Monday, November 9, 2009

Amalan Untuk Si Arwah

Soalan:

Saya baru kehilangan suami kerana diserang sakit jantung.

1) Bagaimana cara untuk pastikan di syurga nanti saya dapat hidup bersamanya selama-lamanya, jika diizinkan ALLAH?

2) Apakah roh suami saya dekat dengan saya dan memerhati saya? Bolehkah saya minta pada ALLAH untuk bertemu arwah dalam mimpi?

3) Besarkah pahala yang dijanjikan ALLAH pada setiap hambanya yang menerima ujian sehebat ini?

4) Pusara arwah disemadikan di Kelantan, sedangkan saya di Kedah. Sebulan sekali InsyaALLAH saya akan melawat pusaranya. Adakah sampai doa atau bacaan AL-QURAN yang saya hadiahkan untuk arwah? Apakah arwah sedih kerana saya tidak mampu ke pusaranya setiap hari?

Jawapan :

1. Berdoalah kepada Allah agar puan digolongkan Allah SWT di kalangan orang-orang soleh dan begitu juga suami puan. Orang-orang soleh akan bertemu semula di alam Barzakh dan di akhirat (di dalam syurga) sebagaimana firman Allah yang bermaksud: “Orang-orang beriman yang dituruti oleh zuriat keturunan mereka dengan iman itu, Kami hubungkan zuriat keturunan mereka itu dengan mereka dan Kami tidak mengurangi sedikitpun dari pahala amal-amal mereka. Setiap diri manusia terikat dengan amal yang dikerjakannya”.
- (Surah at-Thur, ayat 21)

Sabda Nabi s.a.w. (bermaksud); “Seseorang akan bersama dengan orang yang ia kasih (pada hari kiamat)”.
- (Riwayat Imam Bukhari dari Abu Musa al-Asy’ari r.a.)

Al-‘Allamah Ibnul-Qayyim al-Jauziyah dalam kitabnya Ar-Ruh menyatakan; “Ruh orang-orang yang diberi nikmat (iaitulah ruh-ruh orang beriman yang taat), mereka dapat saling bertemu dan menziarahi antara satu sama lain di alam Barzakh. Malah mereka saling mengingati peristiwa yang dilalui di dunia dulunya. Setiap ruh akan bersama dengan teman yang sedarjat dengan amalannya dan ruh nabi kita Muhammad s.a.w. akan bersama teman yang maha tinggi."

Allah SWT berfirman di dalam al-Quran (bermaksud): “Dan sesiapa yang ta’at kepada Allah dan RasulNya, maka mereka akan (ditempatkan di syurga) bersama-sama orang-orang yang telah dikurniakan nikmat oleh Allah kepada mereka, iaitu Nabi-nabi, dan orang-orang Siddiqiin, dan orang-orang yang Syahid, serta orang-orang yang salih. Dan amatlah eloknya mereka itu menjadi teman rakan (kepada orang-orang yang ta’at)”.
- (Surah an-Nisa’, ayat 69)”.

2. Apabila seorang muslim kematian orang yang dikasihinya, disunatkan ia membaca doa: “Ya Allah! Kurniakanlah keampunan untukku dan untuknya dan gantikanlah untukku selepas ketiadaannya dengan gantian yang baik”.

Ini berdasarkan hadis dari Ummu Salamah r.a. yang menceritakan: Rasulullah s.a.w. telah bersabda “Apabila kamu menziarahi orang sakit atau orang mati, maka ucapkanlah yang baik-baik kerana para malaikat mengaminkan apa yang kamu ucapkan”. Ummu Salamah menceritakan lagi: "Tatkala suamiku (Abu Salamah) meninggal, Rasulullah datang menziarahi, lalu aku berkata kepada baginda ‘Ya Rasulullah! Sesungguhnya Abu Salamah telah mati’." Maka Rasulullah berkata kepadaku “Kamu ucapkanlah …..(doa di atas)…”. Maka akupun mengucapkan doa tersebut, maka ternyata Allah SWT telah menggantikan untukku dengan seorang yang lebih baik dari Abu Salamah iaitu Nabi Muhammad s.a.w.[1]
- Riwayat Imam Muslim dan Abu Daud.

3. Amalan orang hidup untuk orang yang telah mati; ada di antaranya yang disepakati ulamak akan sampai pahalanya dan ada yang diiktilafkan. Yang disepakati ialah:

a) Berdoa dan memohon ampun untuknya

b) Memberi infak dan bersedekah untuknya; termasuk infak jariah, wakaf dan sebagainya.

c) Berpuasa ganti untuknya atau membayar fidyah.

d) Melunasi hutangnya

e) Melakukan haji untuknya

Adapun yang diiktilafkan ialah membaca al-Quran dan berzikir untuknya. Jumhur ulamak berpendapat: ia sampai kepada si mati terutama jika diikuti dengan berdoa selepasnya. Ada sebahagian ulamak berpendapat: ia tidak sampai.

4. Mengenai mimpi: menurut ulamak harus berlaku orang hidup bertemu dengan orang yang telah mati di dalam mimpi jika dikehendaki Allah SWT.

5. Mengenai menziarahi kubur: tidak perlulah puan terlalu kerap menziarahi pusara suami puan. Memadai puan menunjukkan ingatan kepada suami puan dengan berdoa untuknya, memohon ampun bagi pihaknya, bersedekah dan sebagainya lagi dari amalan-amalan di atas. Jumhur ulamak memakruhan wanita menziarahi kubur. Imam Abu Hanifah mengharuskannya dengan syarat tidak disertai dengan raungan atau tangisan yang melampau.

6. Setiap takdir Allah SWT ada hikmah dan kebaikannya. Perlu kita sedari bahawa Allah SWT lebih kasih kepada kita dari orang lain. DIAlah Arhamur-Rahimin (yang paling pengasih dari segala orang yang mengasihi). Amat beruntunglah orang yang sabar menerima ujian Allah SWT sebagaimana janji Allah:

“Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut, kelaparan, kekurangan dari harta benda dan jiwa (kematian) serta hasil tanaman. Berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar. (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: "Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali". Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmatNya; dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjuk hidayahNya”
- (al-Baqarah, ayat 155-157).

“Sesungguhnya orang-orang yang bersabar, akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira”.
- (az-Zumar, ayat 10)

Wallahu a’lam.

________________________________________

[1] Selepas kematian Abu Salamah, Ummu Salamah telah diambil oleh Rasulullah menjadi isteri baginda.


Posted by USTAZ AHMAD ADNAN FADZIL

No comments:

Post a Comment