Thursday, April 8, 2010

Adab Buang Air

Dari Salman r.a katanya dia ditanya oleh seseorang: "Bukankah Rasulullah SAW telah mengajarkan kepada kamu segala-galanya hingga masalah buang air juga?” Jawabnya: "Benar! Beliau melarang kita mengadap kiblat ketika buang air besar atau kecil. Beliau juga melarang beristinja’ dengan tangan kanan, beristinja’ kurang dari tiga biji batu dan istinja’ dengan kotoran ternak yang telah keras atau dengan tulang.”

- (Muslim)

Huraian:

1. Buang air adalah suatu kebiasaan yang diselalu dilakukan setiap hari. Disebabkan oleh kebiasaan itulah seringkali kita kurang memperhatikan adab-adab dalam melakukannya.

2. Dalam Islam terdapat beberapa perkara yang perlu diperhatikan:

a. Tidak membawa barang yang tertulis nama Allah, kitab al-Quran atau sebahagian dari ayat-ayatnya memasuki tandas.

b. Membaca do'a sewaktu hendak memasuki tandas dan apabila keluar dari tandas.

c. Mendahulukan kaki kiri ketika masuk dan mendahulukan kaki kanan ketika keluar.

d. Tidak mengadap ke arah kiblat atau membelakanginya sebagai menghormati Kaabah.

e. Mengelak membuang air di dalam lubang yang terdapat haiwan di dalamnya.

f. Mengelak dari tempat orang berteduh/bernaung, di jalanan atau tempat laluan manusia.

g. Tidak buang air kecil atau besar di dalam air yang tergenang atau air mengalir yang biasa digunakan manusia untuk bersuci.

h. Tidak mencuci kotoran dengan tangan kanan untuk menjaga kebersihan.

i. Dilarang bercakap ketika qada' hajat, tidak boleh memberi salam, menjawab salam dan berzikir secara lisan.

3. Istinjak bermaksud bersuci sesudah buang air besar mahupun air kecil iaitu membersihkan air kecil mahupun besar dari badan dengan air dan jika tidak ada air bolehlah beristinja’ dengan batu atau benda-benda lain yang meresap.

No comments:

Post a Comment