Saturday, November 14, 2009

Doa Awal Tahun Dan Akhir Tahun

Soalan:

Adakah doa-doa khas awal tahun yang dibaca, atau majlis-majlis bacaan khusus sempena awal tahun itu berlaku pada zaman Rasulullah s.a.w?

Jawapan:

Tidak pernah Rasulullah s.a.w. mengajar lafaz khusus doa bagi awal tahun baru hijrah atau akhir tahun. Apa tidaknya, penentuan tahun hijrah itu sebagai perkiraan kalender kita ditetapkan oleh Amirul Mukminin ‘Umar Ibn al-Khattab bagi memudahkan urusan pentadbiran kaum muslimin.

Namun secara umum seseorang boleh berdoa dengan apa-apa lafaz dan untuk apa-apa hajat sekalipun. Selagi mana tidak menyanggahi syarak, termasuklah hajat agar tahun yang dimasuki tersebut dilimpahkan kebaikan.

Adapun majlis-majlis khusus untuk doa atau zikir khas bagi tahun baru tidak pernah diajar Nabi s.a.w, juga para sahabat baginda. Bahkan Amirul Mukminin Umar bin al-Khattab yang memulakan perkiraan tahun Islam dengan tahun berlakunya hijrah Nabi s.a.w. itu pun tidak pernah mengadakan majlis ibadah khusus yang seperti itu.

Tidaklah kita ini lebih tahu mengenai hal ehwal ibadah melebihi Nabi s.a.w. Sebaik-baik petunjuk itu adalah petunjuk Rasulullah s.a.w.


Dr. Mohd Asri Zainul Abidin

No comments:

Post a Comment