Wednesday, April 14, 2010

Buat Umrah Banyak Kali

Soalan:

Saya akan pergi umrah, insyaAllah dan saya ada beberapa soalan:

1. Saya akan berada di Makkah selama 10 hari. Yang manakah yang lebih baik - samada mengerjakan umrah banyak kali dalam tempoh tersebut atau mengerjakan umrah hanya sekali sahaja. Saya ada dengar, disunatkan memperbanyakkan tawaf sunat, tetapi lebih baik umrah satu kali sahaja sebab nabi buat begitu. Saya dengar juga, yang sunnah ialah satu kali umrah dalam satu safar ke Makkah. Saya juga ada dengar, jarak antara dua umrah ialah sehingga rambut panjang setelah dicukur dalam umrah yang pertama. Adakah dakwaan-dakwaan tersebut berdasarkan nas yang sahih? Adakah saya patut umrah satu kali sahaja?

2. Jika saya melakukan umrah banyak kali, adakah lebih baik terus cukur rambut dalam umrah kali yang pertama? Ada orang kata, lebih baik potong sedikit sahaja, dan rambut selebihnya dipotong pada umrah-umrah berikutnya, dan hanya bercukur untuk umrah yang terakhir.

3. Adakah dibolehkan melakukan umrah untuk ibubapa, saudara-mara atau muslim lain? Adakah ini memerlukan wasiat dan persetujuan mereka?


Jawapan:

1. Perbuatan mengulangi umrah beberapa kali dalam satu perjalanan tidak diketahui daripada sunnah Nabi dan para sahabat. Nabi SAW pernah berada di Makkah selama 19 hari waktu Pembukaan Makkah, baginda tidak keluar ke tanah halal untuk berihram umrah. Baginda pernah berada di Makkah 3 hari sewaktu Umrah Qadha’, tanpa melakukan umrah lain pun. Begitu juga para sahabat.

Kata Syeikh Uthaimin: Perbuatan ini lebih hampir kepada kesalahan berbanding dengan ganjaran.
- (Liqaat Bab Maftuh)

Jarak antara dua umrah, sesetengah fuqaha mengatakan sehingga tumbuh rambut. Ada yang menghadkan sebulan. Imam Ahmad mengatakan: "Sehingga hitam kepalanya (tumbuh rambut)". Tetapi tidak ada nas sahih yang menyokongnya. Cuma had seperti ini diambil daripada rukun umrah iaitu mencukur atau mengerat rambut. Dan ia tidak dapat disempurnakan melainkan dengan ada rambut. Wallahu A’lam.

Oleh itu, disyorkan agar memperbanyakkan melakukan tawaf dan solat sunat di MasjidilHaram, dan ia lebih sunnah daripada amalan mengulangi umrah banyak kali.

2. Yang dikatakan lebih baik tinggal sedikit selepas umrah ialah jika kita melakukan Haji Tamattuk. Selepas umrah, lebih baik tahallul dengan bergunting supaya tahallul haji dapat dilakukan dengan cara mencukur.

Adapun, jika datang untuk umrah sahaja, maka lebih afdhal saudara mencukur rambut. Tidak perlu kita fikirkan tentang umrah-umrah yang akan datang. Kerana pada asalnya, ia tidak digalakkan sebagaimana disebutkan tadi.

Walaubagaimana pun, syarak meluaskan hukum ini samada cukur atau gunting.

3. Melakukan umrah (sunat) untuk ibubapa, atau orang yang telah meninggal, InsyaAllah, memberi manfaat untuk mereka. Ia tidak memerlukan kepada wasiat, kerana ia satu bentuk sedekah kepada mereka.


Wallahu A’lam
Jawapan asal penulis di Al-Ahkam.Net

No comments:

Post a Comment