Dosa-dosa dan maksiat kesemuanya adalah racun bagi hati. Kesan racun itu adakalanya menyebabkan hati sakit dan adakalanya sampai mematikannya. Punca dosa pula paling utama ada empat perkara:
1. Terlebih bercakap
Terlebih bercakap bermakna terlalu banyak bercakap (yang lain dari Zikrullah) sehingga terbit dari lidah ucapan-ucapan yang dimurkai Allah SWT. Di dalam hadis, Rasulullah s.a.w. berkata; “Tidak akan lurus iman seseorang sehingga hatinya lurus dan tidak akan lurus hatinya sehingga lidahnya lurus”
-(Riwayat Imam Ahmad dari Anas r.a.).
Saidina ‘Umar r.a. berpesan; “Sesiapa banyak cakapnya akan banyaklah tergelincirnya, sesiapa yang banyak tergelincirnya akan banyaklah dosa-dosanya dan sesiapa yang banyak dosanya maka api neraka paling utama baginya”.
“Sesiapa beriman dengan Allah dan hari akhirat, hendaklah ia bercakap yang baik-baik atau hendaklah ia senyap sahaja”.
- (Hadis Nabi s.a.w., riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim dari Abu Hurairah r.a.)
“Semua ucapan anak Adam akan menjadi bebanan ke atasnya, bukan menjadi keuntungan baginya kecuali:
a. Menyeru kepada makruf
b. Mencegah dari munkar
c. Berzikir kepada Allah.
-(Hadis Nabi s.a.w., riwayat Imam at-Tirmizi dan Ibnu Majah dari Ummu Habibah r.a.)
2. Terlebih melihat
Terlebih melihat juga akan merosakkan hati. Maksud terlebih melihat ialah kita tidak menjaga pandangan kita dari melihat perkara-perkara haram yang boleh membangkitkan nafsu seperti memerhati wanita dengan tujuan berseronok, melihat aurat orang yang bukan mahram kita atau kita memerhati dan mengintai kekurangan orang lain untuk mendedahkan keaibannya.
Di dalam al-Quran, Allah SWT memerintahkan orang beriman agar menjaga pandangan mereka: “Katakanlah (wahai Muhammad) kepada lelaki-lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram)….”.
-(an-Nur; 30)
“…dan katakanlah kepada perempuan-perempuan beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram)…”.
-(an-Nur: 31)
Kesan pandangan kepada hati dijelaskan oleh Nabi dalam sabdanya:
“Pandangan adalah satu panahan dari panahan-panahan beracun Iblis. Sesiapa meninggalkan pandangannya (dari melihat kepada yang haram) kerana takutkan Allah, nescaya Allah akan kurniakan kepadanya iman yang ia rasainya kemanisannya di dalam hatinya”.
-(Riwayat Imam al-Hakim dari Huzaifah r.a.)
Imam Ahmad meriwayat dari Abu Umamah r.a. yang menceritakan bahawa Nabi s.a.w. bersabda:
“Tidak ada seorang muslim yang melihat kepada keelokan-keelokan seorang wanita, lalu ia menahan pandangannya (yakni ia berpaling dari melihatnya) kerana takutkan Allah, melainkan Allah akan menggantikan untuknya ibadah yang ia rasai kemanisannya”.
-(Lihat hadis ini dalam Tafsir Ibnu Kathir, surah an-Nur, ayat 30).
3. Terlebih makan
Makanan yang kita makan akan memberi kesan kepada hati kita. Elakkan dari makanan-makanan yang haram atau yang diperolehi dari jalan-jalan yang haram kerana ia boleh mematikan hati atau sekurang-kurangnya merosakkannya.
Nabi Muhammad s.a.w. pernah meninggalkan pesan kepada sahabatnya bernama Sa’ad r.a.; “Wahai Saad! Perelokkanlah makanan kamu, nescaya kamu akan dimustajabkan doa. Demi Tuhan yang diri Muhammad berada dalam kekuasaanNya, sesungguhnya seorang itu apabila telah menyuapkan sesuap makanan haram ke dalam mulutnya, nescaya tidak akan diterima doanya (oleh Allah) selama 40 hari. Mana-mana hamba yang tumbuh/membesar daging badannya dari makanan yang haram dan riba, maka api neraka lebih utama baginya”.
-(Riwayat al-Hafidz Ibnu Mardawaih dari ‘Atak dari Ibnu ‘Abbas r.a.)
Selain itu, makanlah dengan kadar yang sederhana. Janganlah berlebih-lebihan kerana Allah memerintahkan:
“Dan makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak suka orang-orang yang berlebih-lebihan (membazir)”.
- (al-A’raf: 31)
Mengikut sunnah Nabi s.a.w., kadar paling banyak kita makan ialah sekadar memenuhi 1/3 sahaja dari perut kita.
Sabda Nabi s.a.w.: “Tidak ada bekas yang diisi oleh anak Adam yang lebih buruk dari perutnya. Cukuplah seseorang anak Adam itu makan dengan kadar beberapa suapan sahaja untuk menegakkan tulang sulbinya. Jika tidak mampu, jadikanlah 1/3 dari bahagian perutnya untuk makanan, 1/3 untuk minuman dan 1/3 lagi untuk pernafasan”.
- (Riwayat Imam an-Nasai, Ibnu Majah dan at-Tirmizi dari al-Miqdam bin Ma’diyakrib r.a.)
Ibrahim bin Adham pernah berkata: “Sesiapa dapat menjaga perutnya, nescaya ia akan dapat menjaga agamanya. Sesiapa mampu berlapar, nescaya ia memiliki akhlak-akhlak yang soleh. Sesungguhnya maksiat jauh dari orang yang lapar dan hampir dengan orang yang kenyang”.
Seorang ahli soleh pernah berkata; “Janganlah kamu makan banyak kerana nanti kamu akan minum banyak, lalu tidur kamu pun banyak dan akhirnya kerugian kamu pun banyak juga”.
4. Terlebih berkawan
Kawan juga mempunyai pengaruh terhadap hati kita. Jika kita berkawan dengan orang yang bersih hatinya, hati kita juga Insya-Allah akan turut bersih. Jika kita berkawan dengan orang-orang yang hatinya kotor, akhirnya hati kita juga akan turut menjadi kotor.
Kerana itu Nabi s.a.w. berpesan: “Seseorang itu berada di atas agama temannya. Maka hendaklah setiap orang dari kamu memerhati dengan siapa ia berteman”
-(Riwayat Imam Abu Daud dan at-Tirmizi dari Abu Hurairah r.a.).
Para ulamak membahagikan jenis kawan kepada tiga:
a) Kawan yang diibaratkan seperti makanan; iaitu perlu selalu bergaul dan bersamanya sama seperti kita perlu mengambil makanan setiap hari untuk tubuh kita. Kawan seumpama ini ialah dari kalangan orang-orang berilmu, bertakwa dan soleh. Semakin banyak kita berkawan dengan orang-orang berilmu, bertakwa dan soleh, maka baik untuk hati kita.
b) Kawan yang diibaratkan seperti ubat; iaitu kita bergaul dengannya ketika perlu sahaja, sama seperti kita mengambil ubat ketika kita sakit sahaja. Kawan jenis ini ialah dari kalangan orang-orang yang kita memerlukan mereka untuk urusan duniawi sahaja iaitu urusan kehidupan seperti jual-beli, perniagaan dan sebagainya. Kita tidak perlu terlalu rapat dan terlalu kerap bergaul dengan mereka kerana ia tidak memberi manfaat kepada kebaikan agama dan hati kita. Cukup kita bergaul dengan mereka dengan kadar yang dapat menyempurnakan urusan kita sahaja. Kecualilah jika mereka tergolong dalam kelompok orang berilmu dan soleh seperti di atas, maka haruslah kita bergaul rapat dengan mereka kerana di samping memenuhi tuntutan duniawi, dapat juga kita mengambil manfaat dari keilmuan dan kesolehan mereka.
c) Kawan yang diibaratkan seperti penyakit; iaitu kita perlu menjauhi mereka sejauh-jauhnya sama seperti kita menjauhi penyakit kerana takut menjangkiti kita. Kawan jenis ini dari kalangan orang-orang fasik, kaki maksiat dan ahli Bid’ah. Orang-orang dari jenis ini sekali-kali jangan kita berkawan dengan mereka kerana nanti sikap dan perilaku mereka akan merosakkan hati kita.
USTAZ AHMAD ADNAN FADZIL
Monday, November 16, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment