HUKUM KE ATAS DUIT SEWA DARI PENJUAL ARAK
Soalan:
Apakah hukumnya ke atas wang sewa yang diambil dari penyewa yang menjual minuman yang haram iaitu arak?
Jawapan:
Setiap yang membantu perkara yang diharamkan oleh agama, ia juga adalah haram. Di dalam al-Quran, Allah SWT menegah kita dari saling membantu dalam perkara dosa dan permusuhan.
“Dan saling tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebaikan dan takwa, dan jangan saling tolong-menolong dalam membuat dosa dan permusuhan. Dan bertakwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat berat siksa-Nya”.
- (Al-Maidah: 2)
Khusus bagi kemusykilan dalam soalan ini iaitu menyewa tempat untuk peniaga yang menjual arak, terdapat sabda Nabi s.a.w. menegaskan:-
“Allah SWT melaknat arak, melaknat orang yang meminumnya, yang menghidangnya untuk diminum (oleh orang lain), yang menjualnya, yang membelinya, orang yang memerahnya, yang minta diperahkan untuknya, orang yang membawanya, orang yang dibawa arak kepadanya dan orang yang memakan harganya (yakni hasil jualannya)”.
- (Riwayat Abu Daud dan al-Hakim dari Ibnu Umar; Al-Jami’ as-Soghir, no. 7253 (soheh))
Perhatikan di dalam hadis di atas. Allah SWT bukan hanya melaknat orang yang membuat arak, menjual atau meminumnya, tetapi juga melaknat semua yang terlibat dengannya termasuklah orang yang memerahnya dan menolong membawanya.
Menurut ulamak; setiap dosa yang dilaknat oleh Allah SWT, maka dosa itu tergolong dalam dosa besar, bukan dosa kecil.
Kesimpulannya:
Diharamkan kita membantu perkara dosa atau menggalakkannya termasuk menyediakan tempat untuknya samada percuma atau dengan sewaan. Menurut ulamak, hasil sewaan atau upah dari pembabitan dengan perkara yang dilarang oleh agama adalah haram, tidak harus digunakan dan tidak diberkati oleh Allah SWT. Dikecualikan jika seseorang itu menyewa kenderaannya untuk mengangkut barang haram bagi dimusnahkan, maka hal tersebut diharuskan kerana ia membantu perkara makruf.
Wallahu a’lam.
Posted by USTAZ AHMAD ADNAN FADZIL
Tuesday, November 10, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment