Sunday, January 25, 2009

SURAH AL-QASAS

28. SURAH AL-QASAS (88 ayat) – ‘CERITA-CERITA’

DITURUNKAN DI MEKAH

Surah Al-Qasas (Cerita-cerita) - surah yang diturunkan selepas Surah An-Naml. Surah ini mengandungi 88 ayat dan diletakkan dalam susunan surah sebagai surah yang ke 28. Surah ini diberi nama surah Al-Qasas kerana mengambil perkataan dari ayat 25 yang bermaksud:
"Kemudian salah seorang dari perempuan dua beradik itu datang mendapatkannya dengan berjalan dalam keadaan tersipu-sipu sambil berkata: Sebenarnya bapaku menjemputmu untuk membalas budimu memberi minum binatang ternak kami. Maka ketika Musa datang mendapatkannya dan menceritakan kepadanya kisah-kisah kejadian yang berlaku (mengenai dirinya) berkatalah orang tua itu kepadanya: 'Janganlah engkau bimbang, engkau telah selamat dari kaum yang zalim itu.' "

Surah ini diturunkan ketika kaum muslimin masih dalam keadaan lemah iaitu ketika mereka masih dibelenggu kekejaman kaum Musyrikin Makkah sebagai kuasa besar, mewah dan kuat. Maka, Allah SWT menurunkan surah ini sebagai perbandingan dengan riwayat hidup Nabi Musa a.s. dengan kekejaman Firaun dan akibat dari kemewahan Qarun serta memberikan janji akan kemenangan Nabi Muhammad s.a.w. kelak.

POKOK-POKOK ISINYA:

1. Sebahagian utama surah ini menceritakan tentang riwayat hidup Nabi Musa a.s dari peristiwa yang berlaku ketika kelahiran baginda serta menunjukkan kekejaman Firaun dan pertolongan Allah kepada Bani Israel apabila Nabi Musa a.s. mula menerima wahyu.

2. Sebahagian yang lain menceritakan: kisah nabi-nabi yang terdahulu sebagai bukti kenabian Nabi Muhammad s.a.w.; kelebihan ahli kitab yang beriman dengan Nabi Muhammad s.a.w.; pemberian taufik kepada hamba-Nya yang beriman; Allah swt menghancurkan penduduk suatu negeri kerana kezaliman mereka sendiri.; Tidak diazab suatu kaum sebelum diutus rasul kepada mereka.; Keadaan orang kafir di Hari Kiamat.; Perselisihan siang dan malam sebagai rahmat kepada manusia.; Kebaikan akan dibalas Allah swt berlipat ganda manakala kejahatan dibalas sama seimbang.; Janji akan kemenangan Nabi Muhammad s.a.w.; Kisah Qarun dengan kemewahannya.

FADILATNYA:-

1. Baca surah Al-Qasas keatas pekerja-pekerja, nescaya mereka tidak akan mencuri dan mengkhianat.

2. Membaca ayat 51-55, otak akan cergas, akal sempurna dan budi pekerti halus.

3. Bagi orang yang perlu menghadiri mahkamah, baca ayat 68 – 70 (mula dari“Subhaanallahi wata’aalaa..) 7 kali ketika timbul perasaan takut atau khuatir pihak lawan akan memberikan bukti-bukti palsu di hadapan hakim sehingga hakim membuat keputusan hukum yang keliru. Kemudian dilanjutkan dengan membaca ayat 21 dari Surah Yusuf (“wallahu ghaalibun ‘alaa amrih”) sebanyak 3 kali apabila hendak melangkah ke hadapan hakim. InsyaAllah orang yang mengamalkannya dengan penuh yakin akan terhindar daripada sebarang ketidakadilan.

4. Agar orang yang melarikan diri kembali semula, lakukan solat sunat 2 rakaat, kemudian bacalah ayat 85 sebanyak 119 kali selama 40 hari berturut-turut. InsyaAllah orang yang melarikan diri itu akan kembali.



“Sesungguhnya Allah yang mewajibkan kepadamu (beramal dan menyampaikan) Al-Quran (wahai Muhammad) sudah tentu akan menyampaikan engkau lagi kepada apa yang engkau ingini dan cintai.”

No comments:

Post a Comment