Monday, September 14, 2009

Suburkan Sifat Pemaaf, Membina Hubungan Baik

Ketika manusia diciptakan, Allah SWT mencipta juga pelbagai bentuk emosi dan keinginan dalam diri manusia yang berbentuk positif dan negatif yang saling mempengaruhi antara satu sama lain. Antara sifat positif yang terdapat dalam diri manusia ialah pemaaf, yakni lawan kepada sifat pemarah dan pendendam.

Pemaaf adalah sifat luhur yang perlu ada pada diri setiap muslim. Ada beberapa ayat al-Quran dan hadis yang menekankan keutamaan bersifat itu yang juga disebut sebagai sifat orang yang hampir di sisi Allah SWT.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Dan orang yang menahan amarahnya dan memaafkan orang lain, Allah menyintai orang yang berbuat kebajikan."
- (Surah Ali Imran, ayat 132).

Namun, diakui bukan mudah untuk menjadi seorang pemaaf. Sikap negatif yang menjadi lawannya iaitu pemarah sentiasa berusaha menidakkan wujudnya sifat pemaaf dalam seseorang. Pertembungan dua unsur ini mewujudkan satu mekanisme yang saling ingin menguasai diri seseorang.

Iman dan takwa menjadi pengemudi melahirkan sifat pemaaf, manakala syaitan pula mengambil tempat mendidik sifat pemarah. Hakikatnya, syaitan sentiasa menggunakan kelemahan manusia untuk digoda dari pelbagai penjuru agar timbul sifat haiwaniah dalam diri manusia.

Memang tepatlah, sifat pemaaf itu bukanlah satu perbuatan mudah dilakukan. Firman Allah yang bermaksud: "Tetapi, sesiapa yang sabar dan suka memaafkan, sesungguhnya yang demikian itu termasuk pekerjaan yang berat ditanggung."
- (Surah asy-Syura, ayat 43).

Sifat pemaaf memang sukar dilakukan memandangkan manusia sentiasa dikuasai fikiran lojik untuk bertindak atas sesuatu perkara sehingga membunuh nilai moral sebenar.

Contohnya, bayangkan apakah tindakan spontan kita jika kena ditipu, dihina, dikhianati, dikecewakan dan perkara lain yang tidak disenangi. Sudah tentu perasaan marah akan menguasai diri dan diikuti pula dengan tindakan berbentuk lisan dan fizikal.

Kadangkala, perasaan marah juga disebabkan persaingan untuk mendapatkan sesuatu. Dalam keadaan itu, pesaing dianggap sebagai musuh yang perlu diatasi dengan apa cara sekalipun. Punca ini boleh merebak kepada fitnah, ugutan dan tindakan fizikal secara kekerasan.

Emosi manusia mudah terpengaruh ke arah melakukan tindakan yang pada pandangan lojik adalah tindakan yang sepatutnya. Apatah lagi jika hasutan syaitan berjaya menguasai diri. Tindakan yang pada asasnya patut dilakukan telah bertukar kepada tindakan melampau.

Di sinilah pentingnya kita memupuk sifat pemaaf dalam diri. Sesuatu yang lojik tidak semestinya betul. Sebaliknya, ajaran agama adalah petunjuk kepada kebenaran yang mesti diamalkan untuk mendapat kebaikan di dunia dan akhirat.

Tindakan marah yang melampau dan diikuti pula dengan tindakan fizikal, bukanlah jalan menyelesai masalah atau untuk menunjukkan siapa yang benar. Ketika itu, jika diteruskan niat melakukan tindakbalas atas kemarahan itu, mungkin ada tindakan yang mendatangkan keburukan sehingga ada melakukan pembunuhan.

Sesiapa berupaya menahan kemarahan, bererti dalam dirinya memiliki kemuliaan, keberanian, keikhlasan dan kekuatan yang sebenar. Sebaliknya, orang yang tidak mampu menahan marah adalah golongan yang lemah.

Nabi Muhammad s.a.w. bersabda: "Bukanlah orang yang kuat itu (dinilai) dengan (kekuatan) dalam pergelutan, sesungguhnya orang yang kuat ialah orang yang dapat menguasai dirinya ketika marah."
- (Hadis riwayat Bukhari).

Peri pentingnya sifat menahan marah mendorong Nabi Muhammad s.a.w. apabila diminta oleh seorang lelaki agar berpesan atau mengajarnya mengenai sesuatu perkara, menjawab ringkas iaitu 'jangan marah'.

Lelaki itu seperti tidak berpuas hati dengan jawapan itu. Dia mungkin merasakan apalah besar sangat kebaikan menahan marah. Lalu dia bertanya kali kedua mengharapkan agar Rasulullah s.a.w. memberitahu amalan lain yang lebih besar pahalanya. Tetapi Rasulullah s.a.w. tetap mengulangi perkataan 'jangan marah'.

Untuk mendidik sifat baik dalam diri perlulah menghampirkan diri dengan memperbanyakkan melakukan ibadat wajib dan sunat. Dengan kekuatan takwa dan iman secara langsung akan menjauhkan perkara yang ditegah, termasuklah sifat pemarah.

Sifat pemaaf lahir dari jiwa dan hati yang tenang hasil daripada tarbiyah yang berterusan. Sebab itu, selalulah memupuk sifat pemaaf. Bermulalah dengan perkara yang kecil dan mudah untuk hilangkan sifat marah.

Jika ada sesuatu yang menimbulkan perasaan marah, berfikirlah sejenak untuk terlebih dahulu menilai atau muhasabah diri sendiri terlebih dahulu. Renungkan dalam hati sendiri adakah perkara itu juga berpunca dari kita sendiri? Adakah sebelum ini kita telah mengambil langkah yang wajar untuk mengelak perkara itu daripada berlaku?

Dengan adanya perasaan itu, kita akan merasakan kali ini orang lain melakukan sesuatu yang kita tidak suka, dan mungkin pada masa lain pula kita dengan tidak sengaja maupun sengaja melakukan terhadap orang lain. Kita tentunya mahu kesalahan yang kita lakukan itu dimaafkan orang lain. Jadi, sebagai permulaan biarlah kita dahulu maafkan orang lain.

Jika kita mampu berfikir sedemikian, cahaya kebenaran mudah memasuki ruang hati dan memberi petunjuk apakah tindakan yang wajar dilakukan seterusnya. Pada ketika itu syaitan tidak berpeluang untuk menyemarakkan perasaan marah, yang lahir adalah keinsafan dan sifat memaafkan.

Perasaan marah yang melampau tidak jauh bezanya dengan kemabukan. Ketika itu kewarasan fikiran telah hilang.

Kehilangan rasa tenang adalah satu petanda kemarahan sedang menguasai minda dan hati. Pada ketika itu, tidak boleh berlaku sedikit kesilapan terhadap dirinya, terus dianggap punca menaikkan lagi perasaan marahnya dan melarat kepada hal-hal lain.

Sifat pemaaf memberi manfaat yang besar kepada diri sendiri terutama dari segi rohani. Orang yang bersifat pemaaf selalu dalam keadaan tenang, hati yang bersih, berfikiran terbuka, mudah diajak berunding dan sentiasa menilai diri sendiri untuk melakukan kebaikan.

Bagi orang yang bersifat pemaaf, padanya tiada seorang pun dalam hatinya tersimpan perasaan marah. Bahkan, dia seperti telah 'prepaid' memaafkan orang lain sebelum kesalahan dilakukan. Sebab itu, hati orang bersifat pemaaf tidak mudah terbakar dengan provokasi atau situasi menekan terhadap dirinya.

Banyak masalah berkaitan hubungan sesama manusia berpunca sifat marah dan membalas dendam. Biarpun perselisihan kecil, perkara itu tidak dapat diselesaikan disebabkan perasaan dendam masih bertapak di hati.

Sikap berdendam hanya merugikan kedua-dua pihak. Paling tertekan ialah pihak yang lebih banyak berdendam. Hatinya tidak tenteram dan sentiasa ada perasaan buruk sangka. Kadangkala, yang berdendam hanya sebelah pihak. Sedangkan, sebelah pihak lagi menganggap persengketan sebelum ini telah selesai.

Perasaan marah berterusan tidak menguntungkan mana-mana pihak. Membalas dendam dan membuat sesuatu mendatangkan kemrahan pihak lain akan menambah kekusutan dan permasalahan. Menang jadi arang, kalah jadi abu. Lebih menguntungkan jika kita mengamalkan sifat pemaaf yang pastinya mendatangkan kebaikan.

Jika sifat memaafkan diamalkan, insyaalah, kita juga tidak akan menanggung kemarahan daripada orang lain. Sesungguhnya Allah SWT terlebih awal memberi keampunan dengan rahmat-Nya.

Firman Allah bermaksud: "Janganlah sampai bersumpah-sumpah, orang-orang yang mempunyai kelebihan dan kekayaan antara kamu, bahawa mereka tidak akan memberi lagi kepada kaum kerabat, orang-orang miskin dan orang-orang yang berhijrah pada jalan Allah. Tetapi hendaklah mereka memberi keampunan dan berlapang dada. Tidakkah kamu mahu jika Allah mahu memberi keampunan kepada kamu sekalian."
- (Surah an-Nur, ayat 22).

2 comments:

  1. salam..tq saya amik buat rujukan utk assignment =)

    ReplyDelete
  2. salam Kayun,

    terima kasih singgah di blog saya.

    ReplyDelete