Saturday, January 24, 2009

SURAH MARYAM

19. SURAH MARYAM (98 ayat) – ‘MARYAM’

DITURUNKAN DI MEKAH

Surah Maryam adalah surah ke-19 dan terdiri atas 98 ayat. Hampir seluruh ayatnya diturunkan sebelum Nabi Muhammad SAW hijrah ke Madinah, bahkan sebelum sahabat-sahabat beliau hijrah ke negeri Habsyah.

Menurut riwayat Ibnu Mas'ud, Ja'far bin Abi Thalib membacakan permulaan surah Maryam ini kepada raja Najasyi dan pengikut-pengikutnya pada waktu dia turut serta hijrah bersama-sama sahabat-sahabat yang lain ke negeri Habsyah.

Surah ini dinamai Maryam, kerana surah ini mengandungi kisah Maryam, ibu Nabi Isa a.s.. Surah ini menceritakan kelahiran yang ajaib, dimana Maryam melahirkan Isa A.S. sedang belum mengahwini dengan mana-mana laki-laki. Kelahiran Isa A.S. tanpa ayah, merupakan suatu bukti kekuasaan Allah SWT. Pengutaraan kisah Maryam sebagai kejadian yang luar biasa dan ajaib dalam surah ini, diawali dengan kisah kejadian ajaib lainnya, iaitu dikabulkannya doa nabi Zakaria a.s. oleh Allah SWT, dimana ia ingin dianugerahi seorang putera sebagai pewaris dan pelanjut cita-cita dan kepercayaannya, sedang usianya sudah sangat tua dan isterinya adalah wanita yang mandul.

POKOK-POKOK ISINYA:

1. KEIMANAN: Allah SWT berbuat sesuatu menurut yang dikehendaki-Nya sekali pun ia menyimpang dari hukum-hukum alam; Isa A.S. bukan anak Allah SWT kerana mustahil Allah SWT mempunyai anak; Jibril AS turun kepada rasul-rasul membawa wahyu atas perintah Allah SWT; pada hari kiamat orang kafir menghadap Allah SWT dengan sendirinya, semua manusia akan menghadap Tuhan sebagai hamba.

2. KISAH-KISAH: Allah SWT mengabulkan doa Zakaria A.S. untuk memperolehi anak; kisah kelahiran Isa A.S. tanpa ayah; kisah Ibrahim A.S. dengan bapanya; Musa AS seorang yang dipilih oleh Allah SWT; Ismail A.S. seorang yang benar dalam janjinya; Idris A.S. seorang yang sangat kuat kepercayaannya.

3. LAIN-LAIN: Ancaman terhadap orang yang meninggalkan solat dan mengikuti hawa nafsunya serta khabar gembira untuk orang-orang yang telah taubat dan mengerjakan amal-amal yang soleh; keadaan di syurga; membiarkan orang yang sesat setelah diberi petunjuk bergelimang dalam kesesatannya adalah sunnah Allah SWT.

Surah Maryam diamalkan pada saat-saat akhir kehamilan kerana waktu proses pembentukan janin sudah sempurna, untuk memudahkan melahirkan tanpa sebarang gangguan.

FADILATNYA:-

1. Baca ayat 16-22 ke atas perempuan yang sedang hamil, akan mudah untuk melahirkan.

2. Terhindar dari sebarang gangguan yang berpunca daripada syaitan.

3. Menjamin kesihatan pada ibu dan janin.

4. Membaca surah Maryam, nescaya akan mendapat kejayaan di dunia dan di akhirat.

5. Ibu-ibu yang mengandung banyakkanlah membaca surah ini, insyaAllah akan mudah bersalin.

No comments:

Post a Comment