Wednesday, September 16, 2009

Bisnes Cacing Dan Lintah

Soalan:-

Apakah hukumnya bisnes cacing dan lintah?

Jawapan:-

Firman Allah: “Dialah (Allah) yang telah menjadikan untuk manfaat/kegunaan kamu segala yang ada di atas muka bumi”
- (Al-Baqarah, ayat 29).

Berdasarkan ayat ini dan seumpamanya, para ulamak memutuskan bahawa sekelian yang bermanfaat bagi manusia di atas muka bumi ini hukumnya adalah harus, selagi tidak ada nas (dalil al-Quran atau as-Sunnah) yang melarang atau menegahnya. Kerana itu, perkara yang perlu dipersoalkan tentang hukum cacing dan lintah itu ialah; adakah terdapat dalil dari al-Quran dan as-Sunnah yang mengharamkan cacing sama ada untuk makanan atau untuk kegunaan-kegunaan lain.

Dari segi Fiqh, cacing termasuk dalam kategori binatang-binatang yang melata di atas bumi seperti ulat, serangga, cacing, lipan, kala dan sebagainya. Dalam menjelaskan hukum memakannya, para ulamak terbahagi kepada dua pandangan:-

Pertama:- Haram memakannya kerana ia adalah keji. Mereka berdalilkan firman Allah (bermaksud); “Dan dia menghalalkan untuk mereka yang baik-baik dan melarang ke atas segala yang keji-keji” (al-A’raf; 157)

Pandangan pertama ini adalah pandangan jumhur ulamak. Bagi mereka, maksud keji dalam ayat di atas ialah yang dipandang jijik oleh manusia terutamanya masyarakat Arab. Setiap yang dipandang keji oleh tabiat manusia yang normal, maka memakannya adalah haram sekalipun tidak disebut pengharamannya secara khusus oleh al-Quran atau Hadis.

Kedua:- Ulamak-ulamak mazhab Maliki berpandangan, tidak haram memakannya kecuali jika diketahui boleh mendatangkan mudarat pada badan. Hujjah mereka ialah, tidak ada nas yang menunjukkan pengharamannya.

Adapun mengenai ayat di atas, mereka tidak sependapat dengan jumhur ulamak di atas. Bagi mereka, maksud keji dalam ayat di atas bukanlah diukur berdasarkan perasaan atau fitrah manusia, tetapi berdasarkan nas Syarak (yakni al-Quran atau Hadis Nabi s.a.w.). Jadi “yang keji-keji” dalam ayat di atas maksudnya ialah yang diharamkan oleh Syarak seperti bangkai, darah, daging babi dan sebagainya. Adapun binatang-binatang melata itu, tidak ada dalil dari Syarak yang mengharamkannya, maka ia kekal atas hukum asalnya iaitu harus, kecualilah jika boleh mendatangkan bahaya atau mudarat maka haramlah ia dengan sebab tersebut, bukan dengan sebab kedudukannya sebagai binatang yang melata, itu adalah hukum memakannya.

Bagaimana pula hukum memanfaatkannya dengan kegunaan-kegunaa lain dari sebagai makanan? Katakanlah kita berpegang dengan pandangan jumhur yang mengharamkan kita memakannya, adakah ia bermakna haram juga kita memanfaatkannya untuk kegunaan lain? Jawapannya:- Tidak.

Tahi lembu, tahi ayam dan sebagainya; haram kita memakannya, namun Syarak mengharuskannya untuk digunakan sebagai baja tanaman. Malah ulamak-ulamak mazhab Hanafi mengharuskan menjualnya melihat kepada manfaatnya walaupun dari segi zatnya ia adalah najis. Tegasnya, tidak semua yang haram dimakan, haram pula dimanfaatkan untuk kegunaan lain selain makanan.

Dalam sebuah hadis, Ibnu ‘Abbas r.a. menceritakan; “Nabi s.a.w. telah melihat seekor kambing yang mati. Lalu Nabi s.a.w. berkata kepada sahabat-sahabatnya; ‘Kenapa kamu tidak mengambil kulitnya, kemudian menyamaknya dan memanfaatkannya’. Mereka menjawab; “Ia adalah bangkai, wahai Rasulullah’. Baginda menjawab; “Yang haram ialah memakannya”
- (HR Imam Muslim).

Hadis ini menunjukkan bahawa tidak semua yang haram dimakan, haram pula memanfaatkannya untuk kegunaan lain, selain makanan. Kita telah menjelaskan di awal tadi bahawa, semua yang bermanfaat bagi manusia di atas muka bumi ini hukumnya adalah harus selagi tidak ada nas yang melarang atau menegahnya. Maka sekalipun kita berpegang dengan pandangan jumhur yang mengharamkan kita memakan cacing dan lintah, namun itu tidak bermakna haram pula untuk kita memanfaatkanya untuk kegunaan lain, kecualilah jika ada nas lain pula yang mengharamkan kita memanfaatkannya. Selagi tidak ada nas yang melarang, haruslah kita memanfaatkannya.

Satu persoalan lagi:- Adakah semua yang haram dimakan dianggap najis oleh Syarak? Jawapannya:- Tidak. Semua najis haram dimakan, namun tidak semua yang haram dimakan adalah najis. Para ulamak menjelaskan; asal setiap benda yang wujud di atas muka bumi ini adalah suci hinggalah terdapat nas dari al-Quran dan Hadis Nabi yang menegaskan ia adalah najis dan perlu dikeluarkan dari hukum asal itu. Cacing dan lintah, walaupun haram memakannya kerana dianggap keji oleh manusia (berdasarkan pandangan jumhur), namun keduanya tidak boleh dianggap najis melainkan ada nas (dalil) dari al-Quran atau as-Sunnah yang menjelaskan keduanya sebagai najis. Selagi tidak ada nas yang menyebutkan keduanya sebagai najis, kekallah mereka atas hukum asal iaitu suci.

Kesimpulannya, berdasarkan penerangan di atas saya berpandangan –wallahu a’lam-; harus menternak dan menjual cacing dan lintah untuk tujuan-tujuan dan kegunaan-kegunaan selain makanan manusia sama ada dijadikan baja, bahan kosmetik, makanan ternakan dan sebagainya kerana tidak ada nas yang melarang kita dari memanfaatkannya dan tidak ada nas yang menyebutkannya sebagai najis. Adapun untuk dijadikan makanan manusia, hukumnya tidak harus kerana ia tergolong dalam makanan yang menjijikkan yang dilarang oleh Allah dalam ayat 157 dari surah al-A’raf di atas berdasarkan tafsiran jumhur ulamak.

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. Al-At’imah Wa az-Zabaih Fi al-Fiqh al-Islami, Dr. Abu Sari’ ‘Abdul-Hadi.
2. Majmu’ al-Fatawa, Imam Ibnu Taimiyyah, juz. 5.
3. Fiqh at-Toharah, Dr. Yusuf al-Qaradhawi.
4. Tafsir al-Qurtubi (ayat 157, surah al-A’raf).
5. Tafsir Ibnu Kathir (ayat 157, surah al-A’raf).

Posted by USTAZ AHMAD ADNAN FADZIL

No comments:

Post a Comment