Soalan:
Apa pandangan syarak tentang jampi? Adakah harus berjampi dengan bomoh siam atau sebagainya yang bukan Islam?
Jawapan:
Dalam sebuah hadis Rasulullah s.a.w. telah bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya jampi-jampi, tangkal-tangkal dan sihir tiwalah* adalah syirik”.
- (Riwayat Imam Ahmad, Abu Daud, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Ibnu Mas’ud r.a./al-Jami’ as-Saghir, no. 2002)
(*At-Tiwalah ialah sejenis sihir pengasih iaitu yang digunakan untuk menjadikan seorang perempuan dikasihi oleh seorang lelaki. Lihat Faidhul Qadier, hadis no. 2002)
Di dalam hadis di atas, Rasulullah s.a.w. melarang jampi dan menganggapnya sebagai syirik. Namun para ulamak menjelaskan bahawa; jampi yang dilarang dalam hadis di atas dan dianggap sebagai syirik ialah yang terkandung doa atau pemujaan kepada selain Allah SWT, atau yang menggunakan bahasa selain Arab atau bahasa yang tidak difahami yang besar kemungkinan mengandungi kalimah-kalimah kufur atau unsur-unsur syirik. Adapun jampi-jampi menggunakan ayat al-Quran dan doa-doa yang maksur dari Rasulullah s.a.w., tidaklah dilarang kerana terdapat banyak nas yang membenarkannya.
Seorang sahabat nabi bernama ‘Auf bin Malik al-Asyja’ie r.a. menceritakan: ‘Kami biasa berjampi pada zaman jahiliyah. Lalu (apabila datangnya Islam), kami bertanya Rasulullah s.a.w.: ‘Ya Rasulullah s.a.w., apa pandangan kamu tentang jampi?’. Rasulullah s.a.w. menjawab: “Tunjukkan kepadaku jampi-jampi kamu. Tidak mengapa dengan jampi-jampi, selagi tidak ada syirik padanya”.
- (Riwayat Imam Muslim dan Abu Daud dari ‘Auf bin Malik r.a./al-Jami’ as-Saghir, no. 1152)
Terdapat riwayat menceritakan bahawa Abdullah bin Mas’ud suatu hari melihat di leher isterinya terdapat tangkal benang. Lalu ia bertanya isterinya: ‘Apa ini?’. Jawab isterinya: ‘Tangkal yang dijampi untuk berlindung dari demam/rasa panas’. Lantas Abdullah merentap tangkal tersebut dan membuangnya. Kemudian ia berkata kepada isterinya: ‘Sesungguhnya ahli keluarga Abdullah bebas dari syirik'. Aku dengar Rasulullah s.a.w. bersabda: ‘Sesungguhnya jampi-jampi, tangkal-tangkal dan sihir tiwalah adalah syirik’. Isteri Abdullah lalu menceritakan kepadanya: ‘Suatu hari aku keluar dari rumah. Aku terserempak dengan seorang lelaki yang melihat aku dengan matanya (yakni menyihir aku dengan matanya) menyebabkan mataku sentiasa berair/mengalir air mata. Maka aku pergi kepada seorang yahudi dan ia mengajar kepadaku satu jampi. Apabila aku membaca jampi itu, mataku pun berhenti berair. Namun apabila aku meninggalkan jampi itu, mataku kembali berair’. Abdullah berkata (memberi penjelasan kepada isterinya) : ‘Itulah mainan syaitan (untuk menyesatkan kamu). Apabila kamu taatinya (yakni dengan membaca jampi itu), ia biarkan kamu (yakni ia tidak menyakiti kamu), dan apabila kamu engkarinya (yakni dengan meninggalkan jampi itu), ia mencucuk mata kamu dengan jari-jarinya’. Abdullah berkata lagi: ‘Jika kamu melakukan sebagaimana yang diajar Rasulullah s.a.w., adalah lebih baik dan lebih mudah sembuh iaitu kamu merenjiskan air ke matamu sambil membaca doa: “Jauhilah penyakit, wahai Tuhan manusia. Sembuhkanlah kerana Engkaulah Tuhan yang maha menyembuhkan. Tidak ada sembuhan melainkan sembuhan Engkau, sembuhan yang tidak akan meninggalkan sebarang penyakit”.
- (Riwayat Imam Ibnu Majah dari Zainab r.a.)
Berkata Imam Muhammad bin al-Hasan: “Diharuskan berjampi dengan jampi yang terdapat di dalam al-Quran dan yang menyebut nama Allah. Adapun dengan perkataan yang tidak diketahui (makna atau asal-usulnya), maka tidak harus berjampi dengannya”.
- (Lihat al-Muwattha’, bab ar-Ruqa).
KESIMPULANNYA:
Jampi diharuskan jika menggunakan ayat-ayat al-Quran atau doa-doa yang maksur dari Rasulullah s.a.w.. Lebih jelas lagi, menurut Imam as-Suyuti: Para ulama’ sepakat meletakkan tiga syarat untuk mengharuskan sebarang jampi -
a) Ia hendaklah menggunakan kalam Allah, nama-nama atau sifat-sifatNya.
b) Ia hendaklah menggunakan bahasa Arab atau bahasa yang difahami maksudnya.
c) Hendaklah dengan iktikad bahawa bukan jampi-jampi itu yang menyembuhkan (atau memberi kesan) tetapi Allah.
- (Haqiqatu at-Tauhid, Syeikh Yusuf al-Qaradhawi)
Berdasarkan syarat-syarat di atas, dapat kita simpulkan juga bahawa berjampi dengan bomoh siam atau mana-mana bomoh yang bukan Islam hukumnya adalah haram kerana bomoh-bomoh bukan Islam itu sudah tentunya tidak akan menyebut nama Allah ketika berjampi, akan tetapi mereka akan menyebut nama Tuhan mereka dan ini membawa kepada syirik.
Wallahu A’lam.
Rujukan:
1. Haqiqatu at-Tauhid, Dr. Yusuf al-Qaradhawi, ter. Muassasah ar-Risalah, Beirut (2001)
2. Faidhul Qadier Syarh al-Jami’ as-Saghier, Imam al-Minawi, Dar al-Fikr.
Posted by USTAZ AHMAD ADNAN FADZIL
Wednesday, November 25, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment