Monday, April 19, 2010

Sejarah Maqam Ibrahim

Mengikut kefahaman masyarakat biasa, maqam mungkin bererti kawasan perkuburan namun dari aspek bahasa Arab, maqam bererti ‘tempat berpijak’. Justeru, Maqam Ibrahim a.s. ialah batu yang dibawa oleh Nabi Ismail a.s. untuk dijadikan tempat berpijak bapanya, Nabi Ibrahim a.s., ketika proses pembinaan Kaabah.

Ajaib, di atas batu inilah baginda membina Kaabah dengan tangannya sendiri daripada batu-batu yang dihulurkan oleh Nabi Ismail a.s. Setiap kali bangunan Kaabah bertambah tinggi, dengan mukjizat Ilahi yang tiada tandingan, batu tersebut juga ikut naik.

Diriwayatkan oleh Said Bin Jubair bahawasanya beliau berkata: “Batu Maqam Ibrahim ini, Allah SWT telah menjadikannya lembut dan ia sebagai rahmat.” (Lihat ulasannya dalam Fath al-Bari 8/19). Kerana itulah walaupun lama Nabi Ibrahim a.s. berpijak di atasnya, namun tidak terasa sakit mahupun penat dan kerana sebab itulah juga kekal kesan tenggelamnya tapak kaki Nabi Ibrahim a.s. sebagaimana yang dapat dilihat pada hari ini.

Al-Fakihi dan lain-lainnya meriwayatkan bahawasanya apabila pembinaan Kaabah siap sepenuhnya, Allah SWT telah memerintahkan agar Nabi Ibrahim a.s. menyeru manusia datang menunaikan haji. Lalu Nabi Ibrahim berkata: “Wahai Tuhanku, Sesungguhnya tiadalah daya diriku sebagai manusia biasa yang terhad suaranya untuk menyeru hingga sampai ke seluruh pendengaran manusia di dunia.”

Lalu Allah SWT berfirman: Sesungguhnya tugasmu hanyalah melaungkan sahaja, tetapi Kamilah yang menyampaikannya (ke dalam hati manusia).” Lantas Nabi Ibrahim a.s. naik ke atas batu (Maqam Ibrahim) seraya menyeru: “Wahai manusia! Telah difardukan ke atas kamu ibadah haji.” Maka dengan itu seruan tersebut telah diperdengarkan kepada setiap manusia yang berada di dalam sulbi lelaki dan di dalam rahim wanita. Mereka yang beriman serta yang telah ditulis oleh Allah SWT akan datang untuk mengerjakan haji hingga hari kiamat telah menyahutnya dengan menyebut: “Labbaikallahumma Labbaik”.

Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “Sesungguhnya Hajar al-Aswad dan Maqam Ibrahim merupakan batu-batan dari syurga. Allah SWT telah menghilangkan cahaya kedua-duanya dan seandainya tidak dihilangkan cahaya kedua-duanya, nescaya akan diterangi seluruh pelosok timur dan barat.”
- (Lihat Musnah Admad 11/577 no. 7000, al-Tirmizi no 878, Ibn Khuzaimah no. 2732).


Author: Ustaz Ahmad Husni Abdul Rahman
Dipetik dari Majalah Solusi

No comments:

Post a Comment