Thursday, October 1, 2009

Baca Tiga Surah Untuk Menjadikan Anak Pandai

KUALA LUMPUR: Serihana Elias, 30, ibu kepada kanak-kanak pintar, Adi Putra Abdul Ghani, 6, berkata dia gemar membaca surah Maryam, Yusuf dan Luqman sebagai amalan harian, terutama pada waktu lapang ketika mengandungkannya.

“Mengandungkannya tidak sama mengandungkan dua anak yang lain. Naluri untuk mengaji dan membaca tiga surah berkenaan lebih kuat. Kalau hari ini saya membaca surah Maryam berulang-ulang kali, keesokannya pula saya membaca surah Yusuf dan Luqman,” kata Serihana, ketika menceritakan amalan dilakukannya ketika mengandungkan anak bongsunya itu.

Serihana yang mendirikan rumah tangga dengan Abdul Ghani Abdul Wahid, ketika berusia 18 tahun, berkata amalan membaca al-Quran ketika mengandung sudah menjadi kebiasaan kepada dirinya.

“Ketika mengandungkan dua anak yang lain iaitu Amirul Ezuan, 10, dan Seri Amelia, 8, saya tidak menumpukan kepada tiga surah saja, sebaliknya akan membaca keseluruhan surah dalam al-Quran,” katanya yang pernah menjadi guru sandaran di Sekolah Menengah Slim River, Perak, selama lima tahun.

Adi Putra yang belajar sendiri di rumah bersama ibu bapanya dianggap pakar dalam menyelesaikan soalan Algebra, Trigonometri dan Indeks dan kepintarannya itu menyebabkan beberapa guru gemar merujuk kepadanya mengenai formula tertentu menyelesaikan soalan matematik.

Dia sering menghadiri majlis motivasi anjuran pelbagai pihak dan sehingga kini sudah menerima 26 sijil penghargaan, termasuk diiktiraf sebagai pakar motivasi daripada Majlis Guru Besar Daerah Larut, Matang dan Selama.

Kepintarannya juga menyebabkan ada sekolah rendah dan menengah menjemputnya untuk memberikan motivasi, selain dua institusi pengajian tinggi seperti Politeknik Tanjung Malim dan Universiti Sains Malaysia(USM).

No comments:

Post a Comment