Sunday, February 14, 2010

Kaum-Kaum Yang DiBinasakan

Dalam Al-Quran bukan sahaja ada cerita orang baik, tetapi banyak juga cerita orang jahat. Mengapa ada cerita ‘orang jahat’ dalam kitab suci Al-Quran yang begitu mulia dan suci?

Ini kerana Allah SWT mahu kita belajar dan ambil pengajaran/ibrah daripadanya supaya yang baik dijadikan teladan dan yang jahat dijadikan sempadan.

Firman Allah SWT: “Sebelum mereka (yang menentang Nabi Muhammad) itu - kaum Nabi Nuh, dan "Ashaabur-Rassi" serta Thamud (kaum Nabi Soleh), telah juga mendustakan Rasul masing-masing. Dan juga Aad (kaum Nabi Hud), dan Firaun, serta kaum Nabi Lut. Dan juga penduduk "Aikah", serta kaum " Tubba' "; tiap-tiap satu kaum itu telah mendustakan Rasul-rasul (yang diutus kepadaNya), lalu mereka ditimpa azab yang Aku janjikan.”
- Surah Qaff ; Ayat 12-14

Kaum Nabi Nuh

Nabi Nuh berdakwah kepada kaumnya selama lebih 950 tahun, namum yang beriman hanya sekitar 80 orang sahaja. Kaumnya mendustakan dan memperolokkan baginda. Allah SWT datangkan banjir besar menenggelamkan mereka yang engkar, termasuk anak dan isteri Nabi Nuh sendiri.

Kaum Nabi Hud

Nabi Hud a.s. diutus kepada kaum A’ad. Mereka mendustakan kenabian Hud. Allah SWT datangkan angin taufan yang dahsyat dan ribut kencang disertai bunyi gemuruh yang menggerunkan hingga binasa seluruh kaum A’ad.

Kaum Nabi Saleh

Nabi Saleh a.s. ialah nabi dan rasul yang diutus kepada kaum Thamud. Baginda telah diberikan mukjizat iaitu seekor unta betina yang keluar dari celah batu, bagi menunjukkan kebesaran Allah SWT kepada kaumnya. Malangnya kaum Thamud terus engkar, malah mereka membunuh unta betina tersebut. Azab yang amat dahsyat menimpa, iaitu dengan satu tempikan daripada Malaikat Jibrail yang menyebabkan tubuh mereka hancur berkecai.

Kaum Nabi Lut

Kaum Sadum terkenal dengan amalan keji yakni perbuatan homoseksual. Nasihat dan dakwah Nabi Lut yang diutus kepada mereka tidak diendahkan, malah mereka cuba menggoda 2 orang malaikat yang menyamar sebagai manusia yang menjadi tetamu Nabi Lut. Dengan bermula suatu getaran, kemudian gempa bumi yang kuat dan disertai angin yang kencang dan hujan batu Sijjil, menghancurkan serta-merta kota Sadum berserta semua penghuninya.

Kaum Nabi Syuaib

Nabi Syuaib diutus kepada kaum Madyan. Mereka menyembah “Aikah”, yakni sebidang padang pasir yang ditumbuhi beberapa pohon dan tanam-tanaman. Kemungkaran kaum Madyan dan tipu menipu merupakan perbuatan dan perilaku yang lumrah dan rutin. Para pedagang dan petani selalu menjadi korban, sehingga yang kaya makin kaya, yang lemah semakin melarat hidupnya.

Nabi Syuaib berusaha menyeru kaumnya, namun mereka engkar. Diturunkan Allah SWT ke atas mereka hawa udara yang sangat panas hingga dahaga yang amat dan kepanasan membakar kulit. Kemudian muncul gumpalan awan hitam yang tebal dijatuhkan ke atas mereka diiringi petir dan gemuruh ledakan dahsyat, sementara bumi bergoyang dengan kuatnya menjadikan mereka mati bertimbunan.

Kaum Nabi Musa

Kaum Bani Israil sering ditindas, maka Nabi Musa dan dibantu oleh Nabi Harun diutus untuk memimpin dan membebaskan mereka daripada kekejaman Firaun. Firaun bukan sahaja kufur dan angkuh, malah mengaku dirinya Tuhan. Nabi Musa bersama orang beriman diarahkan Allah SWT melarikan diri, merentasi Laut Merah yang terbelah, Firaun dan tenteranya yang mengejar mereka ditenggelamkan oleh laut yang bertingkup.

Ashabus Sabtu

Kisah segolongan dari kaum Bani Israil yang fasik di Kota Eliah. Mereka telah melanggar larangan Allah SWT supaya tidak menangkap ikan pada hari Sabtu kerana hari Sabtu khusus untuk beribadat. Allah SWT menguji mereka dengan mendatangkan ikan yang banyak pada hari tersebut, lantas tanpa menghiraukan larangan Allah SWT, mereka telah melakukan helah untuk menangkap ikan-ikan tersebut. Lalu Allah SWT melaknat mereka menjadi kera yang hina.

Ashabul Rass

Rass adalah nama bagi telaga yang kering airnya, dinamakan kepada suatu kaum iaitu kaum Rass. Mereka adalah penduduk salah sebuah kampung yang terletak di daerah Thamud. Diutus seorang Nabi yang bernama Hanzalah Bin Sofuan namun mereka mendustakannya, malah hingga membunuhnya dan dicampak ke dalam telaga. Allah SWT telah binasakan penduduk kampung ini dengna kemarau yang dahsyat, sehingga kaum ini lenyap dari muka bumi.

Kaum Tubba’

Tubba’ adalah seorang yang berbangsa Himyar. Dia merupakan salah seorang Raja Himyar yang beriman tetapi kaumnya tetap kafir sehingga melampaui batas, maka Allah SWT binasakan mereka. Selepas peristiwa itu, lafaz Tubba’ menjadi gelaran kepada raja-raja Yaman.

Oleh Abu Irdak
Dipetik dari Majalah Solusi

No comments:

Post a Comment