Monday, September 28, 2009

Daging Korban Dan Aqiqah

Soalan:-

1)Manakah lebih baik dan lebih afdhal samada kita sedekahkan daging tersebut secara mentah-mentah atau kita masak terlebih dahulu dan beri makan kepada mereka yang berhak (buat kenduri)?

2) Adakah boleh orang bukan Islam makan Daging Aqiqah / Daging Korban ( mereka hadir dalam majlis kenduri dan makan makanan tersebut )

Jawapan:-

1. Bagi daging korban, sunat diagihkan dalam keadaan mentah. Jika hendak disedekahkan (atau dihadiahkan) setelah dimasak adalah harus. Cuma bahagian yang wajib disedekah kepada fakir miskin, hendaklah disedekahkan kepada mereka dalam keadaan mentah.[1]

Adapun bagi daging aqiqah, sunat dimasak[2] iaitu disedekahkan (atau dihadiahkan) dalam keadaan telah dimasak, bukan dalam keadaan mentah sebagaimana daging korban. Masakan pula disunatkan yang manis sebagai bertafaul (yakni menaruh harapan baik) agar bayi yang dilahirkan itu akan manis/elok akhlaknya.

Harus sama ada hendak menghantar daging yang dimasak itu ke rumah fakir miskin atau menjemput mereka memakannya di rumah. Namun menghantar masakan kepada mereka lebih afdhal dari memanggil/menjemput mereka ke rumah.[3]

2. Mengenai memberi daging korban kepada orang kafir, menurut Imam Hasan al-Basri, Abu Hanifah dan Abu Thur; ia adalah harus. Imam Malik pula memakruhkannya, malah memakruhkan memberi kulit binatang korban kepada mereka. Begitu juga dengan Imam al-Laith memakruhkannya. Adapun pandangan mazhab Syafi’ie, menurut Imam Nawawi; harus memberi makan kepada mereka jika korban itu adalah korban sunat, bukan korban wajib (yakni korban nazar)[4].

Wallahu a’lam.

Nota Kaki:-

[1] Mensedekahkan daging korban kepada faqir miskin dari kalangan muslimin adalah wajib sekalipun sedikit iaitu dengan kadar paling minima yang dapat dinamakan sedekah. Jika orang yang melakukan korban dan ahli keluarganya memakan kesemua daging korbannya (tanpa ada sedikitpun yang disedekahkan kepada fakir miskin), maka ia wajib menggantinya dengan nilai/harga paling minima yang memadai sebagai sedekah, kemudian hendaklah ia membeli dengan harga daging itu untuk disedekahkan sebagai ganti yang dimakannya. Disyaratkan daging yang disedekahkan itu hendaklah dalam keadaan mentah dimana orang faqir miskin yang memperolehinya dapat menggunakannya mengikut kehendaknya sama ada menjualnya, memakannya atau sebagainya. Tidak memadai sekiranya disedekahkan dalam keadaan daging yang sudah dimasak atau pemilik korban memasak daging korban dan menjemput orang faqir miskin makan dirumahnya. Begitu juga tidak memadai sekiranya disedekahkan bahagian yang bukan daging seperti kulit, perut, limpa dan sebagainya. (Lihat; Al-Muhazzab, jil. 2, hlm. 838. al-Majmu’, jil. 8, hlm. 308-309 dan Al-Iqna’, jil. 2, hlm. 824).

[2] Termasuklah daging aqiqah nazar; sunat dimasak terlebih dahulu, kemudian barulah disedekahkan kepada fakir miskin. (Lihat; Mughni al-Muhtaj, jil. 4, hlm. 370).

[3] Al-Majmu’, jil. 8, hlm. 322.

[4] Rujuk; al-Majmu’, jil. 8, hlm. 316.

Posted by USTAZ AHMAD ADNAN FADZIL

No comments:

Post a Comment