Monday, October 19, 2009

Mandi Junub Selepas Imsak

Soalan:-

Berkenaan dengan mandi junub, di dalam bulan Ramadhan, adakah kita perlu mandi junub sebelum imsak atau pun boleh mandi junub selepas imsak?

Jawapan:-

Tidak menjadi masalah mandi junub selepas imsak, malah selepas masuk waktu subuh. Ia tidak memberi sebarang kesan kepada puasa. Yang perlu dijaga ialah jangan bersetubuh selepas masuk waktu subuh kerana ia membatalkan puasa. Adapun bersetubuh sebelum masuknya subuh, ia tidak membatalkan puasa sekalipun mandi junub dilakukan selepas subuh.

Saidatinia ‘Aisyah r.a. dan Ummu Salamah r.a. pernah menceritakan bahawa; “Nabi s.a.w. pernah bangun pagi dalam bulan Ramadhan dalam keadaan berjunub kerana bersetubuh dengan isterinya. Baginda mandi dan kemudiannya berpuasa tanpa mengqadhanya”
- (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim).

Jadi bagi orang yang bersetubuh dengan isterinya, harus melewatkan mandi junub sehingga selepas masuk waktu subuh. Begitu juga, bagi wanita yang terputus haidnya pada sebelah malamnya, tidak batal puasanya jika ia menangguh mandinya hingga selepas subuh. Namun demikian, menyegerakan mandi dalam semua keadaan ini adalah disunatkan.

Wallahu a’lam.

Posted by USTAZ AHMAD ADNAN FADZIL

No comments:

Post a Comment