Thursday, September 10, 2009

Puasa Hari Asyura Hapuskan Dosa Setahun

ALLAH mengurniakan kelebihan yang banyak bagi sesiapa yang meningkatkan amal pada Muharam. Antaranya berpuasa sunat.

Antara hadis sahih yang membicarakan amalan puasa pada Muharam adalah mengenai puasa hari Asyura (10 Muharam), iaitu:-

Ibn Abbas meriwayatkan yang bermaksud: "Apabila Nabi Muhammad saw datang ke Madinah, Baginda melihat orang Yahudi berpuasa pada hari Asyura, lalu Baginda bertanya:-"Apakah ini?" Mereka menjawab: "Hari ini adalah hari yang baik di mana Allah telah menyelamatkan padanya Nabi Musa dan Bani Israil daripada musuh mereka, maka Musa pun berpuasa." Lalu Baginda bersabda: "Aku lebih berhak dengan Musa daripada kamu." Maka, Baginda pun berpuasa dan menyuruh orang ramai supaya berpuasa."
- (Hadis riwayat al-Bukhari)

Saidatina Aisyah berkata: "Rasulullah telah mengarahkan supaya berpuasa pada hari Asyura dan apabila telah difardukan puasa Ramadan, maka sesiapa yang hendak berpuasa (hari Asyura), maka dia boleh berpuasa, dan sesiapa yang hendak berbuka, maka dia boleh berbuka (tidak berpuasa)."
- (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Daripada Aisyah berkata yang bermaksud: "Orang Quraisy pada zaman jahiliah berpuasa pada hari Asyura, dan Rasulullah juga berpuasa pada hari Asyura. Maka, apabila Baginda datang ke Madinah, Baginda berpuasa pada hari itu dan menyuruh orang ramai berpuasa.

Apabila difardukan kewajipan puasa Ramadan, ditinggalkan puasa pada hari Asyura, lalu Baginda bersabda: "Sesiapa yang mahu, maka dia boleh berpuasa, dan sesiapa yang tidak mahu berpuasa, maka dia boleh tinggalkannya."
- (Riwayat al-Bukhari & Muslim)

Ini adalah beberapa contoh hadis sahih yang menyebut mengenai puasa pada hari Asyura. Daripada hadis itu dapat difahami bahawa puasa pada hari Asyura adalah perkara yang wajib sebelum difardukan puasa Ramadan. Apabila difardukan puasa Ramadan pada tahun ke-2 Hijrah, maka kewajipan ini gugur.

Bagaimanapun, ia digalakkan dan salah satu daripada sunnah yang sangat dituntut. Perkara ini adalah antara kesimpulan yang disebut oleh al-Imam Ibn Hajar al-'Asqalani (w 852) dan al-Imam Muslim (w 676) ketika menghuraikan hadis mengenai puasa Asyura.
- (Rujuk Fath al-Bari, Kitab al-Saum, Bab Siyam Yaum 'Asyura, 4/309, dan al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, Bab Saum Yaum 'Asyura'4/245).

Sesungguhnya kelebihan yang dijanjikan oleh Rasulullah bagi sesiapa yang mengamalkan puasa sunat ini amat besar. Antaranya seperti diriwayatkan oleh Qatadah (maksudnya): "Bahawa Rasulullah ditanya mengenai puasa hari Asyura, lalu Baginda menjawab: "Ia menghapuskan dosa setahun yang lalu."
- (Hadis riwayat Imam at-Tirmizi).

Dalam riwayat lain pula disebutkan bagaimana Rasulullah begitu mengambil berat dan memberi keutamaan kepada amalan puasa pada hari Asyura. Hal ini seperti yang disebut oleh Ibn Abbas bahawa beliau pernah ditanya mengenai puasa pada hari Asyura, lalu berkata: "Aku tidak pernah ketahui bahawa Rasulullah berpuasa sehari kerana mencari kelebihannya di atas hari lain kecuali pada hari ini, dan Baginda tidak berpuasa sebulan kerana mencari kelebihan di atas bulan yang lain kecuali bulan ini, iaitu Ramadan."
-(Hadis riwayat Imam Muslim)

Selain pada hari Asyura, umat Islam digalakkan berpuasa pada hari sebelumnya iaitu hari ke-9 Muharam. Perkara ini berdasarkan beberapa hadis sahih, antaranya:-

Daripada Ibn Abbas berkata bermaksud: "Ketika Rasulullah berpuasa pada hari Asyura, Baginda turut mengarahkan orang ramai supaya berpuasa. Lalu mereka berkata: Wahai Rasulullah! Sesungguhnya hari ini adalah hari yang dibesarkan oleh kaum Yahudi dan Nasrani. Lalu Rasulullah bersabda lagi: "Sekiranya pada tahun depan, jika diizinkan Allah, kita akan berpuasa pada hari ke-9." Ibn Abbas berkata: "Tidak sempat munculnya tahun depan, Rasulullah wafat terlebih dulu."
- (Hadis riwayat Imam Muslim).

Daripada Ibn Abbas berkata, bahawa Rasulullah bersabda bermaksud: "Sekiranya aku masih hidup hingga tahun depan, nescaya aku pasti akan berpuasa pada hari ke-9."
-(Hadis riwayat Muslim)

Imam al-Nawawi (w 676) dalam menghuraikan hadis di atas menukilkan pendapat Imam Al-Syafie dan ulama dalam mazhabnya, Imam Ahmad, Ishak dan sebagainya bahawa mereka berpendapat bahawa disunatkan berpuasa pada hari ke-9 dan ke-10. Perkara ini kerana Nabi berpuasa pada hari ke-10 (Asyura) dan berniat untuk berpuasa pada hari ke-9 (tahun berikutnya).

Imam al-Nawawi menyambung lagi: "Sebahagian ulama berpendapat bahawa kemungkinan sebab digalakkan berpuasa pada hari ke-9 dan ke-10 supaya tidak menyamai dengan amalan kaum Yahudi yang hanya berpuasa pada hari ke-10."
- (Rujuk: al-Minhaj syarh Sahih Muslim, Bab al-Siyam, (Beirut: Dar al-Ma'rifah , cet.7, 2000), jil 4, hal. 254).

Renungilah saranan Rasulullah seperti yang diriwayatkan oleh Jundub bin Sufian bahawa Baginda bersabda bermaksud: "Sesungguhnya solat yang paling utama selepas solat fardu adalah solat pada waktu tengah malam dan puasa yang paling utama selepas puasa Ramadan adalah puasa pada bulan Allah yang kamu panggilnya Muharam."
- (Hadis riwayat Imam al-Nasa'ie dengan sanad yang sahih).

__________________________________________

Diriwayatkan daripada Ibnu Abbas r.a katanya:”Rasulullah saw. bersabda, maksudnya: "Berpuasalah kamu pada hari `Asyura' dan buatlah perbezaan padanya (dari) orang Yahudi (dengan) berpuasa sehari sebelumnya atau sehari selepasnya."
- (Ahmad)

Huraian:-
Para ulama menyebutkan bahawa hikmah disunatkan berpuasa pada hari Tasu`a' (sembilan Muharram) itu adalah untuk :

i. Menyalahi atau membezakan amalan orang-orang Yahudi yang hanya berpuasa pada hari `Asyura' (sepuluh Muharram) sahaja.

ii. Bagi maksud berhati-hati berpuasa pada hari `Asyura' kerana kemungkinan berlaku kesilapan kekurangan dalam pengiraan anak bulan. Maka dengan itu hari kesembilan Muharram itu dalam pengiraan adalah hari yang kesepuluh Muharram yang sebenarnya.

iii. Bagi maksud menyambung puasa hari `Asyura' dengan satu hari puasa yang lain kerana tegahan Rasulullah s.a.w. berpuasa satu hari satu-satunya sahaja seperti berpuasa pada hari Jumaat. Walaupun begitu, tidaklah menjadi apa-apa jika hanya berpuasa sehari sahaja pada hari `Asyura'.
- (lihat I`anah Ath-Thalibin 2/301)

Oleh kerana itu disunatkan juga, jika berpuasa pada hari `Asyura' tanpa berpuasa pada hari Tasu`a', supaya berpuasa pada hari kesebelas Muharram. Bahkan Imam Syafi`e menyebutkan di dalam Kitab Al-Umm dan Al-Imla' disunatkan berpuasa tiga hari tersebut iaitu hari kesembilan (Tasu`a'), kesepuluh (`Asyura') dan kesebelas bulan Muharram.

_____________________________________________

Fadhilat Puasa Assyura

Dari Abu Qatadah al-Anshari r.a. katanya: "Rasulullah s.a.w. ditanya orang tentang puasa hari Arafah (9 Zulhijjah). Jawab baginda, "Semoga dapat menghapus dosa tahun yang lalu dan yang akan datang". Kemudian Nabi ditanya pula tentang puasa hari Asyura (10 Muharram). Jawab baginda, "Semoga dapat menghapuskan dosa tahun yang lalu".
- (Muslim)

Huraian:-

Allah SWT memberikan kita nikmat yang tidak terbilang banyaknya. Hal ini termasuklah peluang-peluang melakukan amal ibadat yang diganjari dengan pahala yang berlipat kali ganda berbanding dengan amalan-amalan yang dilakukan pada waktu-waktu biasa.

Contohnya, Allah SWT memuliakan bulan Muharram dan menggalakkan kita berpuasa sunat. Peluang ini mungkin dipandang remeh bagi orang yang tidak mengetahui akan kelebihan yang ada padanya tetapi hakikatnya itulah nilai yang menentukan sejauh manakah kepekaan seseorang Muslim itu dalam mencari keredhaan Allah SWT dengan cara yang terbaik iaitu ia tidak mensia-siakan nikmat sihat dan kelapangan waktu yang dikurniakan padanya kerana apabila seseorang itu sudah ditimpa sakit ataupun sibuk barulah mereka terasa akan kekurangan diri dalam mempersiapkan bekalan di hari akhirat kelak. Oleh itu marilah kita bersama-sama menyahut seruan Rasulullah ini mudah-mudahan ketaqwaan kita kepada Allah SWT semakin meningkat.

No comments:

Post a Comment