam pemikiran mereka. Disebabkan seseorang yang mencemarkan imej Islam, maka ramai tertipu oleh pandangan mata zahir ketika menilai paras keislaman seseorang.

Yang lemah-lembut kita kata baik budi walaupun jiwanya terlalu lembut hingga takut menyatakan mana yang hak dan batil sehingga ramai orang berpeluang menzaliminya. Sedangkan yang tegas dan rasional dipandang masyarakat sebagai biadab, walaupun dengan cara itu dia boleh menegakkan makruf dan membela maruahnya.

Bagaimanakah seharusnya seseorang menegakkan jati dirinya sebagai Muslim sebenar yang mengikut cara dan Sunnah Rasulullah SAW?

Umar bin al-Khattab pernah dicadangkan dengan seorang pemuda yang akan dipilih sebagai pekerja dalam pemerintahan beliau. Mereka yang memilih pemuda itu berkata: "Dia seorang Muslim yang amanah, dia sentiasa berada di masjid untuk beribadah."

Umar berkata: "Adakah kamu semua pernah bersama dengannya untuk waktu yang lama? Adakah sesiapa yang pernah bermusafir dengannya? Sesungguhnya kamu semua belum lagi mengenali pemuda itu."

Islam tidak menilai seseorang yang amanah hanya dengan sejuzuk ibadat dilakukannya tanpa melihat dari segenap aspek lain yang mendokong kecemerlangan peribadi Muslim padanya. Di sinilah Islam meletakkan sistem akhlak sebagai penanda aras kecemerlangan peribadi Muslim.

Tiga penanda aras lain bagi menilai peribadi Muslim ialah akidah, ibadat dan muamalah. Setiap Muslim cemerlang adalah berpaksikan empat kekuatan itu. Sewajarnya seorang Muslim menyempurnakan peribadinya dengan hanya mengambil contoh teladan seorang insan agung, Rasulullah SAW. Tiada yang lain menjadi sandaran dan kekuatan melainkan peribadi Baginda SAW.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Tiada seorang Nabi pun di kalangan mereka yang diutuskan kepada umat sebelumku melainkan mereka mempunyai pengikut dan sahabat yang mengikut sunnahnya dan meneladaninya. Kemudian akan ada generasi selepasnya, yang mengatakan sesuatu yang mereka tidak lakukan serta melakukan apa yang tidak disuruh. Barangsiapa yang menentang mereka dengan tangannya bermakna dia adalah seorang yang beriman, sesiapa yang menentang mereka dengan lidahnya maka dia adalah beriman dan sesiapa yang menentang dengan hatinya maka dia adalah seorang yang beriman. Tidak ada yang selain dari itu keimanan padanya walau sebesar sebiji sawi."
- (Hadis riwayat Muslim)

Jika begitu, setiap Muslim sepatutnya bertanya dalam hati, saat dia bermaksud melakukan apa juga perbuatan, adakah ia bersesuaian dengan sunnah Rasulnya tanpa rasa takut dan malu kerana tohmahan orang yang meninggalkan sunnah.

Seorang Muslim juga amat teliti menyaring unsur asing yang mempengaruhi perilakunya. Dengan ilmu dan kajian, dia mampu memisahkan mana yang menepati ajaran Islam dan tidak seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Kamu akan mengikuti sunnah umat sebelum kamu sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta sehinggakan jika mereka memasuki lubang biawak nescaya kamu akan mengikuti mereka. Sahabat bertanya: Adakah mereka itu kaum Yahudi dan Nasrani, wahai Rasulullah? Sabda Baginda SAW: Ya, siapa lagi kalau bukan mereka?"
- (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Hari ini kita melihat pemandangan mengelirukan mengenai imej Islam. Tidak nampak perbezaan antara Muslim dengan bukan Muslim daripada segi penampilan, pertuturan dan perwatakan mereka.

Akhlak Islam terlalu kabur dalam pemikiran generasi muda yang sudah berkiblat kepada nafsu dan kebendaan. Peranan pembawa mesej Islam juga terlalu kolot dan menakutkan sehingga umat semakin lari daripada agama.

Islam tidak dihantar ke hati mereka dengan rahmat dan keindahan Islam. Mereka yang kolot ini suka menggambarkan Islam dengan pelbagai aneka kesusahan dan kesempitan. Segalanya haram dan dosa, sehingga seolah-olah sukar mencari yang halal dan berpahala.

Sedangkan bilangan perkara haram disebut al-Quran dan al-Hadis terhad bilangannya berbanding yang halal. Bagaimana mungkin seseorang baru berjinak dengan Islam dibebankan dengan amaran siksa dan azab padahal sepatutnya mereka diberi khabar gembira dengan luasnya ampunan dan kasih sayang Allah.

Mesej akhlak Islam yang mesra dan mudah sepatutnya diamalkan pendakwah untuk menarik minat masyarakat kepada ajaran Islam. Begitu pula ahli korporat Muslim, seharusnya menampakkan imej cekap dan profesional dalam menepati nilai ihsan dalam bekerja.

Malangnya, ramai memilih berurusan dengan bukan Islam disebabkan mereka lebih terkehadapan dan amanah dibandingkan orang Islam. Di sinilah kita melihat betapa akhlak amat berpengaruh dalam membina umat.

Sebenarnya kecekapan, amanah, profesionalisme, dinamik, progresif dan istilah seumpama ini berasal daripada sistem akhlak Islam yang sudah diterapkan Baginda Rasulullah SAW dan diamalkan secara berterusan oleh umat Islam ketika membina empayar Islam yang ulung pada masa lalu.

Untuk memperoleh kejayaan itu semula, umat Islam mestilah menemukan kembali kekuatan umat dengan berniat dalam hati bahawa apa saja pekerjaan dilakukan hendaklah semata-mata untuk Islam dan anda wajib menjaga nama baik agama supaya tidak tercemar pada perbuatan seharian.

Jangan biarkan orang mengata Islam itu miskin dan malas, kolot dan lembap, penipu dan perosak, zalim lagi ganas semata-mata kerana sepak terajang orang yang mengaku membela nama Islam, sedangkan hakikatnya mereka memalukan Islam dengan sikap sekular yang tempang, yang memisahkan Islam daripada intipati asalnya.


Author : Dr Juanda Jaya

No comments:

Post a Comment