Kasih sayang merupakan asas kepada ketenangan. Islam menekankan konsep kekeluargaan sebagai asas tarbiah yang membolehkan terjalinnya ikatan kasih sayang. Sekiranya kita imbau kenangan lalu bersama teman-teman sudah pasti ia masih terpatri dalam ingatan sekalipun telah bertahun tidak berjumpa. Ikatan kasih sayang sebenarnya dapat menjana kekuatan ingatan. Sehubungan dengan itu, walau jarak memisahkan, hubungan kekeluargaan dan ikatan persahabatan masih utuh.
Dalam konteks kehidupan kita khususnya dalam persahabatan, adakalanya pertengkaran kecil pasti berlaku. Inilah yang mengeratkan lagi ikatan antara sahabat dan lebih mengenali diri masing-masing. Sekalipun ada hati yang terguris, lantaran kasih sayang yang wujud dalam diri berjaya menangkis segalanya. Kita akan memaafkan kesalahan sahabat kerana kasih akan sahabat. Ibarat manusia ini adalah satu anggota tubuh yang mana apabila salah satu anggota itu sakit, anggota lain pasti terasa juga tempiasnya. Jangan gadaikan sebuah persahabatan dek satu kesilapan yang dilakukan oleh sahabat kita. Tidak ada manusia yang sempurna di dalam dunia. Oleh itu, hendaklah kita menerima sahabat seadanya dan saling melengkapi.
Dalam meniti hari-hari yang mendatang, adakalanya tekanan melanda diri. Lantaran beban kerja yang menimbun dan masalah yang bertali arus datang dan pergi. Tika ini sahabat diperlukan untuk mencurahkan isi hati yang terpendam.
Teliti kembali, adakah kita telah melaksanakan tanggungjawab sebagai sahabat sebaik mungkin. Atau sekadar teman untuk minum kopi dan teh sahaja. Renungi diri. Jadilah sahabat yang baik dan sentiasa mendoakan kesejahteraan sahabatnya. Jujurlah dalam bersahabat. Sebelum meneruskan persahabatan yang mendalam, mohonlah petunjuk Allah agar tidak tersalah pilih. Terimalah sahabat anda sebaiknya dan maafkanlah kesilapan yang sengaja atau tidak sengaja dilakukan. Persahabatan yang dijalin kerana Allah pasti berkekalan. Nilai sebuah persahabatan itu tidak mampu dibeli dengan wang dan harta lantaran harganya yang tidak terungkap.
Di mana sekalipun kita berada, sahabat tetap diingati dalam doa. Yang paling penting, ikatan yang dibina adalah kerana NYA.
Thursday, November 5, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment