Monday, September 7, 2009

Hukum Berkhitan Atau Bersunat Bagi Anak Perempuan

Soalan:-

Adakah bersunat diwajibkan ke atas anak perempuan?

Jawapan:-

Berkhitan atau bersunat merupakan perkara yang disyari’atkan di dalam Islam. Sabda Rasulullah s.a.w.:-
“Lima perkara yang merupakan fitrah; berkhitan (bersunat), mencukur bulu kemaluan, memotong kuku, mencabut bulu ketiak dan menipiskan misai”.
- (Riwayat Imam Muslim dari Abu Hurairah r.a.)

Namun para ulamak berbeza pandangan tentang hukumnya:-

Pertama:- Menurut Imam Syafi’ie; hukum berkhitan/bersunat adalah wajib ke atas lelaki dan juga perempuan.

Kedua:- Mengikut Imam Abu Hanifah, Imam Malik dan Imam Hasan al-Basri, berkhitan hukumnya sunat sahaja samada ke atas lelaki atau perempuan. Berdasarkan penjelasan Imam Nawawi, pandangan ini merupakan pandangan jumhur (majority) ulamak.

Ketiga:- Imam Ahmad pula berpandangan, ia wajib ke atas lelaki sahaja. Adapun ke atas perempuan, ia digalakkan sahaja.

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. Al-Fiqhul-Wadhih, Syeikh Dr. Muhammad Bakr Ismail, jil. 1, hlm. 128.
2. Nailul-Autar, asy-Syaukani, juz. 1, Kitab at-Toharah.
3. al-Khitan, Syeikh Jadul-Haq ‘Ali Jadul-Haq, hlm. 9-11.

Posted by USTAZ AHMAD ADNAN FADZIL

No comments:

Post a Comment